Orang bukan Islam boleh masuk masjid
MASJID adalah tempat suci, mulia serta menjadi tempat umat Islam beribadat kepada Allah. Firman Allah, yang bermaksud: “Hanyalah yang memakmurkan masjid Allah ialah orang yang beriman kepada-Nya dan hari kemudian serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut selain Allah, maka merekalah orang yang diharapkan, termasuk golongan orang yang mendapat petunjuk.” (Surah at-Taubah, ayat 18).
Dalam ayat lain, Allah mengingatkan umat Islam yang ingin mengunjungi dan beribadat di masjid, supaya memakai pakaian cantik dan indah. Firman-Nya, yang bermaksud: “Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah apabila ke masjid...” (Surah al-Araf, ayat 31).
Berdasarkan ayat ini, jelas masjid adalah tempat yang amat terhormat dalam Islam. Kerana itu, orang bukan Islam tidak boleh mengimarah dan memakmurkannya.
Allah berfirman, maksudnya: “Tidaklah boleh orang musyrik itu memakmurkan masjid Allah sedang mereka mengakui bahawa mereka sendiri kafir. Inilah orang yang sia-sia pekerjaannya, dan mereka kekal dalam neraka.” (Surah at-Taubah, ayat 17).
Pada ayat lain, Allah berfirman yang bermaksud : “Wahai orang beriman, janganlah kamu menghampiri sembahyang sedangkan kamu mabuk, sehinggalah kamu mengetahui apa yang kamu kata, (jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub, melainkan hanya sekadar melalui masjid dan sehinggalah kamu mandi dan bersihkan diri kamu daripada hadas junub itu...” (Surah an-Nisaa, ayat 43).
Mengenai persoalan yang ditimbulkan, mazhab Hanafi berpendapat, adalah harus untuk bukan Islam memasuki dan menziarahi masjid, termasuk Masjid al-Haram di Makkah. Sungguhpun ada ayat al-Quran yang melarang bukan Islam memasuki masjid kerana mereka disifatkan najis, tetapi mengikut mazhab Hanafi, najis yang dimaksudkan hanyalah pada segi maknawi, bukan najis tubuh badan mereka.
Larangan Allah daripada menghampiri masjid itu pula bermaksud duduk atau diam lama dalam masjid, tetapi kalau hanya sekadar masuk untuk melihat seni bina, tidaklah salah.
Bagaimanapun, ada ulama berpendapat, larangan terhadap bukan Islam masuk ke masjid, meliputi Masjid al-Haram dan masjid di Tanah Haram, manakala masjid di luar Tanah Haram, termasuk Malaysia, kebanyakan ulama berpendapat, harus bukan Islam memasukinya.
Seiring itu, ada juga ulama berpendapat bahawa bukan Islam diharuskan memasuki masjid, jika diizinkan pentadbir masjid berkenaan. Tanpa keizinan itu, mereka tidak boleh memasukinya.
Pada zaman Khalifah al-Rashidin, Abu Musa al-Ashaari pernah menemui Saidina Umar al-Khattab yang berada dalam masjid. Dia membawa kitab mengandungi hal kewangan negara. Umar berkata: “Wahai Abu Musa, jemputlah penulisnya masuk supaya dia membacakan apa yang ditulisnya itu kepadaku.”
Abu Musa menyatakan penulis itu tidak boleh masuk kerana dia seorang Nasrani atau Kristian. Mendengar jawapan itu, Umar pun tidak menjemputnya masuk.
Hal yang sama pernah berlaku kepada Saidina Ali Abi Talib. Sewaktu berada di mimbar, Ali melihat seorang Majusi memasuki masjid. Berikutan itu, Ali turun dari mimbar lalu melarang orang berkenaan masuk.
Peristiwa itu menunjukkan menjadi kebiasaan pada masa itu orang bukan Islam tidak memasuki masjid.
Bagaimanapun, sekiranya diizinkan, bukan Islam boleh memasuki masjid, seperti yang berlaku kepada Rasulullah. Baginda pernah membenarkan beberapa orang dari Taif yang belum memeluk Islam masuk ke masjid. Nabi juga pernah berjumpa orang Kristian dari Najran dalam masjid Madinah. Apabila tiba waktu sembahyang, mereka bersembahyang dalam masjid sambil menghadap ke Baitulmaqdis. Ketika itu, Nabi membiarkan mereka bersembahyang dan menghadap ke kiblat mereka.
Said al-Musaiyaf juga mengatakan, Abu Suffian pernah memasuki masjid Madinah, sedangkan waktu itu dia seorang musyrik. Pernah juga berlaku di Mesir pada 1919 (tahun revolusi), beberapa paderi masuk ke masjid al-Azhar dan berpidato politik sambil disaksikan sebilangan besar ulama Islam tanpa sebarang bantahan. Hal ini tentulah ada maslahahnya (hikmat yang tersirat di sebaliknya).
Dalam kitab al-Bukhari, Imam al-Bukhari mencatatkan satu bab mengenai "Hukum Orang Musyrik Memasuki Masjid". Beliau menyatakan ada banyak kisah yang mengatakan orang bukan Islam boleh memasuki masjid.
Imam al-Syafie pula berpendapat, dibolehkan bukan Islam masuk ke masjid kerana darurat atau hajat tertentu, tetapi ia bukan bersifat berterusan.
Kesimpulannya, sama ada boleh atau tidak orang bukan Islam memasuki masjid, terpulang kepada wujudnya kebaikan dan keizinan pihak pengurusan masjid itu sendiri. Jika kunjungan itu sedikit sebanyak dapat menarik minat mereka kepada Islam, misalnya selepas melihat keindahan masjid dengan segala kebersihan dan ketenangannya, maka bolehlah kita katakan harus bagi mereka memasuki masjid.
Sungguhpun begitu, lawatan itu biarlah dengan pakaian yang sopan dan tidak mendedahkan aurat. Persediaan sesetengah masjid seperti Masjid Negara dan kebanyakan masjid di bandar utama di negara ini mengadakan pakaian khas (jubah) bagi wanita bukan Islam memasuki masjid, amatlah sesuai dengan adab sopan
0 ulasan:
Catat Ulasan