Photobucket Ahlan :
widgeo.net
Memaparkan catatan dengan label Peringatan Bersama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Peringatan Bersama. Papar semua catatan

Sabtu, 16 Julai 2011

Amalan di Bulan Syaaban


PUASA-PUASA DI BULAN SYA’BAN
PUASA SEPANJANG SYA’BAN

Disunatkan berpuasa keseluruhan hari di bulan Sya’ban atau kebanyakan harinya. Ini berdasarkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; “Tidak pernah Nabi s.a.w. berpuasa (sunat) sebulan penuh dalam setahun kecuali di bulan Sya’ban di mana baginda menyambungnya dengan Ramadhan” (HR Imam Abu Daud dan an-Nasai). ‘Aisyah r.a. pula menceritakan; “Rasulullah s.a.w. kadang-kadang terus-menerus berpuasa hingga kami menganggap beliau tidak berbuka langsung, dan kadang-kadang beliau terus-menerus berbuka hingga kami menganggap beliau tidak berpuasa langsung. Namun demikian, aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat beliau paling banyak berpuasa sebagaimana beliau berpuasa di bulan Sya’ban”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Menurut ulamak; difahami dari hadis-hadis di atas bahawa Nabi s.a.w. adakalanya berpuasa sebulan penuh di bulan Sya’ban dan adakalanya baginda tidak berpuasa sebulan penuh tetapi pada kebanyakan harinya sahaja. 

Apa hikmahnya Rasulullah s.a.w banyak berpuasa di bulan Sya’ban?

Seorang sahabat bernama Usamah bin Zaid r.a. pernah bertanya Nabi s.a.w. kenapa beliau banyak berpuasa di bulan Sya’ban? Nabi s.a.w. menjawab; “Bulan Sya’ban itu adalah bulan yang selalu dilupai oleh manusia di mana kedudukannya di tengah antara Rejab dan Ramadhan. Namun ia adalah bulan diangkat amalan-amalan hamba kepada Tuhan Pencipta Alam. Maka aku menyukai amalanku diangkat ketika aku berpuasa” (Riwayat Imam an-Nasai)

PUASA SELEPAS NISFU SYA’BAN

Sabda Nabi s.a.w.;

“Apabila berbaki separuh dari bulan Sya’ban maka janganlah kamu berpuasa”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.)

Berdasarkan hadis ini dilarang berpuasa selepas nisfu Sya’ban bermula dari tanggal 16 haribulan hinggalah akhir bulan terutamanya sehari atau dua hari sebelum Ramahan (termasuklah hari Syak yang akan disebutkan nanti), sama ada puasa sunat atau puasa kerana ihtiyat (yakni dengan niat puasa Ramadhan sebagai berhati-hati) yang kebiasaannya berlaku di penghujung Sya’ban. Menurut Imam ar-Ruyani; mendahului Ramadhan dengan puasa selepas nisfu Sya’ban hukumnya adalah makruh. Adapun sehari atau dua hari sebelumnya, maka hukumnya adalah haram.

Namun menurut ulamak dikecualikan dari larangan berpuasa selepas Nisfu Sya’ban di atas orang-orang berikut;

1. Orang yang menyambung puasa yang dimulainya sebelum bulan Sya’ban masuk separuh kedua (yakni sebelum tanggal 16 haribulan) sekurang-kurangnya puasa pada hari nisfu Sya’ban. Dan disyaratkan puasanya itu berterusan hinggalah ke penghujung Sya’ban.

2. Orang yang mempunyai kebiasaan puasa tertentu seperti puasa isnin dan khamis, puasa selang sehari atau puasa ad-dahri, kemudian puasanya itu secara kebetulannya melintasi hari-hari selepas nisfu Sya’ban.

3. Orang-orang yang berpuasa dengan bersebab seperti nazar, kaffarah atau Qadha’ (termasuklah qadha’ puasa sunat).

PUASA SEHARI ATAU DUA HARI SEBELUM RAMADHAN

Dilarang berpuasa sehari atau dua hari sebelum Ramadhan berdalilkan sabda Rasulullah s.a.w. iaitu;

“Janganlah engkau mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari sebelumnya, kecuali seorang yang sudah biasa berpuasa, maka bolehlah ia berpuasa”.  (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

Sebahagian ulama’ berpendapat; pengharaman tersebut adalah dengan niat ihtiyat kepada Ramadhan. Namun bagi ulama’-ulama’ mazhab Syafi’ie; pengharaman tersebut merangkumi juga puasa sunat kecuali dalam bagi tiga orang yang disebut tadi; 
1. Orang yang menyambung puasa yang dilakukan sebelumnya
2. Orang yang puasa kerana kebetulan dengan kebiasaan berpuasanya.
3. Orang berpuasa dengan bersebab seperti puasa Qadha, Nazar dan sebagainya.

PUASA HARI SYAK

Dilarang berpuasa pada hari syak berdalilkan hadis dari ‘Ammar bin Yasir r.a. yang menceritakan;

“Sesiapa berpuasa pada hari syak, maka sesungguhnya ia mengingkari Abal-Qasim (gelaran bagi Rasulullah s.a.w.)”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)

Hari syak ialah hari ke 30 Sya’ban yang timbul syak atau keraguan di kalangan orang ramai; apakah ia masih bulan Sya’ban atau telah masuk bulan Ramadhan? Keraguan itu timbul kerana ada suara-suara yang memperkata atau menghebohkan bahawa anak bulan Ramadhan telah kelihatan, namun tidak ada saksi yang adil atau yang boleh diterima yang memberitahu atau mendakwa ia melihat anak bulan itu. Hari syak ini diharamkan berpuasa sama ada dengan niat puasa Ramadhan sebagai ihtiyaht (yakni berhati-hati) atau puasa sunat. Jika ada yang berpuasa juga pada hari syak, puasanya batal dan ia berdosa. Walau bagaimanapun, dikecualikan larangan tersebut dari tiga orang yang disebut tadi.

SAMBUTAN NISFU SYA’BAN (FATWA MUFTI MESIR)

Soalan; Apa hukum menyambut Nisfu Sya’ban dengan mengadakan majlis bacaan Yaasin, ceramah dan berpuasa besoknya? (Soalan diringkaskan dari soalan asal yang panjang)

Jawapan;

1. Malam Nisfu Sya’ban adalah malam yang diberkati. Kelebihannya disebut oleh banyak hadis yang saling menguatkan antara satu sama lain mengangkat darjahnya kepada hasan dan kuat. Oleh itu, memberi perhatian kepada malam itu dan menghidupkannya merupakan tanda kecintaan kepada agama tanpa diragui lagi. Ini setelah kita mengenepikan hadis-hadis yang dhaif atau maudhuk berkenaan kelebihan malam tersebut.

Di antara hadis-hadis yang ada bagi kelebihan malam tersebut;

A) Hadis dari Ummul Mukminin Aisyah r.a. yang menceritakan; Suatu malam aku mendapati Rasulullah tiada bersamaku, lalu aku keluar mencari beliau. Aku menemuinya di perkuburan al-Baqi’ sedang mendongak kepalanya ke langit, lalu baginda berkata kepadaku; “Wahai Aisyah, apakah kamu khuatir Allah dan RasulNya akan menganiayai kamu”. Aku menjawab; “Aku tidak rasa begitu, akan tetapi aku mengangka kamu keluar ke rumah isteri kamu yang lain”. Lalu Nabi bersabda; “Sesungguhnya pada malam Nisfu Sya’ban Allah Taala turun ke langit dunia, lalu Dia mengampunkan hambanya lebih ramai dari bilangan bulu kambing milik kabilah Kalb (*Kabilah al-Kalbi; satu kabilah di kalangan orang Arab yang paling banyak membela kambing) (HR Imam at-Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad).

B) Hadis dari Mu’az bin Jabal yang menceritakan; Nabi s.a.w. Bersabda; “Pada malam nisfu Sya’ban, Allah melihat kepada sekelian makhlukNya. Lalu Dia mengampunkan ke semua mereka kecuali orang musyrik dan orang yang bermusuh dengan saudara seagama” (HR Imam at-Thabrani dan disahihkan oleh Ibnu Hibban).

C) Hadis dari Ali bin Thalib r.a. yang menceritakan; Nabi bersabda; “Bila tiba malam Nisfu Sya’ban, bangunlah menghidupkan malamnya dan berpuasalah pada siangnya kerana sesungguhnya Allah turun pada malam itu ke langit dunia bermula dari saat terbenam matahari dan Allah berkata; Tiadakah orang yang memohon ampun untuk Aku ampuninya. Tiadakah orang yang memohon rezki untuk aku beri rezki kepadanya. Tiadakah yang ditimpa bala, untuk aku beri keselamatan untuknya. Tiadakah orang yang melakukan demikian dan demikian…hinggalah terbit fajar”. (HR Imam Ibnu Majah)

Tidak menjadi halangan untuk membaca Yasin sebanyak 3 kali selepas solat Maghrib secara beramai-ramai kerana ia masuk dalam pengertian menghidupkan malam tersebut. Dalam perkara zikir, Syariat memberi keluasan kepada umat Islam. Mengkhaskan beberapa tempat tertentu dan masa-masa tertentu untuk beramal soleh secara berterusan merupakan suatu yang masyru’ (disyariatkan) selama pelakunya tidak mengiktiqadkan ia adalah kewajipan Syariat yang berdosa siapa meninggalkannya. Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a. yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. mengunjungi masjid Quba pada setiap hari Sabtu dengan berjalan kaki dan menunggang kenderaan” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). berkata Imam Ibnu Hajar dalam kitabnya Fathul-Bari; “Hadis ini dengan pelbagai jalannya menunjukkan keharusan mengkhususkan hari-hari tertentu untuk melakukan amal-amal soleh tertentu dan berterusan melakukannya”. 

Berkata Imam Ibnu Rejab dalam kitabnya Lataif al-Maarif; Para ulamak dari kalangan penduduk Syam berbeza pandangan pada cara menghidupkan malam Nisfu Sya’ban itu dengan dua pendapat;

1. Pandangan pertama; Digalakkan menghidupkannya secara berjamaah di masjid, di mana Khalid bin Ma’dan (seorang Tabi’in), Luqman bin ‘Amir (seorang Tabi’in juga) dan beberapa ulamak lagi pada malam itu mereka akan memakai pakaian yang paling elok, berwangian dan bercelak dan menuju ke masjib untuk beribadah bagi menghidupkan malam tersebut. Imam Ishaq bin Rahawaih (dari kalangan Tabi’ Tabiin) turut menyetujui mereka dan ia berkata tentang menghidupkan malam Nisfu Sya’ban secara berjamaah di masjid; “Ia tidaklah bid’ah”.  Dinaqalkan darinya oleh Harb al-Kirmani dalam kitabnya al-Masail.

2. Pandangan kedua: Dimakruhkan berhimpun di masjid-masjid untuk mengerjakan solat, mendengar kisah-kisah dan berdoa, tetapi tidak makruh jika mengerjakan solat pada malam tersebut di masjid secara bersendirian. Pandangan ini merupakan pegangan Imam al-Auza’ie (Tabi’in).

Dari itu, menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dengan cara yang disebutkan tadi adalah disyariatkan, bukan bid’ah dan tidak dimakruhkan, dengan syarat ia dikerjakan bukan atas dasar kemestian dan kewajipan. Sekiranya ia dikerjakan dengan cara memestikan orang lain dan menganggap berdosa sesiapa yang tidak bersama mengerjakannya, pada ketika itu ia menjadi bid’ah kerana mewajibkan sesuatu yang tidak pernah diwajibkan oleh Allah dan RasulNya. Inilah yang dimaksudkan oleh sebahagian ulamak Salaf yang memakruhkan amalan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban secara berjamaah itu (yakni kerana mereka khuatir akan dianggap wajib oleh masyarakat). Maka jika tidak dianggap wajib, tidaklah dimakruhkan.

Wallahu A'lam...

Sabtu, 22 Mei 2010

SYURGA ATAU NERAKA ???

Assalamualaikum...

JEJAK SYURGA ATAU JEJAK NERAKA...
---------------------------------

Kita sekarang dihidupkan oleh Allah, di bumi Allah dan di dalam zaman yang Allah tentukan. Selepas itu kita akan dikembalikan, sama ada disedari atau tidak ke salah satu daripada dua negeri yang kekal abadi iaitu syurga atau neraka.

Sekarang kita sedang berjalan ke destinasi yang kita sendiri pilih - syurga atau neraka. Allah menyediakan dua jalan untuk kita pilih. Terpulanglah kepada kita untuk memilih sama ada jejak ke syurga atau jejak ke neraka.

Namun begitu, Allah sudah memberitahu kita di dalam Al-Quran, tentang betapa nikmatnya kehidupan di syurga. Begitu juga dijelaskan betapa azabnya kehidupan ngeri di neraka. Nabi Muhammad saw. juga menguatkan lagi melalui hadith-hadithnya yang masih segar dibaca dan didengar hingga ke hari ini.

Sebagai makhluk yang diberikan kesempurnaan akal fikiran, manusia boleh berfikir kesan dan risiko yang bakal diterima akibat dari sesuatu tindakannya. Setiap sesuatu itu ada sebab-musababnya. Allah masukkan seseorang ke syurga kerana dalam hidupnya di dunia ini, dia memilih jalan ke syurga. Begitu juga Allah masukkan seseorang itu ke neraka kerana dalam hidupnya dia sengaja memilih jalan ke neraka. Terpulang kepada kita hendak mengikuti jejak syurga atau jejak neraka...

Pilih dan ikutlah jalan ke syurga sebagaimana yang disenaraikan di bawah:

- beramal semasa muda lagi
- bertolong-tolongan kerana Allah
- jauhi diri dan keluarga dari zina
- mendidik anak kewajipan beragama
- mendirikan solat wajib dan sunat
- bertahajjud di tengah malam
- menangis dan menginsafi diri kerana takut akan ALlah
- bersedekah, menderma dan berwakaf secara senyap
- berpaut hati pada masjid
- sentiasa belajar hal-ehwal agama
- sembahyang berjemaah
- selalu berada di tempat pengajian agama
- menziarahi orang sakit
- mengiringi mayat hingga ke kubur
- mengadakan khenduri cara Islam
- mendamaikan pergaduhan
- menolong anak yatim dan miskin
- dan lain-lain perkara kebajikan

Pada masa yang sama hindarilah jejak neraka yang disenaraikan dibawah:

- tidak mengajar anak hal-hal keagamaan
- kaya tapi bakhil
- menipu
- mengambil arak, dadah dan yang memabukkan
- mengadakan majlis maksiat
- berzina atau menghampiri zina
- memakan harta anak yatim
- meringankan sembahyang
- tidak mengeluarkan zakat
- panjang angan-angan dan tak mahu bertaubat
- meninggalkan sembahyang
- durhaka kepada ibu bapa
- berbuat fitnah
- suami dayus (membebaskan isteri)
- ibu bapa dayus (membebaskan anak)
- makan harta haram
- berbohong dan berdusta
- menggunakan sihir
- dengki dan khianat

Sementara kita diberi peluang oleh Allah untuk memilih jalan yang menentukan nasib kita pada masa hadapan, marilah sama-sama kita saling bantu-membantu menegakkan amar makruf dan nahi mungkar yang dewasa ini sudah kurang berfungsi dan tidak diberi keutamaan lagi.

Wallahu A'lam...

Khamis, 20 Mei 2010

Apabila Kiamat Tiba

Assalamualaikum...

Apabila langit terbelah; Dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan; Dan apabila lautan pecah bercampur-baur; Dan apabila kubur-kubur dibongkarkan, (setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya. (Al-Infitar 1 -5)


Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap); Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak; Dan apabila gunung-ganang di terbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu); Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar; Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan; Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur; Dan apabila tiap-tiap diri disatukan dengan pasangannya; Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya, - Dengan dosa apakah ia dibunuh? Dan apabila surat-surat amal dibentangkan; Dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya; Dan apabila neraka dinyalakan menjulang; Dan apabila Syurga didekatkan (Al-Taqwir : 1-13)


(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): "Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu". (Ali Imran : 106)


Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah. (Luqman :33)


"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, "Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik) (As-Syuaara' : 88-89)


Kaum kerabat kamu dan anak-anak kamu (yang tidak menurut kamu beriman) tidak sekali-kali akan mendatangkan sebarang faedah kepada kamu pada hari kiamat; Allah akan memisahkan di antara kamu semua (pada hari itu). Dan (ingatlah),Allah Maha Melihat segala yang kamu kerjakan.(Al-Mumtahanah : 3)


Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (ke arah kebaikan) sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim. (Al-Baqarah : 254)


Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya, Dan ibunya serta bapanya, Dan isterinya serta anak-anaknya; -Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja. Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri, Tertawa, lagi bersuka ria; Dan muka (orang-orang yang ingkar) pada hari itu penuh berdebu, Diliputi oleh warna hitam legam dan gelap-gelita. - Mereka itu ialah orang-orang yang kafir, yang derhaka. ('Abasa 34-42)


Dan sahabat karib tidak bertanyakan hal sahabat karibnya, (kerana tiap-tiap seorang sibuk memikirkan hal keadaannya sendiri), Padahal masing-masing diberi melihat setengahnya yang lain; (pada saat yang demikian) orang yang kafir suka kiranya dapat menebus dirinya dari azab itu dengan anak-anaknya sendiri, Dan isteri serta saudaranya, Dan kaum kerabatnya yang melindunginya, Dan juga sekalian makhluk yang ada di bumi - kemudian (diharapkannya) tebusan itu dapat menyelamatkannya. (Al-Maarij 10-14)


Wallahu A'lam....



Selasa, 18 Mei 2010

Bagaimana Menghilangkan Sifat Marah?

Assalamualaikum wbt

Sifat pemarah itu berasal daripada sifat sombong (ego). Lagi besar ego seseorang lagi besar marahnya. Ini berkaitan pula dengan kedudukan seseorang. Kalau tinggi kedudukan seseorang, besar pangkatnya, banyak hartanya, ramai pengikutnya, maka akan tinggilah ego seseorang dan akan menjadi-jadilah pemarahnya. Sebaliknya jikalau kurang segalanya, maka akan kuranglah egonya dan akan kurang jugalah pemarahnya.

Sifat pemarah ini ada pada hampir semua orang seperti juga hasad dengki. Kenapa kita mesti marah ? Telah berkata Mujahid di dalam sebuah bait syair : "Takdir Allah telah putus dan putusan Allah telah terjadi. Istirehatkan hati dari kata-kata "Barangkali" dan"Kalau".

Setiap kelemahan dan kesilapan manusia adalah ujian untuk kita.Allah mahu melihat bagaimana sabarnya kita dan malunya kita kepada Allah dengan mengucapkan " Inna lillahi wainna lillahi raji'un.".Pernah ditanya Ahnaf bin Qais, bagaimana dia boleh mengekalkan sifatnya yang lemah lembut itu. Ahnaf menjawab : " Aku belajar dengan Qais bin Asim iaitu pada satu hari sedang  berehat-rehat,masuk hambanya membawa panggang besi yang berisi daging panggang yang  masih panas. Belum sempatdaging itu diletakkan dihadapan Qias,tanpa sengaja besi pemanggang yang panas itu jatuh terkena anak kecil Qais.Menjerit-jeritlah si anak, kesakitan  dan kepanasan sehingga meninggal dunia. Qais yang melihat peristiwa itu dengan tenang berkata kepada hambanya yang sedang pucat dan menunggu hukuman " Aku bukan sahaja tidak marah kepada kamu tetapi muali hari ini aku akan membebaskan kamu." Begitulah sopan santunnya dan pemaafnya Qais bin Asim" Kata Ahnaf mengakhiri ceritanya.

Bukannya Qais tidak menyayangi anaknya tetapi Qais memandang segala kejadian itu adalah dari Allah. Jikalau dia bertindak memarahi hambanya, maka hakikatnya dia memarahi Allah. Dia redha  dengan ujian yang ditimpakan kepadanya. Tidak ada di dalam kamus hidupnya perkataan kalau atau barangkali. Hatinya tidak terasa dia " tuan"kerana apa yang ada padanya dirasakan amanah dari Allah. Yang bila sampai ketikanya Allah akan ambil kembali.

Kita mesti ubati hati kita. Kita kita mesti membuangkan rasa rasa"ketuanan" kita yang menyebabkan kita menjadi pemarah dengan melakukan mujahadatun nafsi. Di antara langkah yang perlu kita hadapi untuk menghilangkan marah ialah :

a) Mula-mula kita perlu malu dengan Allah s.w.t akan segala tindak-tanduk kita. Allah  memerhatikan segala perlakuan dan sikap biadab kita.

b) Bila datang rasa hendak marah, ingatlah kita ini hanyalah manusia yang hina.

c) Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah agar Allah selamatkan kita daripada sifat  marah.

d) Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah itu mungkin akan membawa kepada permusuhan dan pembalasan dendam dari orang yang anda marahi.

e) Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika kita sedang marah. Ianya lebih buruk daripada perlakuan seekor binatang jikalau anda di dalam keadaan yang marah.

f) Apabila datang marah, banyakkan baca Ta'awwuz ( A'uzubillahi minas Syaitanirrajim ) kerana marah itu datangnya daripada syaitan.

g) Apabila marah sedang memuncak, ambil wudhu kerana wudhu dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.

h) Jikalau tidak boleh hilang marah dengan hal tersebut di atas,hendaklah tidur. Kerana ianya akan meredakan perasaan marah apabila bangkit daripada tidur

i) Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datangnya dari Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah.

Kalau kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Maka begitulah orang lain yang melakukan kesilapan, juga tidak suka dimarahi. Tegurlah dengan lemah lembut dan kasih sayang.

wassalam

Selasa, 9 Jun 2009

Mahabbah Menuju Cinta Allah

[Jauhi CInta Terlarang]

Assalamualaikum wbt...

Siapalah yang tidak mahu cintanya sampai ke syurga. Pakar-pakar psikologi mendapati wanita yang mampu memberikan tumpuan penuh dan cemerlang dalam kerjaya ialah mereka yang stabil dalam hubungan cintanya terutama dalam rumah tangga. Betulkah begitu?

Lihatlah di dalam diri sendiri dan nilailah dengan jujur. Pakar psikologi adalah manusia biasa yang mungkin tersilap tetapi jika kajian mereka benar,perkara ini perlu diusahakan. Mampukah cinta menjangkau bahagia dari dunia hingga ke akhirat? Jawapannya ya, namun mana mungkin kita dapat memiliki sesuatu yang berharga secara percuma - jika percuma, sahlah ia 'barang tiruan' - bukan cinta murni yang sejati.


Jiwa Perlukan Cinta
rasa cinta adalah anugerah Allah kepada setiap manusia. Jiwa memerlukan cinta sebagaimana jasad perlukan makanan. Cinta ibarat api yang menjadi sumber tenaga kepada kehidupan. Ia menyinari manusia sebagaimana matahari menyinari alam. Dengan kekuatan cinta manusia sanggup dan mampu menempuh pelbagai rintangan - gunung sanggup didaki, lurah dituruni, lautan sanggup direnangi - semata-mata untuk memiliki cinta. Allah menghadiahkan perasan cinta dalam keadaan yang cukup murni. Namun jika kemurniannya tercemar, jadilah ia api yang membakar hangus - bukan lagi sebagai sumber kehidupan tetapi pemusnah yang menghancurkan, tidak lagi menyinari alam tetapi menjadikan alam hitam kelam seperti arang.


Cinta Murni Mampu "MERENTAS ALAM"
Kehidupan di dunia hanyalah sebahagian dari siri perjalanan yang panjang seorang manusia. Bermula dari alam roh, kita berpindah ke alam rahim sebagai janin yang berkembang sehingga dilahirkan ke dunia sebagai bayi. Kini kita berada di alam dunia - menghabiskan usia sehingga proses kematian membawa kita berpindah ke alam barzakh.
Di barzakh, kita menunggu sehingga kiamat untuk semua manusia dikumpulkan di alam mahsyar. Di mahsyar, proses pengiraan amal berlaku membawa kepada perhentian terakhir kita - syurga atau neraka. Alam yang paling kritikal adalah alam dunia di mana kita diberi 'kebebasan' untuk 'memilih' jalan hidup.

Di sinilah penentuan sama ada cinta yang dikurniakan Allah ini membahagiakan sehingga merentasi barzakh, mahsyar dan akhirnya ke syurga abadi di mana kemuncak kebahagiaan cinta akan dinikmati atau menuju neraka yang seksanya tiada batasan!


Patuhi Peraturan Pencipta Cinta
Dia yang mencipta cinta telah mencipta juga 'peraturan cinta' demi untuk menjaga kemurnian cinta itu sendiri. Cinta yang mematuhi peraturan ini sahaja yang akan mampu merentas alam sehingga ke syurga. Malangnya peraturan ini kerap dilanggar oleh manusia yang sedang bercinta.
"Cinta apa namanya ini jika tidak ada dating, tidak 'bergayut' di telefon, tiada surat cinta yang membuai rasa, tiada sentuhan tangan dan tiada kerlingan dan senyuman?" Ada suara dari dalam diri kita mungkin merungut begini.

Yakinlah tidak ada keindahan dan kebahagiaan dalam melanggar peraturan Tuhan. Putus cinta, frust menonggeng - fenomena cinta yang begitu popular di kalangan manusia adalah disebabkan cinta yang tercemar kemurniannya.
Banyak cinta bukan sahaja hancur sebelum mencecah alam perkahwinan malah membawa dendam yang membara. Inilah cinta terlarang - cinta yang tidak mampu merentas alam malah mati sebelum kematian manusia itu sendiri.


CINTA Terlarang Destinasinya Adalah NERAKA
rasa cinta tidak salah tetapi kesalahan boleh berlaku sewaktu menjalinkan hubungan cinta. Di sinilah berlaku 'cinta terlarang' - cinta yang menafikan peraturan Tuhan. Ketika itu fitrah telah menjadi fitnah. Bila kehendak fitrah tidak disalurkan atau diisi mengikut peraturan maka akan berlakulah kekalutan dan kemusnahan. Cinta yang penciptaan asalnya bertujuan membahagiakan dan membantu meringankan bebanan hidup, menjadi beban paling berat dan penjara paling menyeksa.

Tuhan kerap terpinggir dalam hubungan cinta yang terlarang. Lebih-lebih lagi bila hukumnya dilanggar tanpa rasa bersalah tetapi dengan rasa manis dan megah, malah loyar buruk mengatakan "Allah kan Maha Pengampun?". Tubuh kekasih dipegang walaupun jelas Allah mengharamkan sentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan muhram.

Tergamak berdua-duaan di tempat sunyi walaupun sudah diperingatkan Nabi bahawa dalam keadaan begitu syaitan adalah orang yang ketiga. Bila bermula satu sentuhan, hampir mustahil untuk berundur ke belakang apabila nafsu dan syaitan sudah menguasai. Semuanya seolah-olah halal atas alasan cinta. Racun-racun berbisa yang memusnahkan fitrah cinta dianggap baja.

Akhirnya berbuahlah pohon cinta terlarang - pahit, masam, beracun dan memabukkan. Buah yang muncul dengan pelbagai label yang menjijikkan. Ketika itu hilanglah kemanisan cinta. Jika cinta begini yang diburu, tidak pelik jika cinta muncul dalam hidup dalam rupa 'monster' yang menakutkan...kerana ia memberi pengalaman yang cukup menyakitkan. Lalu cuba salahkan orang lain yang 'menabur janji kosong', 'manis kata di bibir, tapi hati lain bicara' - malah ada yang hingga tahap menyalahkan takdir kerana memisahkan 'cinta suci' antara dua insan. Cinta terlarang ini bukan sahaja destinasinya neraka di akhirat malah neraka sepanjang perjalanan di dunia. Kemanisannya hanya dapat dirasai di titik permulaan!


Hukum Cinta Dan Kasih Sayang Murni
rasa cinta yang murni sangat inginkan kebahagiaan untuk yang dicintai. Dia tidak akan membiarkan orang yang dicintai terluka sedikit pun. Dia kan melakukan apa sahaja demi untuk kebahagiaan yang dicintai tanpa mengharapkan balasan. Hukum cinta ialah beri dahulu pasti kita akan memetik hasilnya. Cinta paling murni dari Allah untuk hamba-Nya. Dia yang bersifat lah-Rahman dan lah-Rahim memberi dan terus memberi kepada hamba-Nya. Hubungan cinta yang menuntut 'penyerahan diri' sebelum ikatan sah melalui akad nikah pastinya bukan cinta yang murni kerana ia bukan sahaja meminggirkan Allah yang mencipta cinta malah mengetepikan soal mempertahankan maruah dan harga diri pasangan yang kononnya dicintai sepenuh hati!

Jika benar seorang lelaki mencintai wanita dengan cinta murni, mana mungkin dia sanggup merobekkan kehormatan wanita. Seorang lelaki yang mencintai seorang wanita pastinya mahu melindunginya dari sebarang kerosakan. Dia tidak akan sanggup membakar kekasihnya walau dengan puntung rokok sekalipun, tetapi Kenapa sanggup menempah api neraka dengan membiarkan sentuhan terlarang berlaku.


SYURGA - Destinasi Cinta Yang Mampu Merentas Alam
Untuk memastikan cinta yang kita jalin mampu merentas alam, hendaklah cinta kita itu didasarkan kepada cinta Allah...cinta yang kita berikan semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah dan boleh menghampirkan diri kepada-Nya. Cintailah sesiapapun tetapi pastikan cinta itu dapat memudahkan kita mencintai Allah. Oleh itu, cinta antara lelaki dan wanita mestilah diniatkan untuk memiliki cinta Allah. Tapi bagaimana?? Iringilah dengan niat untuk berkahwin kerana berkahwin itu lebih memudahkan seorang lelaki atau wanita menyempurnakan agamanya. Jangan sesekali bercinta sekadar untuk bersuka-suka. Lebih buruk lagi janganlah ada niat-niat yang jahat dalam bercinta sama ada didorong oleh hasutan nafsu atau bujukan syaitan.


Mencintai Allah - Benteng Cinta Terlarang
Mematuhi syariat adalah benteng terkuat daripada terjebak ke dalam jurang cinta terlarang. Kekuatan dan kemampuan untuk mematuhi syariat pula hanya dapat dimiliki hati meletakkan Tuhan sebagai cinta teragung. Hati yang mencintai hanya kerana Allah. Perasaan cinta adalah amanah dari Allah, maka pastikan ia hanya diberikan kepada yang akan sama-sama menjaga amanah ini. Maka pohonlah kekuatan dari Allah, Tuhan yang menciptakan cinta agar cinta yang kita jalinkan tidak membawa kita menjauhi-Nya dan sekali gus tidak membawa kita ke neraka...