Photobucket Ahlan :
widgeo.net
Memaparkan catatan dengan label Minda terbuka dalam syariat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Minda terbuka dalam syariat. Papar semua catatan

Isnin, 16 Mei 2011

Pergaulan bebas hampiri zina

DUNIA semakin canggih dengan pelbagai inovasi yang dihasil kan bagi kepentingan manusia. Namun, dalam kecanggihan kehidupan hari ini, kita tidak terlepas daripada masalah akhlak dan hilangnya nilai murni.


Ramai manusia hilang arah dalam membezakan antara perkara yang baik dan jelek serta perkara yang membawa faedah atau padah.


Disebabkan manusia berlumba mengejar kehidupan dunia yang jauh dari landasan ditetapkan Allah.


Kes pembuangan bayi tidak berdosa dilihat semakin meruncing. Namun, segelintir anggota masyarakat belum sedar padah yang bakal diterima jika masalah berkenaan terus berlaku dalam masyarakat.


Ia menunjukkan masyarakat hari ini lebih teruk daripada masyarakat zaman jahiliah. Pada zaman jahiliah mereka hanya membunuh anak perempuan kerana malu dan menganggap golongan itu lemah serta tidak setanding dengan anak lelaki yang boleh diajar untuk berperang.


Perkara berkenaan dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi daripada orang ramai kerana (berasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (dia beroleh anak perempuan sambil dia berfikir), adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina atau dia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.” (Surah an-Nahl, ayat 58-59)


Namun, hari ini, tidak kira anak lelaki atau perempuan, yang lahir kerana dosa ibu bapanya, maka mereka dibunuh dengan kejam serta dinafikan hak menikmati kehidupan.


Antara sebab utama berlakunya masalah itu ialah masyarakat sendiri tidak mengambil berat hubungan bebas antara lelaki dan perempuan bukan mahram.


Persepsi masyarakat hari ini menganggap hubungan bebas itu adalah cara hidup baru moden. Saban hari kita melihat gerak-geri anak muda di tengah-tengah kepesatan bandar, melakukan perkara dilarang Islam.


Berpegangan tangan, berpelukan, malah ada anak muda ini yang tidak segan
silu bercumbuan di depan khalayak ramai.


Semua itu adalah bibit permulaan dosa zina.


Sesungguhnya Allah mengingatkan kita sentiasa menjauhi perkara yang boleh membawa kepada zina. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, kerana sesungguhnya zina itu adalah faahishah (perbuatan yang keji) dan seburuk-buruk jalan (yang ditempuh oleh seseorang)” (Surah al-Isra’: ayat 32)


Fenomena terbabit sedikit sebanyak boleh diselesaikan jika setiap anggota masyarakat menjalankan tugas masing-masing dalam membanteras gejala keruntuhan moral itu.


Pihak berkuasa pula seharusnya perlu sentiasa mengingatkan golongan muda agar sentiasa menjaga tingkah laku mereka khususnya di khalayak umum.


Sikap ‘tidak mengapa’, ‘bukan keluarga kita’, ‘itu hal dia’ perlu dibuang kerana setiap individu Muslim bertanggungjawab mengajak melakukan amal makruf dan mencegah yang mungkar.


Peranan berkenaan menjadi lebih efektif jika ia mendapat sambutan pihak media. Media cetak atau elektronik seharusnya berganding bahu menyelesaikan masalah itu.


Ibu bapa berperanan besar memberi perhatian kepada anak di bawah jagaan mereka. Mereka perlu lebih bijak daripada anak-anak di mana mereka perlu kenal siapa yang berkawan dengan anaknya.


Sejak awal lagi Islam memberi garis panduan kepada ibu bapa iaitu melakukan pemisahan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan.


Didikan awal berkenaan memberi panduan bahawa lelaki tidak boleh bercampur dengan perempuan sebebas-bebasnya, walaupun dalam kalangan adik-beradik.


Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Perintahlah anak-anak kamu bersolat pada usia tujuh tahun. Pukullah mereka jika mereka meninggalkan solat pada usia 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka”. (Hadis riwayat Ahmad)


Contoh lain, Islam memberi penerangan yang jelas bahawa lelaki dan perempuan itu tidak boleh bercampur secara bebas ialah ketika keadaan saf wanita yang hampir dengan saf lelaki ketika solat berjemaah.


Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik saf lelaki adalah yang paling hadapan dan yang paling buruk adalah yang paling belakang. Dan sebaik-baik saf bagi wanita adalah yang paling belakang, yang terburuk bagi mereka adalah yang paling depan.” (Hadis riwayat Muslim)


Begitulah indahnya Islam yang tetap menitik-beratkan hubungan antara lelaki dan perempuan, meskipun dalam suasana yang baik (dalam masjid).


Bukan setakat menjaga hubungan antara lelaki dan perempuan saja, malah Islam turut menekankan perlunya menjaga batasan hubungan antara kaum sejenis.


Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak boleh seorang lelaki memandang aurat lelaki lain dan tidak boleh seorang wanita memandang aurat wanita yang lain, dan tidak boleh seorang lelaki bersama dengan lelaki lain dalam satu kain (selimut) dan tidak boleh seorang perempuan bersama dengan wanita lain dalam satu kain (selimut).” (hadis Riwayat Muslim)


Sesungguhnya, dosa zina itu adalah besar. Sarjana Islam sepakat bahawa dosa zina adalah antara dosa-dosa besar (al-kaba’ir). Ibnu ‘Abbas pernah berkata bahawa: “Dicabut cahaya (nur) keimanan di dalam zina.” (Riwayat Bukhari dalam kitab Fath al-Bari)


Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ada tiga golongan (manusia) yang Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada hari Kiamat dan tidak mensucikan mereka dan tidak melihat kepada mereka, dan bagi mereka seksa yang sangat pedih, iaitu; orang tua yang berzina, raja yang pendusta (pembohong) dan orang miskin yang sombong.” (Hadis riwayat Muslim)


Bagi menjaga kelangsungan identiti umat Islam pada masa akan datang, pencegahan peringkat awal dengan cara yang ditetapkan Islam, adalah lebih baik daripada pemulihan pada peringkat yang tidak dapat dibendung lagi.


Walau bagaimanapun, anak yang lahir daripada dosa zina adalah tidak berdosa sama sekali. Sesungguhnya, setiap anak Adam itu tidak sesekali mewarisi dosa kedua orang tuanya.


Mencegah kemungkaran secara bijaksana


Islam gariskan kaedah terbaik bagi ummah tangani masalah sosial dalam masyarakat


MARILAH bersama mempertingkatkan ketakwaan ke hadrat Allah dengan menunaikan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang mendapat keredaan Allah di dunia mahupun akhirat yang kekal abadi.


Renungkanlah, pelbagai kemungkaran berlaku dalam masyarakat seperti perbuatan zina, berkhalwat, sumbang mahram, jenayah rogol dan sebagainya, membabitkan orang Islam, seolah-olah mereka tidak mengenal batas pahala dan dosa, halal atau haram.


Kemungkaran ini akan terus menular selagi ia tidak dicegah dan dirawat. Persoalannya, siapakah yang patut mencegah kemungkaran dan bagaimana pula cara untuk mencegahnya?


Untuk mencubanya, marilah kita fahami dan hayati firman Allah yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara baik dan melarang daripada segala perkara salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar beriman).” (Surah Ali-Imran, ayat 110)


Allah menjelaskan, tugas mengajak yang makruf dan mencegah kemungkaran adalah tugas kita bersama bermula daripada diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara hinggalah ke alam sejagat.


Seorang suami bertanggungjawab mencegah kemungkaran yang dilakukan isteri dan anaknya. Begitu juga guru terhadap muridnya dan pemimpin terhadap rakyatnya.


Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka.” (Surah At-Tahrim, ayat 6)


Sabda Rasulullah SAW daripada Abdullah Bin Umar: “Kamu semua adalah pemimpin dan kamu akan dipersoalkan di atas setiap apa yang kamu pimpin. Seorang imam (pemimpin negara) adalah pemimpin dan akan ditanya (dipersoalkan) apa yang sudah dipimpinnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Islam menggariskan beberapa kaedah untuk mencegah kemungkaran supaya dapat dilakukan secara berhikmah dan bijaksana.


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah dengan tangan (kekuasaan), jikalau tidak berkuasa hendaklah dicegah dengan lisan, jikalau tidak berkuasa juga hendaklah dicegah dengan hatinya (membenci kemungkaran itu), dan ini adalah selemah-lemah iman.”


Berdasarkan kepada ketiga-tiga kaedah berkenaan, adakah kita sudah melaksanakan perintah itu? Justeru, kita patut berusaha ke arah membanteras perbuatan mungkar, di samping menilai kembali berapa banyak kita mengabaikan tugas nahi mungkar.


Ingatlah, jika kita langsung tidak ambil peduli dan membiarkan maksiat terus bermaharajalela, maka bersedialah untuk mendapat bala bencana. Kita perlu ingat dan sedar, apabila bala bencana menimpa, ia tidak mengenal siapa mangsanya.


Apakah kita sanggup menghadapi bala menimpa negara kita? Tepuk dada tanya iman. Sejarah lampau memperlihatkan kepada kita bagaimana akhirnya golongan manusia yang mengabaikan perintah menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran.


Ibnu Abbas bertanya kepada Rasulullah SAW yang bermaksud: “Adakah binasa sesebuah kampung itu walaupun dalamnya ada orang salih? Rasulullah SAW mengatakan, disebabkan mereka memandang mudah dan berdiam diri tanpa melarang perbuatan menderhaka Allah, maka Allah perintahkan malaikat supaya menterbalikkan kota itu ke atas penduduknya.”


Apabila kita diberi tanggungjawab atau mengambil inisiatif untuk mencegah kemungkaran, maka perkara berikut perlu diberikan perhatian antaranya niat atau tujuan adalah kerana Allah bukan untuk mencari kesalahan dan mengaibkan orang lain.


Perkara mungkar itu adalah perkara yang sudah disepakati ulama dalam menentukan kemungkarannya.


Tanggungjawab mencegah kemungkaran perlu dibuat sesiapa saja yang berdepan perbuatan mungkar dan perlu mencegahnya dengan kaedah dinyatakan tadi. Ingin saya tegaskan, kita semua perlu mengambil tanggungjawab membanteras kemungkaran.


Anggaplah ia sebagai tugas utama dan ancaman kepada agama serta negara supaya dapat mengundang rahmat dan keampunan Allah.


Akhir kalam, marilah bersama renungkan firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan, dan mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah At-Taubah, ayat 71)


Wallahu A'lam...

Jumaat, 15 April 2011

Muhasabah Pelaksanaan Solat


5 Peringkat golongan yang lalai dalam laksana solat

PERNAHKAH kita bersedih kerana tertinggal sembahyang, terlewat mengerjakannya atau pernahkah perasaan rugi kerana tidak sempat melakukan solat secara berjemaah?

Pernahkah kita terasa berdosa tidak ‘beradab’ menghadapi Allah? Jawapannya ada pada diri kita sendiri. Kali ini penulis ingin menyentuh soal lalai dalam solat.

Lawan lalai ialah khusyuk dan ia bukan setakat dapat menumpukan perhatian dan faham apa yang dibaca dalam sembahyang tetapi menimbulkan rasa-rasa dengan Tuhan.

Kalau tidak ada rasa-rasa yang berubah dalam sembahyang seperti gerun, hebat, cinta, takut, berharap kepada Tuhan maka itu tanda tidak khusyuk.

Lalai dalam sembahyang ada beberapa peringkat seperti berikut:

1. Lalai habis. Takbir sahaja sudah ingat perkara lain di luar sembahyang yang tidak ada kena mengena langsung dengan sembahyang. Ia berterusan sampai salam. Tidak ada rasa apa-apa dengan Tuhan sepanjang sembahyang. Malahan sedar pun tidak.

2. Dalam sembahyang. Ada masa lalai dan ada masanya ingat dan sedar bahawa dia sedang bersembahyang. Sembahyang diselang-seli dengan lalai dan mengingat hal-hal dunia.

3. Boleh ikut dan menyorot apa yang dia baca dalam sembahyang tetapi tidak faham akan maksud apa yang dibaca dan dilafazkan. Kalau hendak diukur dengan nisbah khusyuk, ini masih dianggap lalai.

Bila tidak faham, masakan boleh menghayati. Kalau tidak menghayati, masakan boleh merasa apa-apa dengan Tuhan.

4. Boleh faham segala apa yang dibuat, dibaca dan dilafazkan di dalam sembahyang. Sembahyang seperti ini sudah agak baik. Namun ini masih dianggap lalai mengikut kehendak dan tuntutan sembahyang kerana belum ada apa-apa rasa dengan Tuhan. Khusyuk adalah rasa bukan setakat tahu atau faham.

5. Faham akan segala apa yang dibaca dan dilafazkan dalam sembahyang dan kadang-kadang ada rasa tetapi tidak pada sepanjang masa dan waktu di dalam sembahyang.

Walaupun ini sudah baik tetapi masih ada lalai. Walaupun tidak membawa dunia ke dalam sembahyang tetapi rasa-rasa dengan Tuhan tidak wujud sepanjang waktu dalam sembahyang.

6. Sembahyang yang tidak lalai itu ialah yang sentiasa mempunyai rasa dengan Tuhan yang berubah-ubah dari satu rasa ke satu rasa yang lain mengikut apa yang dibaca dan apa yang dilafazkan, bermula dari takbiratul ihram hinggalah kepada salam. Inilah sembahyang yang tidak lalai. Inilah sembahyang yang benar-benar khusyuk.

Lalai berpunca daripada pengaruh dunia. Kalau dunia berada di hati amat sukar untuk mendapat khusyuk dalam sembahyang. Dunia akan terbawa dalam sembahyang.

Sebab itu kalau dalam sembahyang hanya ada rasa-rasa keduniaan seperti seronok baru berjumpa kawan, teringat polis saman kereta kita salah parking atau bimbang tak sempat pergi ke bank sebelum bank tutup dan sebagainya.

Rasa-rasa ini ialah rasa dunia yang melalaikan, bukan rasa-rasa khusyuk. Sekiranya kita tidak kenal Tuhan, hanya setakat tahu dan percaya sahaja,
kita tidak akan dapat rasa khusyuk.

Paling tinggi ketauhidan kita hanya di peringkat akal atau fikiran sahaja kerana tahu dan percaya itu perkara akal. Kita dikatakan orang yang berfikiran tauhid, bukan yang berjiwa tauhid.

Mengenal Tuhan ialah langkah pertama untuk mendapat khusyuk. Setelah mengenali Tuhan barulah kita akan dapat merasakan kehebatan dan keagungan Tuhan di hati kita kerana kenal itu perkara hati.

Barulah kita akan dapat rasa bertuhan. Selagi hati kita tidak dapat rasa bertuhan, ia tidak akan dapat rasa kehambaan dan ia tidak akan dapat rasa khusyuk.

Ada hadis berbunyi: “Awal-awal agama adalah mengenal Allah” Maksudnya, selagi kita tidak kenal Allah, agak sukar untuk kita beragama. Kita tidak akan boleh khusyuk.

Selagi kita tidak boleh khusyuk kita sebenarnya belum berjiwa Tauhid. Kalau kita belum berjiwa Tauhid kita tidak akan mampu mengamalkan dan menegakkan syariat Islam secara lahir dan batin.

Mungkin kita boleh laksanakan syariat lahir tetapi batinnya kosong. Tidak ada khusyuk, tidak ada roh dan tidak ada jiwa. Padahal Islam itu mesti ada lahir dan batinnya.

Wallahu A'lam....

Selasa, 1 Jun 2010

Hikmah Rasa Malu


Rasa malu bagi seseorang merupakan daya kekuatan yang mendorongnya berwatak ingin selalu berbuat pantas dan menjauhi segala perilaku tidak patut. Orang yang memiliki watak malu adalah orang yang cepat menyingkiri segala bentuk kejahatan. Sebaliknya, yang tidak memiliki rasa malu berarti ia akan dengan tenang melakukan kejahatan, tidak peduli omongan, bahkan, cercaan orang lain. ''Anjing menggonggong kafilah tetap berlalu,'' begitu mottonya.

Islam menilai, watak malu itu merupakan bagian dari iman. Dengan demikian, orang yang tidak mempunyai rasa malu adalah orang yang hilang imannya. Orang hidup bermasyarakat sudah tentu harus mendengarkan apa kata masyarakat tentang dirinya. 

Masyarakat tak pelak lagi sebenarnya mengetahui apa yang dilakukan anggotanya. Masyarakat pula yang berhak mengoreksi apa-apa kelakuan yang tidak baik atau tak pantas anggotanya. Bagi yang tak punya malu, omongan atau koreksi masyarakat akan dianggapnya angin lalu.

Ada sebuah ungkapan warisan para nabi, yang menyatakan bahwa sudah rahasia umum, orang yang hilang perasaan malunya tak lain dari orang yang sudah terbiasa berbuat kemungkaran dan kemaksiatan dalam segala jenis dan bentuknya. Ia mau melakukan kejahatan, kelaliman dan kekejian.

Rasulullah bersabda: ''Sesungguhnya, yang dapat diambil sebagai pelajaran dari para nabi terdahulu ialah, apabila kamu sudah tidak mempunyai perasaan malu maka berbuatlah semaumu;'' riwayat Imam Bukhari dan Muslim. Itu berarti, orang yang demikian sulit untuk mau mawas diri, meski berhadapan dengan umpatan dan kecaman orang banyak pun.

Berdasar riwayat Ibnu Umar, Rasulullah bersabda: ''Sesungguhnya Allah yang Maha Mulia dan Maha Agung, bila berkehendak menjatuhkan seseorang maka Allah cabut dari orang itu rasa malunya. Ia hanya akan menerima kesusahan (dari orang banyak yang marah kepadanya. Melalui ungkapan kemarahan itu, hilang pulalah kepercayaan orang kepadanya. Bila kepercayaan kepadanya sudah hilang maka ia akan jadi orang yang khianat. Dengan menjadi khianat maka dicabutlah kerahmatan dari dirinya. Bila rahmat dicabut darinya maka jadilah ia orang yang dikutuk dan dilaknati orang banyak. Dan bila ia menjadi orang yang dilaknati orang banyak maka lepaslah ikatannya dengan Islam.



Khamis, 20 Mei 2010

Berkata Imam Al-Ghazali:"Jika engkau ingin mengikut jejak para Imam kuatkanlah dirimu untuk terima segala musibah, bertenang dalam menanggung kepahitan, sifat sabar terbentang dalam dadamu, lisanmu perlu dikunci,matamu dikawal, rahsiamu disembunyikan,hanya dilihat oleh Tuhan sahaja, namamu jgn terkenal,mulutmu tersenyum, perutmu lapar,hatimu luka,hindari dari terkenal, pangkatmu dipendam,setiap hari menahan perasaan pahit dari zaman dan teman,sedang hatimu menurut, siangmu sibuk berbakti kepada orang ramai, malammu rindu pada Tuhan,sepi dari pandangan, Jadikanlah ia jalan dan persiapan untuk hari Kiamat yang padanya sulit sekali mencari jalan..."

Antara tanda-tanda orang yang bijaksana itu ialah: Hatinya selalu berniat suci, lidahnya selalu basah dengan zikrullah dan kedua matanya menangis kerana penyesalan terhadap dosa(Saidina Uthman b Affan R.A)

Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda, "Tidak akan terjadi kiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu percikan api." (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Selasa, 9 Jun 2009

Persahabatan Ar-rijal dan An-nisa'?

:: PERSAHABATAN ::

"Ana mengeluh dengan tingkah laku suaminya. Ana menuduh Saiful mula mengabaikan tangguungjawabnya sebagai suami. Menurut Ana, keadaan ini disedarinya apabila Saiful mula main kayu tiga dengan rakan sepejabatnya, Seri. “Sejak kehadiran perempuan itu dalam kehidupan abang Saiful, saya sering bertengkar dengan suami. Perempuan itulah punca keretakan rumahtangga saya.”

Namun apa pula jawapan Saiful? “Ana sudah melampau. Cemburu buta. Saya dan Seri cuma bersahabat sahaja tak lebih dari itu. Nothing special between us. Sebagai rakan setugas, saya memang tak nafikan saya rasa begitu selesa bila berbincang. Seri mempunyai pandangan yang luas, mudah bekerjasama, pendengar dan penasihat yang baik malah kami juga banyak berkongsi minat yang sama. Itu saja tidak lebih dari itu…” Kata Saiful, tenang.

Azhari dan Sara juga mengaku hanya bersahabat. Kebetulan mereka berdua sama-sama exco tertinggi salah sebuah kampus universiti terkemuka. Azhari dan Sara sering berjumpa dalam pelbagai aktiviti dan sering bermesyuarat bersama bagi melancarkan aktiviti kampus. Menurut Sara, Azhari seorang aktivis pelajar yang matang dan baik. Dia bukan hanya menganggapnya sebagai seorang sahabat tetapi juga seorang “abang”. Setiap masalah dibincangkan bersama dan sentiasa nasihat-menasihati antara satu sama lain. Kalau tak berpeluang bertemu mereka akan berhubung melalui telefon bimbit masing-masing. Ketika rakan-rakan sekuliah bertanya tentang keintiman hubungan mereka berdua, Azhari dan Sara dengan selamba mengatakan mereka cuma bersahabat. “Betul, kami tak ada apa-apa hubungan lain……”

Saiful dan Seri, Azhari dan Sara mengaku mereka hanya bersahabat. Namun kawan-kawan juga sesiapa yang berada di sekitar mereka merasakan ada sesuatu yang lebih dari sekadar bersahabat.

PERSAHABATAN:APA ITU PERSAHABATAN?
Persahabatan merupakan salah satu keperluan dalam kehidupan setiap insan. Mereka yang tidak mempunyai sahabat akan merasa kesepian dan tiada tempat meluah rasa. Namun bagaimana pula dengan persahabatan yang dijalinkan seperti Saiful dengan Seri atau Azhari dengan Sara yang menimbulkan gossip masyarakat sekitar? Sebelum perbincangan seterusnya, mari kita lihat sebentar makna atau erti sebenar sahabat itu sendiri. Menurut ahli psikologi, sahabat adalah orang yang dipercayai untuk diluahkan isi hati, kegembiraan atau kedukaan. Oleh itu sesiapa yang diyakini mempunyai ciri-ciri itu akan terpilih sebagai sahabat.

Setiap insan di dunia ini memerlukan sahabat atau orang lain dalam kehidupannya. Manusia perlu berkongsi sama dengan orang lain. Berkongsi sama itu sebenarnya pertahanan diri seseorang kerana manusia perlu untuk meluah dan mencurahkan isi hati dan perasaan-perasaan yang terpendam dalam diri kita. Dalam erti kata lain bahawa manusia memerlukan orang lain yang ia pilih dan percaya untuk meluahkan hal-hal peribadi.

Contohnya apabila seorang gadis bersahabat dengan seorang gadis lain, mereka boleh tidur sebantal, berkongsi barang atau saling pinjam meminjam baju atau
seumpamanya atau lebih dari itu. Seseungguhnya manusia itu memang memerlukan sahabat dalam kehidupannya. Sekurang-kurangnya terdapat dua keuntungan yang diperolehi melalui persahabatan. Pertama, untuk
merealisasikan mimpi atau visi hidup. Seseorang memerlukan orang lain untuk membincangkan mimpi-mimpi dan permasalahannya. Seseorang itu ingin orang lain mendengar dan tahu keinginannya. Seterusnya berusaha saling bantu-membantu antara satu sama lain.

Kedua, sahabat diperlukan untuk mencari jalan penyelesaian atau jalan keluar bagi sesuatu masalah atau perkara.

Persahabatan itu bermula dengan perkenalan. Setelah itu, jika terdapat kesamaan ide, gagasan, gaya hidup, minat, keperluan, cara berfikir dan harapan maka timbullah rasa saling simpati. Apabila telah wujud rasa simpati maka akan wujud keterbukaan dan ketika ini mereka telah bersedia untuk saling mencurah suara hati.

PERSAHABATAN JEJAKA DAN WANITA
Sahabat mempunyai kedudukan yang begitu khusus dalam hati seseorang. Apa masalahnya apabila seseorang itu bersahabat dengan lawan jenisnya? Bolehkah kita bersahabat dengan jejaka atau sebaliknya?

Apabila berlaku persahabatan antara lelaki dan wanita sesungguhnya tidak akan ada jaminan ini benar tulus dan murni. Sekurang-kurangnnya pasti ada harapan rasa ingin memiliki. Tidak kira pada si jejaka atau wanita atau kedua-duanya sekali. Mesti ada kemungkinan walaupun pada kadar yang sedikit. Hubungan seumpama ini mempunyai batas atau dinding yang teramat nipis. Terlalu sukar dan rumit uNtuk membezakan adakah hubungan ini benar-benar sekadar persahabatan atau sudah mula menjurus kepada saling mencintai yang mengharap kepada wujudnya hubungan hati dan fizikal.

Suatu yang amat sukar dihindari untuk suka yang lebih dari sekadar bersahabat. Maka mulalah si jejaka atau wanita itu mengengan-angankan “kalaulah dia menjadi pendamping dalam hidupku”. Ketika ini sesungguhnya “tazyin syaitan” telah berjaya memainkan peranannya. Bisikan indah dari musuh utama (syaitan) telah merempuh masuk ke dalam hati yang telah sedia ada dalam keadaan lemah dan longgar pertahanannya.

BERHENTIKAN PROSES SETERUSNYA!!
Oleh itu. Para muslimin dan muslimat yang dikasihi, jika perkenalan kita sudah berunah menjadi simpati segeralah susuli dengan pernikahan jika mahu proses
persahabatan berlanjutan. Inilah persahabatan yang ideal. Manakala persahabatan di luar akad pernikahan bukanlah persahabatan ala sahabat (Rasulullah s.a.w.)

Sebagaimana yang terjadi antara Ali dan Fatimah. Setelah pernikahan antara Ali dan Fatimah, maka Fatimah pun berterus terang kepada Ali. “Wahai Ali,sebelum saya bernikah dengan engkau di kota Makkah ini, ada seorang pemuda yang menjadi idola dihatiku.saya sangat inginkan kelak dia menjadi suamiku. Tapi
semuanya itu saya simpan di dalam hatiku” kata Fatimah.
“Kalau begitu engkau menyesal menikahi saya?” tanya Ali.
“Tidak, kerana pemuda itu adalah engkau” jawab Fatimah.

Oleh itu, di dalam Islam kita dibenarkan menilai dan menyukai pemuda yang soleh namun ia tidak diluahkan dan memadai disimpan di dalam hati. Sesungguhnya cinta itu boleh “menghinggapi sesiapa” sahaja termasuk orang
beriman atau para pendakwah. Apabila batas-batas pergaulan dan percampuran lelaki dan perempuan dilanggar, proses persahabatan sebegini akan terus
bergulir dan tidak mungkin dihindari. Oleh itu, tidak mustahil jika para pendakwah lelaki dan perempuan juga turut terjebak untuk saling rindu-merindui…
..

Sudah berlanjur digosipkan
Pengendalian diri ketika percampuran antara lelaki dan perempuan adalah suatu yang abstrak. Kita tidak mampu untuk mengukurnya. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Adakalanya, kita berjauhan dari segi fizikal tetapi hati “berdegup” hebat. Ada juga yang fizikalnya berdekatan tetapi hatinya biasa sahaja.Namun ini bukan bermakna kita dibolehkan bergaul bebas.

Bagaimana pula jika sudah terlanjur digosipkan,daripada fitnah, baik nikah sahaja. Inilah satu kesilapan besar. Ia bukanlah keputusan bijak. Tindakan
yang diambil dengan menikahi rakan tersebut akan membenarkan sangkaan dan tohmaan orang selama ini. Tindakan sewajarnya yang mesti diambil adalah segera menghentikan hubungan tersebut. Jauhilah fitnah dengan mengendalikan hati, namun ketika hati tak terkendalikan jauhilah jarak fizikal. Hindarilah
perkara-perkara yang mengundang fitnah seperti memberikan hadiah, sering berdua-duaan, sering telefon/sms dan seumpamanya.

JANGAN TERPERANGKAP
Hati manusia memang mudah berubah. Pagi kata benci petang pula kata rindu. Sesungguhnya hati merupakan bejana yang paling penting. Ia merupakan kunci
segala-galanya. Hati mestilah dikendalikan sebaik-baiknya. Manakala pandangan pula titik langkah awal yang amat perlu diawasi kerana dari ‘mata jatuh ke hati’.

Sebagaimana yang berlaku kepada Ibnu Abbas, ketika menunaikan haji tergoda melihat seorang wanita, maka spontan Nabi SAW menegur dan memalingkan pandangannya dari wanita tersebut. Lalu bersabda: “Jangan kau ikuti pandangan itu dengan pandangan yang lain.”

Ketika inilah peranan iman yang kuat serta aktiviti ‘tazkiyatun nafs’ (penyucian jiwa) perlu dimainkan. Di saat iman sedang merudum, sebaik-baiknya, minimakanlah aktiviti yang melibatkan lawan jenis. Walaupun dalam aktiviti keislaman, yang perlu dijaga adalah diri dan keimanan bukan sekadar jarak sehingga tidak berkomunikasi. Ingatlah jangan sekali-kali ketika mengibarkan bendera kegiatan Islam dalam masa yang sama menjatuhkan Islam.

Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui kelemahan insan. Lalu Dia telah mengingatkan orang-orang beriman serta umat Islam seluruhnya agar menjaga pandangan dengan firman-Nya: “Katakanlah kepada orang-orang beriman lelaki, supaya mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatannya. Itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang mereka usahakan. Katakanlah kepada orang-orang beriman perempuan supaya mereka menundukkan pandangan dan menjaga kehormatannya dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasannya kecuali apa yang biasa lahir daripadanya….” (An-Nur:31-32)

Mencegah lebih baik dari mengubati. Jagalah batas-batas pergaulan agar tidak terlanjur memendam rasa. Berusahalah membataskan komunikasi dengan urusan-urusan yang penting, jangan sekali mencari alasan dan agenda untuk bertemu. Jangan sekali membuat agenda baru agar dapat berinteraksi kembali. Biarpun agenda yang dibuat itu dinamakan perkongsian ilmu. Kerana nait tak menghalalkan cara.Walaupun bunyinya ilmu kehidupan, tapi penyaluran yang tidak menggunakan landasan yang betul bimbang akan mengelincirkan semangat perjuangan. Sesungguhnya jika ini tidak dikawal ia merupakan permulaan tidak berdisiplinnya kita dalam mengamalkan Islam.