Menjawab isu “judi bola sepak” yang hangat diperkatakan dan diperdebatkan di Malaysia, Markaz Pengumpulan Hasilan dan Kajian PMRAM (MANHAL) telah mengkaji isu ini dan akan menyebutkan pendapat ulamak serta pendirian PMRAM terhadap masalah ini.
1) Hukum bermain atau terlibat dengan perjudian adalah HARAM di sisi agama Islam. Bahkan para ulamak mengklasifikasikan jenis haram ini adalah haram secara qat’ie. Hukum ini adalah berdasarkan firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Maidah, ayat 90.
Maksudnya : ”Wahai orang-orang yang beriman,sesungguhnya minuman keras, berjudi, (bekorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilan perbuatan-perbuatan itu agar kamu beruntung”. Ayat di atas merupakan dalil yang jelas mengatakan bahawa pertaruhan dan judi merupakan perkara yang dilarang secara qati’e menurut syarak. Imam Al-Qurtubi menjelaskan bahawa Allah s.w.t telah mengharamkan pertaruhan dan judi berdasarkan firman-Nya : “Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu”.
Selain dalil Al-Quran di atas para ulamak juga bersepakat tentang hukum ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w serta ijmak ulamak. Ia adalah perkara usul yang melibatkan aqidah serta pegangan kita selaku umat Islam. Berdasarkan dalil ini, mereka yang menghalalkan perkara yang telah diharamkan oleh Allah s.w.t dengan sengaja adalah terkeluar daripada agama Islam.
2) Melihat kepada konteks Malaysia selaku negara yang mempunyai majoriti umat Islam, perkara ini seharusnya tidak berlaku. Bahkan jika dikaji, setiap agama yang wujud juga melarang penganutnya daripada berjudi, kerana akibat serta kesannya kepada masyarakat amatlah buruk serta bahaya.
3) Amalan berjudi hanyalah akan melahirkan masyarakat yang hilang pedoman serta pertimbangan hidup, menggalakkan berlakunya permusuhan dan menghilangkan keberkatan hidup daripada Allah s.w.t. Maka tindakan pihak berwajib memberikan lesen judi kepada syarikat BERJAYA secara tidak langsung telah membuka ruang berlakunya kebejatan akhlak serta keruntuhan moral dikalangan masyarakat Malaysia.
4) Alasan yang digunakan adalah ‘untuk mengawal pertaruhan haram berlaku’ seolah-olah memperolokkan agama. Firman Allah s.w.t pada surah Al-Baqarah ayat 229 : “Itulah hukum-hukum Allah , maka janganlah kamu melanggarnya. Barangsiapa yang melanggar hukum-hukum Allah mereka itulah orang-orang yang zalim”.
5) Maka tindakan yang telah diambil oleh kerajaan Malaysia ternyata menyalahi dan melanggar nilai moral agama. Hukum berjudi tetap tidak akan menjadi halal walaupun dengan cara memberi lesen. Kita boleh analogikan isu ini seperti hukum memakan babi. Adakah ia akan menjadi halal sekiranya kita menyembelih mengikut lunas Islam? Maka sudah pasti hukumnya tetap haram.
6) Oleh itu PMRAM menyeru kepada semua pendokong-pendokong Islam untuk bangkit dan menyatakan kebenaran terhadap isu yang berlaku ini. Kita tidak inginkan masyarakat Malaysia terjebak dalam perkara-perkara maksiat seperti ini. Semoga Allah s.w.t merahmati perjuangan kita untuk menegakkan kalimahNya di muka bumi ini.
-Dari WEB PMRAM -
0 ulasan:
Catat Ulasan