Photobucket Ahlan :
widgeo.net

Selasa, 9 Jun 2009

Persahabatan Ar-rijal dan An-nisa'?

:: PERSAHABATAN ::

"Ana mengeluh dengan tingkah laku suaminya. Ana menuduh Saiful mula mengabaikan tangguungjawabnya sebagai suami. Menurut Ana, keadaan ini disedarinya apabila Saiful mula main kayu tiga dengan rakan sepejabatnya, Seri. “Sejak kehadiran perempuan itu dalam kehidupan abang Saiful, saya sering bertengkar dengan suami. Perempuan itulah punca keretakan rumahtangga saya.”

Namun apa pula jawapan Saiful? “Ana sudah melampau. Cemburu buta. Saya dan Seri cuma bersahabat sahaja tak lebih dari itu. Nothing special between us. Sebagai rakan setugas, saya memang tak nafikan saya rasa begitu selesa bila berbincang. Seri mempunyai pandangan yang luas, mudah bekerjasama, pendengar dan penasihat yang baik malah kami juga banyak berkongsi minat yang sama. Itu saja tidak lebih dari itu…” Kata Saiful, tenang.

Azhari dan Sara juga mengaku hanya bersahabat. Kebetulan mereka berdua sama-sama exco tertinggi salah sebuah kampus universiti terkemuka. Azhari dan Sara sering berjumpa dalam pelbagai aktiviti dan sering bermesyuarat bersama bagi melancarkan aktiviti kampus. Menurut Sara, Azhari seorang aktivis pelajar yang matang dan baik. Dia bukan hanya menganggapnya sebagai seorang sahabat tetapi juga seorang “abang”. Setiap masalah dibincangkan bersama dan sentiasa nasihat-menasihati antara satu sama lain. Kalau tak berpeluang bertemu mereka akan berhubung melalui telefon bimbit masing-masing. Ketika rakan-rakan sekuliah bertanya tentang keintiman hubungan mereka berdua, Azhari dan Sara dengan selamba mengatakan mereka cuma bersahabat. “Betul, kami tak ada apa-apa hubungan lain……”

Saiful dan Seri, Azhari dan Sara mengaku mereka hanya bersahabat. Namun kawan-kawan juga sesiapa yang berada di sekitar mereka merasakan ada sesuatu yang lebih dari sekadar bersahabat.

PERSAHABATAN:APA ITU PERSAHABATAN?
Persahabatan merupakan salah satu keperluan dalam kehidupan setiap insan. Mereka yang tidak mempunyai sahabat akan merasa kesepian dan tiada tempat meluah rasa. Namun bagaimana pula dengan persahabatan yang dijalinkan seperti Saiful dengan Seri atau Azhari dengan Sara yang menimbulkan gossip masyarakat sekitar? Sebelum perbincangan seterusnya, mari kita lihat sebentar makna atau erti sebenar sahabat itu sendiri. Menurut ahli psikologi, sahabat adalah orang yang dipercayai untuk diluahkan isi hati, kegembiraan atau kedukaan. Oleh itu sesiapa yang diyakini mempunyai ciri-ciri itu akan terpilih sebagai sahabat.

Setiap insan di dunia ini memerlukan sahabat atau orang lain dalam kehidupannya. Manusia perlu berkongsi sama dengan orang lain. Berkongsi sama itu sebenarnya pertahanan diri seseorang kerana manusia perlu untuk meluah dan mencurahkan isi hati dan perasaan-perasaan yang terpendam dalam diri kita. Dalam erti kata lain bahawa manusia memerlukan orang lain yang ia pilih dan percaya untuk meluahkan hal-hal peribadi.

Contohnya apabila seorang gadis bersahabat dengan seorang gadis lain, mereka boleh tidur sebantal, berkongsi barang atau saling pinjam meminjam baju atau
seumpamanya atau lebih dari itu. Seseungguhnya manusia itu memang memerlukan sahabat dalam kehidupannya. Sekurang-kurangnya terdapat dua keuntungan yang diperolehi melalui persahabatan. Pertama, untuk
merealisasikan mimpi atau visi hidup. Seseorang memerlukan orang lain untuk membincangkan mimpi-mimpi dan permasalahannya. Seseorang itu ingin orang lain mendengar dan tahu keinginannya. Seterusnya berusaha saling bantu-membantu antara satu sama lain.

Kedua, sahabat diperlukan untuk mencari jalan penyelesaian atau jalan keluar bagi sesuatu masalah atau perkara.

Persahabatan itu bermula dengan perkenalan. Setelah itu, jika terdapat kesamaan ide, gagasan, gaya hidup, minat, keperluan, cara berfikir dan harapan maka timbullah rasa saling simpati. Apabila telah wujud rasa simpati maka akan wujud keterbukaan dan ketika ini mereka telah bersedia untuk saling mencurah suara hati.

PERSAHABATAN JEJAKA DAN WANITA
Sahabat mempunyai kedudukan yang begitu khusus dalam hati seseorang. Apa masalahnya apabila seseorang itu bersahabat dengan lawan jenisnya? Bolehkah kita bersahabat dengan jejaka atau sebaliknya?

Apabila berlaku persahabatan antara lelaki dan wanita sesungguhnya tidak akan ada jaminan ini benar tulus dan murni. Sekurang-kurangnnya pasti ada harapan rasa ingin memiliki. Tidak kira pada si jejaka atau wanita atau kedua-duanya sekali. Mesti ada kemungkinan walaupun pada kadar yang sedikit. Hubungan seumpama ini mempunyai batas atau dinding yang teramat nipis. Terlalu sukar dan rumit uNtuk membezakan adakah hubungan ini benar-benar sekadar persahabatan atau sudah mula menjurus kepada saling mencintai yang mengharap kepada wujudnya hubungan hati dan fizikal.

Suatu yang amat sukar dihindari untuk suka yang lebih dari sekadar bersahabat. Maka mulalah si jejaka atau wanita itu mengengan-angankan “kalaulah dia menjadi pendamping dalam hidupku”. Ketika ini sesungguhnya “tazyin syaitan” telah berjaya memainkan peranannya. Bisikan indah dari musuh utama (syaitan) telah merempuh masuk ke dalam hati yang telah sedia ada dalam keadaan lemah dan longgar pertahanannya.

BERHENTIKAN PROSES SETERUSNYA!!
Oleh itu. Para muslimin dan muslimat yang dikasihi, jika perkenalan kita sudah berunah menjadi simpati segeralah susuli dengan pernikahan jika mahu proses
persahabatan berlanjutan. Inilah persahabatan yang ideal. Manakala persahabatan di luar akad pernikahan bukanlah persahabatan ala sahabat (Rasulullah s.a.w.)

Sebagaimana yang terjadi antara Ali dan Fatimah. Setelah pernikahan antara Ali dan Fatimah, maka Fatimah pun berterus terang kepada Ali. “Wahai Ali,sebelum saya bernikah dengan engkau di kota Makkah ini, ada seorang pemuda yang menjadi idola dihatiku.saya sangat inginkan kelak dia menjadi suamiku. Tapi
semuanya itu saya simpan di dalam hatiku” kata Fatimah.
“Kalau begitu engkau menyesal menikahi saya?” tanya Ali.
“Tidak, kerana pemuda itu adalah engkau” jawab Fatimah.

Oleh itu, di dalam Islam kita dibenarkan menilai dan menyukai pemuda yang soleh namun ia tidak diluahkan dan memadai disimpan di dalam hati. Sesungguhnya cinta itu boleh “menghinggapi sesiapa” sahaja termasuk orang
beriman atau para pendakwah. Apabila batas-batas pergaulan dan percampuran lelaki dan perempuan dilanggar, proses persahabatan sebegini akan terus
bergulir dan tidak mungkin dihindari. Oleh itu, tidak mustahil jika para pendakwah lelaki dan perempuan juga turut terjebak untuk saling rindu-merindui…
..

Sudah berlanjur digosipkan
Pengendalian diri ketika percampuran antara lelaki dan perempuan adalah suatu yang abstrak. Kita tidak mampu untuk mengukurnya. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Adakalanya, kita berjauhan dari segi fizikal tetapi hati “berdegup” hebat. Ada juga yang fizikalnya berdekatan tetapi hatinya biasa sahaja.Namun ini bukan bermakna kita dibolehkan bergaul bebas.

Bagaimana pula jika sudah terlanjur digosipkan,daripada fitnah, baik nikah sahaja. Inilah satu kesilapan besar. Ia bukanlah keputusan bijak. Tindakan
yang diambil dengan menikahi rakan tersebut akan membenarkan sangkaan dan tohmaan orang selama ini. Tindakan sewajarnya yang mesti diambil adalah segera menghentikan hubungan tersebut. Jauhilah fitnah dengan mengendalikan hati, namun ketika hati tak terkendalikan jauhilah jarak fizikal. Hindarilah
perkara-perkara yang mengundang fitnah seperti memberikan hadiah, sering berdua-duaan, sering telefon/sms dan seumpamanya.

JANGAN TERPERANGKAP
Hati manusia memang mudah berubah. Pagi kata benci petang pula kata rindu. Sesungguhnya hati merupakan bejana yang paling penting. Ia merupakan kunci
segala-galanya. Hati mestilah dikendalikan sebaik-baiknya. Manakala pandangan pula titik langkah awal yang amat perlu diawasi kerana dari ‘mata jatuh ke hati’.

Sebagaimana yang berlaku kepada Ibnu Abbas, ketika menunaikan haji tergoda melihat seorang wanita, maka spontan Nabi SAW menegur dan memalingkan pandangannya dari wanita tersebut. Lalu bersabda: “Jangan kau ikuti pandangan itu dengan pandangan yang lain.”

Ketika inilah peranan iman yang kuat serta aktiviti ‘tazkiyatun nafs’ (penyucian jiwa) perlu dimainkan. Di saat iman sedang merudum, sebaik-baiknya, minimakanlah aktiviti yang melibatkan lawan jenis. Walaupun dalam aktiviti keislaman, yang perlu dijaga adalah diri dan keimanan bukan sekadar jarak sehingga tidak berkomunikasi. Ingatlah jangan sekali-kali ketika mengibarkan bendera kegiatan Islam dalam masa yang sama menjatuhkan Islam.

Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui kelemahan insan. Lalu Dia telah mengingatkan orang-orang beriman serta umat Islam seluruhnya agar menjaga pandangan dengan firman-Nya: “Katakanlah kepada orang-orang beriman lelaki, supaya mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatannya. Itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang mereka usahakan. Katakanlah kepada orang-orang beriman perempuan supaya mereka menundukkan pandangan dan menjaga kehormatannya dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasannya kecuali apa yang biasa lahir daripadanya….” (An-Nur:31-32)

Mencegah lebih baik dari mengubati. Jagalah batas-batas pergaulan agar tidak terlanjur memendam rasa. Berusahalah membataskan komunikasi dengan urusan-urusan yang penting, jangan sekali mencari alasan dan agenda untuk bertemu. Jangan sekali membuat agenda baru agar dapat berinteraksi kembali. Biarpun agenda yang dibuat itu dinamakan perkongsian ilmu. Kerana nait tak menghalalkan cara.Walaupun bunyinya ilmu kehidupan, tapi penyaluran yang tidak menggunakan landasan yang betul bimbang akan mengelincirkan semangat perjuangan. Sesungguhnya jika ini tidak dikawal ia merupakan permulaan tidak berdisiplinnya kita dalam mengamalkan Islam.

Mahabbah Menuju Cinta Allah

[Jauhi CInta Terlarang]

Assalamualaikum wbt...

Siapalah yang tidak mahu cintanya sampai ke syurga. Pakar-pakar psikologi mendapati wanita yang mampu memberikan tumpuan penuh dan cemerlang dalam kerjaya ialah mereka yang stabil dalam hubungan cintanya terutama dalam rumah tangga. Betulkah begitu?

Lihatlah di dalam diri sendiri dan nilailah dengan jujur. Pakar psikologi adalah manusia biasa yang mungkin tersilap tetapi jika kajian mereka benar,perkara ini perlu diusahakan. Mampukah cinta menjangkau bahagia dari dunia hingga ke akhirat? Jawapannya ya, namun mana mungkin kita dapat memiliki sesuatu yang berharga secara percuma - jika percuma, sahlah ia 'barang tiruan' - bukan cinta murni yang sejati.


Jiwa Perlukan Cinta
rasa cinta adalah anugerah Allah kepada setiap manusia. Jiwa memerlukan cinta sebagaimana jasad perlukan makanan. Cinta ibarat api yang menjadi sumber tenaga kepada kehidupan. Ia menyinari manusia sebagaimana matahari menyinari alam. Dengan kekuatan cinta manusia sanggup dan mampu menempuh pelbagai rintangan - gunung sanggup didaki, lurah dituruni, lautan sanggup direnangi - semata-mata untuk memiliki cinta. Allah menghadiahkan perasan cinta dalam keadaan yang cukup murni. Namun jika kemurniannya tercemar, jadilah ia api yang membakar hangus - bukan lagi sebagai sumber kehidupan tetapi pemusnah yang menghancurkan, tidak lagi menyinari alam tetapi menjadikan alam hitam kelam seperti arang.


Cinta Murni Mampu "MERENTAS ALAM"
Kehidupan di dunia hanyalah sebahagian dari siri perjalanan yang panjang seorang manusia. Bermula dari alam roh, kita berpindah ke alam rahim sebagai janin yang berkembang sehingga dilahirkan ke dunia sebagai bayi. Kini kita berada di alam dunia - menghabiskan usia sehingga proses kematian membawa kita berpindah ke alam barzakh.
Di barzakh, kita menunggu sehingga kiamat untuk semua manusia dikumpulkan di alam mahsyar. Di mahsyar, proses pengiraan amal berlaku membawa kepada perhentian terakhir kita - syurga atau neraka. Alam yang paling kritikal adalah alam dunia di mana kita diberi 'kebebasan' untuk 'memilih' jalan hidup.

Di sinilah penentuan sama ada cinta yang dikurniakan Allah ini membahagiakan sehingga merentasi barzakh, mahsyar dan akhirnya ke syurga abadi di mana kemuncak kebahagiaan cinta akan dinikmati atau menuju neraka yang seksanya tiada batasan!


Patuhi Peraturan Pencipta Cinta
Dia yang mencipta cinta telah mencipta juga 'peraturan cinta' demi untuk menjaga kemurnian cinta itu sendiri. Cinta yang mematuhi peraturan ini sahaja yang akan mampu merentas alam sehingga ke syurga. Malangnya peraturan ini kerap dilanggar oleh manusia yang sedang bercinta.
"Cinta apa namanya ini jika tidak ada dating, tidak 'bergayut' di telefon, tiada surat cinta yang membuai rasa, tiada sentuhan tangan dan tiada kerlingan dan senyuman?" Ada suara dari dalam diri kita mungkin merungut begini.

Yakinlah tidak ada keindahan dan kebahagiaan dalam melanggar peraturan Tuhan. Putus cinta, frust menonggeng - fenomena cinta yang begitu popular di kalangan manusia adalah disebabkan cinta yang tercemar kemurniannya.
Banyak cinta bukan sahaja hancur sebelum mencecah alam perkahwinan malah membawa dendam yang membara. Inilah cinta terlarang - cinta yang tidak mampu merentas alam malah mati sebelum kematian manusia itu sendiri.


CINTA Terlarang Destinasinya Adalah NERAKA
rasa cinta tidak salah tetapi kesalahan boleh berlaku sewaktu menjalinkan hubungan cinta. Di sinilah berlaku 'cinta terlarang' - cinta yang menafikan peraturan Tuhan. Ketika itu fitrah telah menjadi fitnah. Bila kehendak fitrah tidak disalurkan atau diisi mengikut peraturan maka akan berlakulah kekalutan dan kemusnahan. Cinta yang penciptaan asalnya bertujuan membahagiakan dan membantu meringankan bebanan hidup, menjadi beban paling berat dan penjara paling menyeksa.

Tuhan kerap terpinggir dalam hubungan cinta yang terlarang. Lebih-lebih lagi bila hukumnya dilanggar tanpa rasa bersalah tetapi dengan rasa manis dan megah, malah loyar buruk mengatakan "Allah kan Maha Pengampun?". Tubuh kekasih dipegang walaupun jelas Allah mengharamkan sentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan muhram.

Tergamak berdua-duaan di tempat sunyi walaupun sudah diperingatkan Nabi bahawa dalam keadaan begitu syaitan adalah orang yang ketiga. Bila bermula satu sentuhan, hampir mustahil untuk berundur ke belakang apabila nafsu dan syaitan sudah menguasai. Semuanya seolah-olah halal atas alasan cinta. Racun-racun berbisa yang memusnahkan fitrah cinta dianggap baja.

Akhirnya berbuahlah pohon cinta terlarang - pahit, masam, beracun dan memabukkan. Buah yang muncul dengan pelbagai label yang menjijikkan. Ketika itu hilanglah kemanisan cinta. Jika cinta begini yang diburu, tidak pelik jika cinta muncul dalam hidup dalam rupa 'monster' yang menakutkan...kerana ia memberi pengalaman yang cukup menyakitkan. Lalu cuba salahkan orang lain yang 'menabur janji kosong', 'manis kata di bibir, tapi hati lain bicara' - malah ada yang hingga tahap menyalahkan takdir kerana memisahkan 'cinta suci' antara dua insan. Cinta terlarang ini bukan sahaja destinasinya neraka di akhirat malah neraka sepanjang perjalanan di dunia. Kemanisannya hanya dapat dirasai di titik permulaan!


Hukum Cinta Dan Kasih Sayang Murni
rasa cinta yang murni sangat inginkan kebahagiaan untuk yang dicintai. Dia tidak akan membiarkan orang yang dicintai terluka sedikit pun. Dia kan melakukan apa sahaja demi untuk kebahagiaan yang dicintai tanpa mengharapkan balasan. Hukum cinta ialah beri dahulu pasti kita akan memetik hasilnya. Cinta paling murni dari Allah untuk hamba-Nya. Dia yang bersifat lah-Rahman dan lah-Rahim memberi dan terus memberi kepada hamba-Nya. Hubungan cinta yang menuntut 'penyerahan diri' sebelum ikatan sah melalui akad nikah pastinya bukan cinta yang murni kerana ia bukan sahaja meminggirkan Allah yang mencipta cinta malah mengetepikan soal mempertahankan maruah dan harga diri pasangan yang kononnya dicintai sepenuh hati!

Jika benar seorang lelaki mencintai wanita dengan cinta murni, mana mungkin dia sanggup merobekkan kehormatan wanita. Seorang lelaki yang mencintai seorang wanita pastinya mahu melindunginya dari sebarang kerosakan. Dia tidak akan sanggup membakar kekasihnya walau dengan puntung rokok sekalipun, tetapi Kenapa sanggup menempah api neraka dengan membiarkan sentuhan terlarang berlaku.


SYURGA - Destinasi Cinta Yang Mampu Merentas Alam
Untuk memastikan cinta yang kita jalin mampu merentas alam, hendaklah cinta kita itu didasarkan kepada cinta Allah...cinta yang kita berikan semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah dan boleh menghampirkan diri kepada-Nya. Cintailah sesiapapun tetapi pastikan cinta itu dapat memudahkan kita mencintai Allah. Oleh itu, cinta antara lelaki dan wanita mestilah diniatkan untuk memiliki cinta Allah. Tapi bagaimana?? Iringilah dengan niat untuk berkahwin kerana berkahwin itu lebih memudahkan seorang lelaki atau wanita menyempurnakan agamanya. Jangan sesekali bercinta sekadar untuk bersuka-suka. Lebih buruk lagi janganlah ada niat-niat yang jahat dalam bercinta sama ada didorong oleh hasutan nafsu atau bujukan syaitan.


Mencintai Allah - Benteng Cinta Terlarang
Mematuhi syariat adalah benteng terkuat daripada terjebak ke dalam jurang cinta terlarang. Kekuatan dan kemampuan untuk mematuhi syariat pula hanya dapat dimiliki hati meletakkan Tuhan sebagai cinta teragung. Hati yang mencintai hanya kerana Allah. Perasaan cinta adalah amanah dari Allah, maka pastikan ia hanya diberikan kepada yang akan sama-sama menjaga amanah ini. Maka pohonlah kekuatan dari Allah, Tuhan yang menciptakan cinta agar cinta yang kita jalinkan tidak membawa kita menjauhi-Nya dan sekali gus tidak membawa kita ke neraka...