Photobucket Ahlan :
widgeo.net

Ahad, 20 Jun 2010

PENYAKIT-PENYAKIT HATI


Assalamualaikum ...

Islam adalah agama yang amat menitikberatkan hubungan sesama manusia. Iniboleh dilihat dalam ayat-ayat al-Quran dan juga hadis-hadis yang menyeru
manusia agar berlaku sopan dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

Di samping itu terdapat juga ayat-ayat al-Quran yang melarang umat manusia
daripada mencela mengeji serta menyakiti sesama mereka, begitu juga dengan
sabda sabda Rasulullah SAW. Ini bertujuan untuk memelihara kesejahteraan
hidup umat manusia seluruhnya.

Di antara sifat yang perlu dimiliki oleh setiap orang yang beriman ialah
mempunyai sifat suka mengkaji dan meneliti segala keaiban sendiri dan juga
sifat-sifat keji yang mungkin bertapak di jiwa mereka dan sekaligus berusaha pula secara bersungguh mencari ubat dan penawar segala penyakit yang dihidapinya setelah dikenalpasti. Ini kerana tidak ada orang lain yang lebih arif daripada yang empunya diri tentang apa yang dihidapinya.

Tetapi untuk mengubati penyakit penyakit hati seperti hasad dengki, riak,
takabbur, bakhil, suka menceritakan keburukan orang lain bukanlah suatu
perkara yang mudah. Banyak halangan perlu ditempuhi, banyak onak dan duri
harus dilalui.

Sememangnya, sifat-sifat tersebut amat berbahaya kepada masyarakat jika ia
berjaya bertapak disudut hati sesetengah anggota masyarakat. Biasanya,
sifat-sifat seperti ini akan sentiasa dihiasi dan diperindahkan oleh syaitan yang berupa jin dan yang suka melihat manusia hidup dalam kucar-kacir, tidak menentu serta bermusuhan sepanjang masa.

Bagi jin dan syaitan, merosakkan kehidupan manusia, menyesat serta mengheret mereka ke arah kemurkaan Allah adalah tugas rasmi dan sumpah mereka di hadapan Allah, (sejak mereka dihalau dari syurga kerana keengganan mereka sujud kepada Adam a.s. apabila diperintahkan oleh Allah). Semenjak itu, mereka bertekad untuk tidak membiarkan anak-anak Adam hidup dalam keadaan aman, bahkan mereka akan melakukan apa sahaja bagi menyesatkan umat manusia serta memporakperandakan kehidupan mereka.

Segala usaha yang dilakukan oleh makhluk Allah yang halus ini ternyata dapat menggugat kestabilan dan keharmonian hidup manusia sejagat. Ini diperkuatkan lagi dengan wujudnya para pembantu serta kuncu-kuncu mereka yang terdiri daripada kalangan manusia yang bertopengkan syaitan. Golongan ini turut bekerja keras bagi memenuhi matlamat 'boss' mereka.

Namun begitu, kemungkinan terdapat matlamat atau tujuan yang berbeda di
antara kedua-dua golongan syaitan ini. Bagi syaitan dan iblis, matlamat
mereka adalah untuk menyesatkan umat manusia. Bagi syaitan yang terdiri
daripada kalangan manusia pula, mereka bukan sahaja ingin melihat manusia
jauh daripada ajaran Islam, bahkan mereka mempunyai matlamat-matlamat
sampingan yang lain seperti mengumpulkan harta benda, kekuasaan, pengaruh
dan berusaha mencapainya dengan pelbagai cara.

Untuk mencapai matlamat tersebut, manusia yang hatinya mempunyai penyakitini, sanggup melakukan apa sahaja walaupun dengan menindas orang lain.Mereka sanggup membuat fitnah, mengeji serta melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah orang lain semata-mata untuk mencapai matlamat mereka.

Demikianlah betapa buruknya sifat manusia apabila mereka telah dikuasai
dengan penyakit-penyakit hati ini. Mereka tidak lagi dapat membezakan antara kawan dan lawan, antara yang baik dengan yang buruk dan yang hak dengan yang batil.

Selagi manusia yang dijangkiti dengan penyakit-penyakit hati ini tidak dapat mengenal pasti penyakit dan wabak yang mereka hidapi, selagi itulah penyakit tersebut akan terus mengheret mereka ke kancah perkara-perkara yang buruk dan tidak berperi kemanusiaan.

Mengumpat, mengeji serta melaga-lagakan sesama manusia telah menjadi suatuperkara yang lumrah dalam kehidupan manusia hari ini. Apabila ada orang yang cuba memberi nasihat terhadap perkara yang dilakukan, dengan selamba mereka menjawab. 'Ala! Memang betul dia buat macam tu," tanpa menyedari bahawa apa yang diperkatakan itu sebenarnya sudah dikira sebagai ghibah atau mengumpat.

Perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah tatkala seorang sahabat
bertanya,, Wahai Rasulullah, apakah itu ghibah?" Lalu jawab Baginda,
"Menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu!' Kemudian Baginda
ditanya lagi, "Bagaimana sekiranya apa yang disebutkan ltu benar?" jawab
Baginda, "Kalau sekiranya apa yang disebutkan itu benar, maka engkau
sebenarnya telah mengumpatnya tetapi jika sekiranya perkara itu dusta, maka
engkau sebenarnya telah berbohong."

Di dalam hadis yang lain Baginda bersabda, "Tidak akan masuk syurga mereka
yang suka mengumpat." Demikianlah besarnya celaan terhadap mereka yang suka melakukan perkara yang keji ini. Begitu juga dengan penyakit-penyakit lain yang timbul dari hati yang sakit seperti hasad dengki, riak, sombong dan
sebagainya, yang tidak akan membawa sebarang manfaat kepada mereka.
Sebaliknya, ini semua akan menghancurkan hidup mereka di dunia dan
akhirat.Di dunia, mereka akan dikeji dan dihina oleh manusia, manakala di
akhirat pula, azab dan sengsara pasti menanti mereka. Inilah janji Allah,
dan Allah sama sekali tidak akan memungkiri janjinya.

Justeru itu, sebagai seorang muslim, kita seharusnya berhati-hati agar
penyakit yang amat merbahaya ini tidak menjangkiti kita. Seandainya penyakit ini telah dihidapi, dan kita telah mengesannya maka kembalilah kepada Allah dan mintalah keampunan-Nya sebelum terlambat.

Semoga Allah mengampunkan kita semua, memelihara dan memberi kekuatan kepada kita untuk mengawal diri daripada bencana penyakit-penyakit ini.

MAKSIAT HATI

1.Suka Makan Banyak.

Makan berlebih-lebihan daripada biasa.

Maksud hadith: "Yang lebih afdhal iaitu orang yang banyak lapar dan banyak tafakur dan dibenci oleh Allah iaitu orang yang banyak makan dan banyak tidur dan banyak minum."

2.Suka Cakap Banyak.

Firman Allah yang bermaksud: "Tiada kebajikan (kebaikan) kepada mereka yang banyak cakap, melainkan seorang yang menyuruh berbuat sedekah atau berbuat kebaikan atau mendamaikan orang yang bergaduh."

Maksud hadith: "Barangsiapa percaya kepada Allah dan hari kemudian maka hendaklah ia berkata dengan baik atau diam."

3.Marah.

Maksud hadith: "Tiada marah seseorang itu melainkan ia hampir atas neraka jahanam."

4.Hasad Dengki.

Ia adalah sebesar-besar kejahatan manusia, dilarang oleh syarak, lagi haram.

Maksud hadith: "Hasad dengki itu memakan amal kebajikan seperti api memekan kayu yang kering."

5.Bakhil (Kedekut).

Bakhil/kedekut iaitu cintakan harta adalah sebesar-besar kebinasaan di hari akhirat.

Maksud hadith: "Bermula orang yang bermurah hati yang jahil lebih dikasihi oleh Allah daripada orang yang adib yang kikir (bakhil). Yakni orang yang jahil pemurah lebih baik daripada orang yang banyak ibadat tetapi kikir (edekut) sekalipun berilmu."

6.Cinta Kepada Kemegahan.

Firman Allah bermaksud: "Bermula akhirat itu dijadikan bagi orang yang tidak berkehendak kepada ketinggian dan kemegahan di dalam dunia dan ia tidak berkehendak membinasakan orang di dalam dunia dan syurga itu bagi orang yang takut kepada Allah."

7.Cinta Dunia

Ditegah oleh syarak , cinta dunia adalah punca kepada segala kejahatan, yang membinasakan manusia.

Sabda Rasulullah S.A W: "Cinta dunia kepala segala kesalahan dan kejahatan"

8.Takbur(Membesarkan Diri)

Takbur adalah sebesar-besar penyakit dan maksiat yang ada dalam hati
Firman Allah yang bermaksud: "Masuk segala kamu hai orang yang kafir akan pintu neraka hal keadaan kekal mereka itu di dalamnya. Maka neraka itulah sejahat-jahat tempat bagi orang yang membesarkan diri mereka."

9.Ujub (Hairan Diri).

Ujub dicela oleh syarak lagi membinasakan amalan.
Sabda Rasulullah: "Tiga perkara orang yang membinasakan ibadat. Pertama kikir yakni kedekut dan kedua mengikut hawa nafsu yakni mengikut segala yang disukainya oleh nafsu yang dicela oleh syarak dan ketiga ujub."

10.Ria'

Yakni menunjuk-nunjuk supaya orang puji atau sanjung.

Ijmaa' ulama' sepakat hukumnya haram.

Firman Allah: "Maka binasa bagi orang yang sembahyang yang lalai mereka itu daripada sembahyang. Mereka menunjuk-nunjuk sembahyang mereka kepada orang lain supaya dipuji oleh orang dan supaya dibesarkan oleh orang."

Bila Hati Mati...Kenapa hati mati?

Terjadinya hati mati adalah disebabkan perkara-perkara berikut :

1. Hati akan mati bilamana ia dibiar terus-menerus parah dengan kesakitan yang ditanggungnya.Sebagaimana manusia juga. Ia akan mati menurut adatnya kalau sakitnya yang di tahap kronik itu tidak dapat dirawat dan diubati secepat mungkin.

Firman Allah. “Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwanya dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotori jiwanya.”(As-Syams:9-10)

2. Hati juga boleh mati akhirnya kerana ia tidak mahu berfungsi sebaiknya mengikut perintah Allah. Ia langsung tidak mahu mengambil iktibar dan pengajaran dari didikan dan ujian Allah, malah ia sentiasa memalingkan diri dari petunjuk dan jalan Allah.Pemilik hati sebegini diberi amaran oleh Allah sepertimana dalam firmanNya:

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam itu kebanyakan dari jin dan manusia; mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memerhatikan (ayat-ayat Allah).”(Al-A’raaf:179)

3. Hati juga boleh mati kerana ia tidak diberikan makanan dan santapan sewajarnya. Itulah santapan rohani. Kalau tubuh jasmani boleh mati kerana
tuannya sudah lama menanggung sakit tanpa mahu makan, dan minum (apalagi makan ubat dan penawar),maka begitulah juga hati kita. Bila ia tidak diberi
santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta malah akan mati akhirnya. ‘Qutul Qulub’ atau santapan hati atau jiwa(rihani) itu adalah dalam bentuk zikrullah, nasihat, muhasabah,mujahadah melawan nafsu, muqraqabah (mengawasi diri), ilmu, hikmah, mahmudah, iman dan taqwa kepada
Allah.

Cuba kita renungkan kata-kata Amiirul Mukminin,Sayyidina Umar al-Khattab ini :

“Sesiapa yang banyak ketawa, akan kuranglah kehebatannya. Sesiapa yang merendah-rendahkan orang,dia akan direndahkan orang lain. Sesiapa yang
memperbanyakkan sesuatu perkara (amalan) akan diketahui juga. Sesiapa yang banyak cakapnya,banyaklah salahnya. Sesiapa yang banyak salahnya,sedikitlah malunya. Sesiapa yang sedikit malunya,sedikitlah juga waraknya dan barangsiapa sedikit waraknya, matilah hati (jiwa)nya.”

Oleh itu, sebelum hati kita bertukar menjadi kotor,hitam, keras, terkunci, sakit, buta dan mati,hendaklah kita menjadi dan memeliharanya dengan
sebaik-baiknya.Tindakan sebaiknya ialah kita selalu mengilap dan membersihkannya.Jangan kita abai dan leka untuk memberi santapan sebagaimana yang diterangkan dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Firman Allah : “Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” (Ar-Ra’ad:28)

Firman Allah : “(Hari Akhirat itu ialah) hari di mana harta dan anak-anak tidak lagi berguna, kecuali orang-orang yang menghadap (kembali bertemu) Allah dengan hati yang bersih (sejahtera).(As-Syu’ara:88-89)

Wallahu A'lam...




Khamis, 17 Jun 2010

SAYA MESTILAH MUSLIM DARI SUDUT AKHLAK


Akhlak yang mulia adalah menjadi matlamat asasi bagi risalah Islam. Ini dinyatakan oleh hadis Rasulullah saw yang bermaksud:-

"Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyemburnakan akhlak yang mulia."

Akhlak juga merupakan amal paling berat yang diletakkan dalam neraca hamba pada hari Qiamat. Sesiapa yang rosak akhlaknya dan buruk amalnya tidak akan dipercepatkan hisabnya. Sabda Rasulullah saw bermaksud:-

"Tidak ada satu perkara paling berat yang diletakkan dalam neraca hamba di hari kiamat kelak lebih daripada akhlak yang mulia."

Dalam Islam akhlak adalah merupakan intipati bagi segala ibadat. Tanpa akhlak ibadat hanyalah merupakan adat resam dan gerak laku yang tidak mempunyai nilai dan faedah. Maksud firman Allah SWT:-

"Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perkara jahat dan mungkar." (al 'Ankabut : 45)

Sebahagian daripada sifat-sifat akhlak yang semestinya ada dalam diri seseorang sehingga beliau benar-benar Islam di sudut akhlaknya ialah sifat-sifat yang disebutkan di bawah ini;-

1) Bersifat warak dari melakukan perkara-perkara syubhat. Seseorang Muslim mestilah menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang haram dan berjaga-jaga daripada melakukan perkara yang syubhat. Ini dilakukan kerana patuh kepada maksud hadis Rasulullah saw:-

" Perkara yang halal itu jelas dan perkara yang haram itu pun jelas, tetapi di antara keduannya ada perkara-perkara syubhat yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Barangsiapa yang menjauhi perkara syubhat bererti beliau telah telah membersihkan agamanya dan kehormatannya. Barangsiapa yang terjatuh ke dalam perkara syubhat bererti beliau telah jatuh ke dalam perkara yang haram. Samalah keadaannya seperti seorang pengembala yang mengembala di tepi pagar, dikhuatiri kelak beliau akanmengembala di dalam pagar itu. Ingatlah, setiap raja itu mempunyai batas sempadannya dan batas sempadan Allah ialah perkara-perkara yang diharamkannya. Ingatlah dalam setiap jasad itu ada seketul daging, apabila daging itu baik maka baiklah jasad itu keseluruhannya, apabila daging itu rosak maka rosaklah jasad itu keseluruhannya. Ingatlah daging itu ialah hati."

2) Menundukkan pandangan. Beliau mestilah menutup pandangannya daripada perkara-perkara yang diharamkan Allah kerana pandangan itu akan menimbulkan syahwat dan mendorong seseorang terjatuh ke dalam maksiat dan dosa. Oleh kerana itu al Quran telah memberi amaran tentang pandangan yang tidak memberi faedah. Maksud firman Alah SWT:-

"Katakanlah kepada orang-orang lelaki yang beriman hendaklah mereka menahan pandangan." (an Nur : 30)

3) Memelihara lidah. Beliau hendaklah memelihara lidahnya daripada perkataan yang tidak memberi faedah, percakapan yang kotor, kalimah dan ibarat-ibarat yang keji dan cakap kosong, mengumpat dan mengadu domba. Maksud hadis Rasulullah saw :-

" Siapa yang banyak cakapnya maka banyaklah salahnya. Siapa yang banyak salahnya maka banyaklah dosanya. Siapa yang banyak dosanya maka neraka adalah paling utama baginya."

4) Malu. Beliau mestilah bersifat malu dalam semua keadaan tetapi sifat malunya tidak menghalang beliau daripada memperkatakan kebenaran. Termaasuk juga dalam pengertian malu itu perbuatan tidak campur tangan dalam urusaan orang lain, menahan paandangan, ringan tulang, tidak meninggikan suara, berpada dengan apa yang ada setelah diusahakan dan banyaak lagi sifat-sifat lain.

Telah diriwayatkan bahawa Rasulullah saw lebih pemalu daripada seorang gadis remaja dan beliau bersabda yang bermaksud:-

"Iman itu lebih dari tujuh puluh atau lebih dari enam puluh cabang. Yang paling afdhaal ialah kalimah La Ilaha Illallah dan yang paling rendah ialah membuang sesuatu yang boleh menyakitkan dari jalan. Dan malu itu satu cabang daripada iman."

Dalam hubungan sifat malu ini para ulamak telah mengatakan : "Sifat malu pada hakikatnya ialah suatu sifat yang mendorong seseorang meninggalkan perkara yang buruk dan menghalang beliau daripada mencuaikan hak orang lain."

5) Lemah lembut dan sabar. Di antara sifat yang paling menonjol dan sepatutnya wujud dalam diri seorang Muslim ialah sifat sabar dan lemah lembut kerana amal-amal Islam penuh dengan perkara-perkara yang tidak digemari. Demikian juga perjalanan dakwah penuh dilingkungi ddengan berbagai-bagai kesukaran, penyiksaan, penindasan, tuduhan-tuduhan, penghinaan dan paandang rendah.

Kesemua ini merupakan batu penghalang yang sering dihadapi oleh mereka yang bekerja dalam bidang dakwah sehinggalah semangat dan himmah mereka pudar dan gerakan mereka akan lemah seterusnya mereka akan berpaling terus dari medan dakwah. Maksud firaman Allah SWT:-

"Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas." (az- Zummar : 10)

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:-

"Mahukah kamu aku beritahukan perkara yang dengannya Allah memuliakan binaan daan mengangkat darjat ketinggian. Mereka menjawab : "Bahkan Ya Rasulullah." Rasulullah saw bersabda : Kamu berlemah lembut terhadap orang yang tidak mengetahui kamu, memaafkan orang yaang menzalimi kamu, memberi kepada orang yang tidak pernah memberi kepadamu dan kamu menghubungkan silaturrahim dengan orang yang memutuskan silaturrahim denganmu."

6) Bersifat benar dan jujur. Beliau hendaklah bersifat benar, tidak berdusta, mengatakan sesuatu yang hak sekalipun terhadap dirinya dengan tidak merasa takut kepada celaan manusia demi kepatuhan kepada Allah. Sifat dusta adalah sifat yang paling jahat dan hina di samping itu sifat ini adalah menjaadi pintu masuk syaitan. Sifat dusta akan meruntuhkan jiwa dan membawa kehinaan kepada peribadi manusia. Maksud hadis Rasulullah saw:-

"Sesungguhnya sifat benar itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa ke syurga. Dan seseorang itu akan terus bersifat benar sehinggalaah beliau ditulis di sisi Allah sebagai orang yang bersifat benar. Sesungguhnya dusta itu membawa kepada kejahatan dan kejahatan itu membawa ke neraka. Seseorang itu akan terus berdusta sehinggalah beliau ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang pendusta."

7) Tawadhuk. Beliau mestilah bersifat tawadhuk terutama di kalangan saudara-saudara seIslamnya. Tidak ada perbezaan antara yang kaya dan miskin. Rasulullah saw sentiasa meminta dijauhkan daripada sifat takabbur dan rasa bangga diri. Maksud hadis Rasulullah saw:-

" Tidak akan dimasukkan ke dalam syurga orang yang di dalam hatinya terdaapat sebesar zarrah sifat takabbur."

8) Menjauhi perbuatan buruk sangka, mengumpat dan menjejaki keburukan orang lain. Maksud firman Allah SWT :-

" Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan kamu daripada prasangka buruk. Sesungguhnya sebahagian daripada prasangka buruk itu adalah dosa. Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saaudaranya yang sudah maati, maka tentulah kamu merasa jijik dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang." (al Hujurat : 12)

9) Pemurah. Beliau mestilah bersifat pemurah, mengorbankan diri dan hartanya pada jalan Allah. Di antara perkara yang dapat mendedahkan kebakhilan seseorang itu ialah caranya membelanjakan wang ringgit. Maksud firman Allah SWT:-

" Dan apa sahaja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah) maka pahalanya itu untuk kamu sendiri dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan keranaa mencaari keredhaan Allah dan apa sahaja harta yang baik yang kamu nafkahkaan nescaya kaamu akan diberikan pahalanya dengan cukup dan sedikitpun kamu tidak akan dianiayai." (al Baqarah : 272)

10) Qudwah hasanah. Beliau mestilah menjadi contoh ikutan kepada orang ramai.

Segala tindak tanduknya menjadi terjemahan terhadap semua prinsip-prinsip Islam baik dalam adab tertibnya, makannya, minumnya , pakaiannya, percakapannya,dalam keadaan damai, mengembara, bermukim dan seluruh gerak dan diamnya.

Petikan daripada "Apa Ertinya Saya Menganut Islam – Dr. Fathi Yakan"

GUNUNG MENANGIS TAKUT TERGOLONG BATU API NERAKA

Pada suatu hari Uqa'il bin Abi Thalib telah pergi bersama-sama dengan Nabi Muhammad S.A.W. Pada waktu itu Uqa'il telah melihat peristiwa ajaib yang menjadikan hatinya tetap bertambah kuat di dalam Islam dengan sebab tiga perkara tersebut. Peristiwa pertama adalah, bahawa Rasulullah S.A.W akan mendatangi hajat yakni mebuang air besar dan di hadapannya terdapat beberapa batang pohon. Maka baginda S.A.W berkata kepada Uqa'il, "Hai Uqa'il teruslah engkau berjalan sampai ke pohon itu, dan katalah kepadanya, bahawa sesungguhnya Rasulullah berkata; Agar kamu semua datang kepadanya untuk menjadi aling-aling atau penutup baginya, kerana sesungguhnya baginda akan mengambil air wuduk dan buang air besar."

Uqa'il pun keluar dan pergi mendapatkan pohon-pohon itu dan sebelum dia menyelesaikan tugas itu ternyata pohon-pohon sudah tumbang dari akarnya serta sudah mengelilingi di sekitar baginda S.A.W selesai dari hajatnya. Maka Uqa'il kembali ke tempat pohon-pohon itu.

Peristiwa kedua adalah, bahawa Uqa'il berasa haus dan setelah mencari air ke mana pun jua namun tidak ditemui. Maka baginda S.A.W berkata kepada Uqa'il bin Abi Thalib, "Hai Uqa'il, dakilah gunung itu, dan sampaikanlah salamku kepadanya serta katakan, "Jika padamu ada air, berilah aku minum!"

Uqa'il lalu pergilah mendaki gunung itu dan berkata kepadanya sebagaimana yang telah disabdakan baginda itu. Maka sebelum ia selesai berkata, gunung itu berkata dengan fasihnya, "Katakanlah kepada Rasulullah, bahawa aku sejak Allah S.W.T menurunkan ayat yang bermaksud : ("Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu beserta keluargamu dari (seksa) api neraka yang umpannya dari manusia dan batu)." "Aku menangis dari sebab takut kalau aku menjadi batu itu maka tidak ada lagi air padaku."

Peristiwa yang ketiga ialah, bahawa ketika Uqa'il sedang berjalan dengan Nabi, tiba-tiba ada seekor unta yang meloncat dan lari ke hadapan rasulullah, maka unta itu lalu berkata, "Ya Rasulullah, aku minta perlindungan darimu." Unta masih belum selesai mengadukan halnya, tiba-tiba datanglah dari belakang seorang Arab kampung dengan membawa pedang terhunus.Melihat orang Arab kampung dengan membawa pedang terhunus.

Melihat orang Arab kampung itu, Nabi Muhammad S.A.W berkata, "Hendak apakah kamu terhadap unta itu ?"

Jawab orang kampungan itu, "Wahai Rasulullah, aku telah membelinya dengan harta yang mahal, tetapi dia tidak mahu taat atau tidak mau jinak, maka akan kupotong saja dan akan kumanfaatkan dagingnya (kuberikan kepada orang-orang yang memerlukan)." Rasulullah S.A.W bertanya, "Mengapa engkau menderhakai dia ?"

Jawab unta itu, "Wahai Rasulullah, sungguh aku tidak menderhakainya dari satu pekerjaan, akan tetapi aku menderhakainya dari sebab perbuatannya yang buruk.. Kerana kabilah yang dia termasuk di dalam golongannya, sama tidur meninggalkan solat Isya'. Kalau sekiranya dia mahu berjanji kepada engkau akan mengerjakan solat Isya' itu, maka aku berjanji tidak akan menderhakainya lagi. Sebab aku takut kalau Allah menurunkan seksa-Nya kepada mereka sedang aku berada di antara mereka."

Akhirnya Nabi Muhammad S.A.W mengambil perjanjian orang Arab kampung itu, bahawa dia tidak akan meninggalkan solat Isya'. Dan baginda Nabi Muhammad S.A.W menyerahan unta itu kepadanya. Dan dia pun kembali kepada keluarganya.

TAUBAT SEORANG PEMINUM ARAK

Pada suatu hari, Khalifah Umar ibni Khattab berjalan-jalan di lorong-lorong dalam kota Madinah. Apabila sampai di persimpangan jalan,beliau terserempak dengan seorang pemuda yang membawa kendi. Ini menimbulkan sangkaan buruk Umar terhadap pemuda itu. Lantas Umar menyoal, "Apa yang engkau bawa itu?" Dalam keadaan ketakutan pemuda itu terketar-ketar menjawab, "Madu, wahai Umar.." Sebenarnya pemuda itu sedang membawa kendi arak.

Selepas berkata demikian, timbul perasaan insaf di hatinya untuk bertaubat dari minum arak. Dia menyesal melakukan perbuatan yang ditegah agama. Dia benar-benar berharap sambil berdoa supaya Khalifah Umar tidak memeriksa isi kendi itu. Namun Khalifah Umar tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh pemuda itu; lalu mengambil kendi itu untuk diperiksa.

Doa pemuda itu dikabulkan Allah. Apabila diperiksa, Baginda Umar dapati di dalamnya terdapat madu. Allah menukarkan arak menjadi madu. Dengan demikian pemuda itu terselamat dari tindakan Khalifah.Semenjak peristiwa itu, pemuda itu bertaubat dan berjanji tidak akan meminum arak lagi.

KISAH BERKAT DI SEBALIK MEMBACA BISMILLAH

Ada seorang perempuan tua yang taat beragama, tetapi suaminya seorang yang fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama dan tidak mahu berbuat kebaikan.Perempuan itu sentiasa membaca Bismillah setiap kali hendak bercakap dan setiap kali dia hendak memulakan sesuatu sentiasa didahului dengan Bismillah. Suaminya tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya.

Suaminya berkata sambil mengejak, "Asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-sekejap Bismillah."

Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah S.W.T. supaya memberikan hidayah kepada suaminya. Suatu hari suaminya berkata : "Suatu hari nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu."

Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata, "Simpan duit ini." Isterinya mengambil duit itu dan menyimpan di tempat yang selamat, di samping itu suaminya telah melihat tempat yang disimpan oleh isterinya. Kemudian dengan senyap-senyap suaminya itu mengambil duit tersebut dan mencampakkan beg duit ke dalam perigi di belakang rumahnya.

Setelah beberapa hari kemudian suaminya itu memanggil isterinya dan berkata, "Berikan padaku wang yang aku berikan kepada engkau dahulu untuk disimpan."

Kemudian isterinya pergi ke tempat dia menyimpan duit itu dan diikuti oleh suaminya dengan berhati-hati dia menghampiri tempat dia menyimpan duit itu dia membuka dengan membaca, "Bismillahirrahmanirrahiim." Ketika itu Allah S.W.T. menghantar malaikat Jibrail A.S. untuk mengembalikan beg duit dan menyerahkan duit itu kepada suaminya kembali.

Alangkah terperanjat suaminya, dia berasa bersalah dan mengaku segala perbuatannya kepada isterinya, ketika itu juga dia bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah, dan dia juga membaca Bismillah apabila dia hendak memulakan sesuatu kerja.

KELEBIHAN UMAT RASULULLAH S.A.W MENURUT PANDANGAN NABI ADAM A.S

Disebutkan bahawa Nabi Adam A.S telah berkata, "Sesungguhnya Allah S.W.T telah memberikan kepada umat Muhammad S.A.W empat kemuliaan yang tidak diberikan kepadaku:

Taubatku hanya diterima di kota Mekah, sementara taubat umat Nabi Muhammad S.A.W diterima di sebarang tempat oleh Allah S.W.T.

Pada mulanya aku berpakaian, tetapi apabila aku berbuat derhaka kepada Allah S.W.T, maka Allah S.W.T telah menjadikan aku telanjang. Umat Muhammad S.A.W membuat derhaka dengan telanjang, tetapi Allah S.W.T memberi mereka pakaian.

Ketika aku telah berderhaka kepada Allah S.W.T, maka Allah S.W.T telah memisahkan aku dengan isteriku. Tetapi umat Muhammad S.A.W berbuat derhaka, Allah S.W.T tidak memisahkan isteri mereka.

Memang benar aku telah derhaka kepada Allah S.W.T dalam syurga dan aku dikeluarkan dari syurga, tetapi umat Muhammad S.A.W durhaka kepada Allah akan dimasukkan ke dalam syurga apabila mereka bertaubat kepada Allah S.A.W.

Kewajipan Seseorang Dalam Hidupan

Terjemahan hadis:

Sabda Rasullullah s.a.w. sesungguhnya bagi Tuhan engkau ada hak (kewajipan) di atas engkau dan bagi diri engkau sendiri ada hak (kewajipan) di atas engkau dan bagi ahli engkau ada juga hak (kewajipan) di atas engkau maka hendaklah engkau tunaikan kepada tiap-tiap yang empunya hak itu akan haknya.

Huraian Hadis

Manusia adalah makhluk Tuhan yang paling tinggi sekali darjatnya, kepadanya dikurniakan akal fikiran dan usaha ikhtiar yang boleh memilih perkara-perkara yang baik dan berfaedah bagi diri dan masyarakat.

Dengan adanya kelebihan-kelebihan yang tersebut, maka dikenakan tugas-tugas (hak) dan kewajipan-kewajipan yang mesti disempurnakan dengan baik. Diantara:

Kewajipan terhadap Allah.

Mereka diwajibkan mengenal Allah dan beribadat serta berbakti kepadanya, dengan mematuhi segala hukum dan ajaran yang disampaikan oleh Rasulnya samada secara lahir dan batin.

Tugas mengenal Allah itu adalah menjadi kewajipan yang pertama kepada tiap-tiap manusia, walaupun dengan secara umum (Ajmali) saja. Disamping itu manusia diwajibkan pula beribadat sebagai menunjukkan bakti dan taat setia mereka kepada Allah, kerana Allah jua yang menjadi, yang mengatur dan mentadbirkan seluruh alam. Segala rezeki dan nikmat adalah datang dari Allah belaka. Dengan sebab itu mereka dilarang menyembah dan beribadat kepada sesuatu yang lain daripada Allah kerana yang lain itu adalah makhluk Allah dan terpaksa tunduk kepadanya. Orang-orang yang tidak mahu mengenal Allah atau bersyirik dengannya adalah dikira melakukan kesalahan besar, dan tidak diampun dosanya serta diharamkan daripada memasuki syurga.

Kewajipan terhadap diri sendiri.

Disamping menjalankan tugas terhadap Allah, maka manusia diwajibkan pula menunaikan beberapa tugas untuk dirinya sendiri, iaitu mereka wajib memelihara diri daripada perkara-perkara yang boleh membawa kepada kemudaratan dan kerosakan, seperti menjaga kebersihan dan kesihatan, memakan benda-benda yang baik, menjaga fikiran supaya jangan rosak, serta menjauhi perkara-perkara jahat seperti minum arak, berzina dan sebagainya. Seterusnya mereka wajib belajar ilmu pengetahuan yang berguna dan menghiasi diri dengan akhlak-akhlak yang mulia dan budi pekerti yang baik.

Kewajipan terhadap ahli (Keluarga)

Tabiat semulajadi manusia ialah hidup bermasyarakat, oleh itu tiap-tiap orang dikehendaki membentuk keluarganya menjadi keluarga Islam yang baik seterusnya dikehendaki mengenal dan menjaga keselamatan dan kebahagiaan ahlinya, iaitu anak-anak, isteri dan orang-orang yang di bawah jagaannya. Wajib dijaga kesihatan mereka, makan minum dan sebagainya. Demikian juga memberi asuhan-asuhan yang baik, pengajaran agama yang dapat membentuk peribadi dan tingkah laku mereka.

Semua tugas yang tersebut wajib disempurnakan oleh tiap-tiap manusia dari semua peringkat, keturunan dan bangsa.

Bila telah terlaksana tugas-tugas yang tersebut maka terjaminlah kebahagiaan hidup didunia dan akhirat.

Pengajaran Hadis:

Diantara pengajaran yang dapat difahamkan ialah:

Tiap-tiap manusia mempunyai tugas dan kewajipan masing-masing yang mesti disempurnakan dengan baik.
Tiga tugas penting yang dikenakan ke atas manusia iaitu:
Mengenal Allah dan beribadat kepadanya.
Menjaga dan memelihara kebaikan serta keselamatan diri sendiri.
Menjaga dan memelihara kebaikan ahli keluarga.
Orang yang tidak menjalankan tugasnya akan mendapat balasan azab diakhirat kelak.

Sifat Orang Islam Sejati

Terjemahan hadis:

Diceritakan daripada Abdullah bin Amru bin As daripada Nabi s.a.w. baginda bersabda seseorang Islam sejati itu ialah mereka yang menyelamatkan saudara Islamnya yang lain dari lidahnya dan tangannya, dan sebenar-benar orang yang berhijrah itu ialah mereka yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.

Huraian Hadis

Keelokan dan kesempurnaan Islam seseorang itu tidak sama diantara satu orang dengan yang lainnya, walaupun mereka itu sama-sama mengucap dua kalimah syahadah, mengerjakan sembahyang mereka berpuasa bulan Ramadhan dan lain-lain lagi. Sebaliknya ada banyak perkara-perkara lain yang mesti dilakukan supaya Islam seorang itu menjadi lebih baik dan lebih sempurna.

Dalam hadisnya di atas Rasullullah menegaskan bahawa di antara perkara yang boleh menyempurnakan lagi keislaman seseorang itu ialah dengan menjaga lidah dan tangan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan keburukan. Keburukan yang mungkin timbul daripada lidah ialah mengeluarkan kata-kata jahat seperti mengumpat, menghina ,menfitnah,mengadudomba lain-lain lagi. Manakala yang keluar dari tangan pula ialah seperti mencuri, menganiayai orang lain dan sebagainya.

Sebaliknya lidah dan tangan juga boleh menyelamatkan seorang itu daripada terjerumus kelembah kebinasaan dan kejahatan. Seperti memberi nasihat dan melarang seorang yang hendak melakukan sesuatu kejahatan dan maksiat. Bahkan dengan tangan juga boleh menahan seorang yang berkelahi dan bergadoh . Begitulah besarnya peranan lidah dan tangan untuk menyelamatkan orang lain daripada terjerumus kedalam kejahatan dan maksiat.

Lidah dan tangan adalah dua anggota penting yang mesti dikawal dan dijaga dengan baik kerana banyak kebinasaan dan jenayah berpunca daripada kedua-dua anggota tersebut. Tersalah mulut mungkin membawa maut tetapi tergelincir kaki boleh sembuh kembali. Seperti kata pepatah kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa.

Selain daripada itu Rasullullah juga menerangkan bahawa orang yang berhijrah dan meninggalkan kampung halaman mereka dengan tujuan hendak memelihara kesucian ugama dan hendak mengelakkan diri daripada ancaman orang-orang musrik serta meninggalkan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah akan mendapat pahala besar dari Allah dan itulah sebenar-benarnya orang yang berhijrah.

Oleh itu tiap-tiap orang Islam hendaklah berusaha menyempurnakan lagi Islamnya dengan menambahkan sifat-sifat terpuji dan menjauhkan diri daripada sifat-sifat keji. Lebih-lebih lagi meninggalkan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah, malah janganlah sekali-kali berpuas hati dengan hanya menunaikan sembahyang, puasa dan sebagainya sahaja.

Pengajaran Hadis:

Diantara pengajaran yang dapat difahamkan dari hadisnya di atas:

Orang Islam hendaklah menjaga lidah dan tangannya daripada melakukan perkara-perkara yang menyakiti orang lain.
Tidak sempurna Islam seorang itu selagi ia melakukan sifat-sifat buruk dan keji. Orang Islam hendaklah meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah.

Kelebihan Sembahyang Malam

"Apabila seseorang itu jaga dari tidurnya di waktu malam dan membangkitkan isterinya lalu kedua-duanya sama-sama menunaikan dua rakaat sembahyang nescaya mereka ditulis dalam golongan manusia yang banyak menyintai dan menyebuti ALLAH."-Diriwayatkan oleh Ibn Hibban dari Abi Sa'id.

Tujuannya

Malam dengan ketenangan dan kejernihan suasananya merupakan sebaik-baik waktu untuk beribadat, kerana itu para mukmin digalakkan mengambil kesempatan-kesempatan keemasan itu untuk mengukuhkan hubungan dan kecintaannya kepada ALLAH. Alangkah qudusnya iman seseorang apabila di saat manusia yang lain sedang tidur nyenyak ia bangkit mendirikan sembahyang dan membangunkan isterinya sembahyang bersama-sama untuk mempersembahkan pujian, harapan, permohonan dan permintaan ampun kepada ALLAH ketika dunia diselubungi sepi dan gelita. Alangkah indahnya pandangan dua manusia suami isteri sama berdiri lurus menghadap qiblat dan sama meletakkan dahi mereka ke lantai di tengah-tengah kekelaman malam untuk membuktikan ' ubudiah mereka yang tulus kepada ALLAH, memohon keberkatan hidup dunia dan kebahagiaan hidup di negeri Akhirat.

Di dalam al-Quran dan Hadis terdapat pelbagai sanjungan dan galakan supaya manusia mengejar fadhilat sembahyang malam, firman ALLAH Ta'ala:

" Dan di waktu malam bangkitlah sembahyang tahajjud sebagai sembahyang tambahan bagi ibadatmu semoga ALLAH membangkitkanmu di hari Akhirat dengan kedudukan dan darjat yang terpuji."- Al - Isra' (79).

Di dalam surah az-Zaariat ayat (18) ALLAH memberi sanjungan yang tinggi kepada amlan-amalan orang-orang yang bertaqwa yang mendapat balasan syurga, di antara amalan itu ialah mereka yang banyak melakukan ibadat sembahyang di waktu malam dan memohon keampunan di saat-saat dinihari.

Waktu sembahyang itu luas, ia boleh dikerjakan di awal malam, di pertengahan malam dan di akhir malam selama sembahyang itu dilakukan selepas sembahyang Isya'. Menurut al-Hafiz Rasulullah s.a.w. tidak sembahyang malam di satu waktu tertentu, malah ia sembahyang mengikut kesempatan dan keselesaan yang didapatinya tetapi waktu sembahyang yang paling afdhal ialah ditengah malam iaitu masa sepertiga malam yang akhir.

Bilangan rakaat sembahyang malam tidak juga ditentukan, ia boleh terlaksanakan dengan satu rakaat sembahyang yang didirikan selepas sembahyang Isya'. Dalam sebuah Hadis Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Hendaklah kamu dirikan sembahyang malam walaupun satu rakaat."

Tetapi yang paling afdhal ialah sebelas rakaat atau tiga belas rakaat seperti kebiasaan yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu dengan satu rakaat atau tiga rakaat witir di akhirnya.

Walaupun demikian, seseorang itu tidaklah disuruh mengerjakan sembahyang malam dengan memaksa-maksakan dirinya secara keterlaluan, kerana ibadat yang sempurna pastilah dilakukan dengan selesa dan ikhlas, apabila ia terlalu mengantuk ia boleh tidur dulu untuk beberapa waktu, kemudian barulah bangkit sembahyang. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda :

" Apabila seseorang dari kamu sembahyang malam, kemudian bacaan al-Qur'an menjadi asing bagi lidahnya kerana mengantuk hingga ia tidak tahu apa yang dibacakannya, maka hendaklah ia tidur dulu."

Dalam satu Hadis lagi Rasulullah s.a.w. bersabda :

" Buatlah amalan-amalan itu sekadar kuasamu kerana ALLAH itu tidak jemu hingga kamu jemu."

Amalan yang sedikit tetapi tekun adalah lebih baik dari amalan yang banyak tetapi jarang-jarang.

Kerana itu persoalan menentukan waktu sembahyang malam dan menentukan banyak mana rakaatnya terserahlah kepada pertimbangan sendiri berdasarkan keikhlasan dan rasa 'ubudiah' yang murni.

Di antara peraturan-peraturan yang disunatkan dalam sembahyang malam ialah :

(1) Apabila ia hendak tidur, ia disunatkan untuk bangkit sembahyang malam supaya keazamannya dapat membangkitkannya di waktu yang tepat.

(2) Sesudah mencuci muka, mengambil wudhuk dan bersugi dia disunatkan membaca doa-doa khas sembahyang malam.

(3) Ia disunatkan memulakan sembahyang malam itu dengan dua rakaat yang pendek dan ringkas, selepas itu boleh ia menyambung sembahyang itu seberapa ia suka.

(4) Menggerakkan isterinya agar ia turut serta bersembahyang malam, dan bagi isteri disunatkan menggerakkan suaminya.

Hadis bab ini telah menyebutkan bahawa orang-orang yang banyak mendirikan sembahyang malam akan ditempatkan sejajar dengan golongan" " iaitu golongan yang amat disanjungi ALLAH, iaitu golongan orang - orang yang tidak sunyi mengingati dan menyebut ALLAH sama ada dengan hati, dengan lidah atau dengan kedua-duanya sekali sama ada dalam bentuk berzikir, membaca al-Qu'ran, memikirkan masalah-masalah ilmu yang ada hubungan dengan ketuhanan atau masalah-masalah pengetahuan yang diredhai ALLAH, kerana mempelajari ilmu itu ialah mempelajari undang-undang ALLAH yang berlaku dalam alam ini.

Wallahu A'lam...


Ahad, 13 Jun 2010

Tugas Pewaris Para Nabi



Assalamualaikum....

Di antara tujuan Allah SWT memerintahkan Nabi s.a.w. supaya berdakwah kpd kaum keluarganya yg terdekat, ialah utk memberi isyarat tentang peringkat tanggungjawab dakwah kpd setiap org Islam secara umum, dan mereka yg terlibat dgn "As-Habud Dakwah" secara khususnya.

Justeru adalah suatu kewajipan sebagai da'eiyyah supaya mereka mengetahui sasaran, di samping sasaran dakwah kpd umum maka perhatian mesti diberikan kpd kaum keluarga terdekat.Tidak memadai hanya berdakwah kpd umum sedangkan di kalangan keluarga terabai, ataupun hanya tertumpu kpd keluarga sedangkan org ramai dilupakan.

Sesungguhnya tanggungjawab yg paling dekat ialah kpd diri sendiri, iaitu kewajipan utk menjadikan diri berilmu. Justeru selepas Nabi menerima wahyu pertama, kemudian berlaku jarak masa yg agak lama utk turunnya wahyu berikutnya.

Tempoh masa itu memberi peluang masa secukup kpd Nabi s.a.w. supaya berfikir bahawa apa yg diterimanya di gua Hirak itu adalah sebenarnya wahyu dari Allah SWT. Ia bukanlah igauan sebagaimana yg didakwa oleh golongan musyrikin.Dgn wahyu pertama itu juga memberi peluang kpd Nabi s.a.w. utk menguasai ilmu sebagai satu kewajipan yg ditetapkan oleh Allah SWT sendiri, sehingga beliau yakin bahawadirinya adalah seorang Nabi dan juga Rasul Allah.

Dengan demikian, sebagai suatu persediaan utk menerima wahyu-wahyu berikutnya dari Allah SWT sama ada wahyu itu berbentuk dasar hidup, peraturan hidup dan juga berbentuk hukum-hakam. Yg dimaksudkan dgn dasar hidup ialah sebagai hamba Allah Taala.Sebagai makhluk dan sebagai org
Islam, tidak boleh melakukan sesuatu kecuali selaras dgn kehendak dan peraturan Allah SWT. Ini bererti tiada seorang manusia boleh hidup bebas secara mutlak di atas dunia ini, melainkan di dlm lingkungan yg diizinkan oleh peraturan yg ditetapkan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT yg bermaksud:"Rasul telah beriman dgn Al-Quran yg diturunkan kpd nya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yg beriman. Semuanya beriman kpd Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya..." (Surah al-Baqarah ayat 285).

Ayat tersebut mengajar Rasul-Nya supaya dia sendiri benar-benar beriman dgn wahyu Allah yg diturunkan kepadanya. Sebelum Rasul menyampaikan dan mengajar org lain maka terlebih dahulu dia benar-benar beriman dan penuh keyakinan dgn apa yg hendak disampaikan itu.

Setelah Rasul itu beriman barulah dia menyeru org lain supaya beriman bersamanya. Kpd orang-orang yg tidak sanggup beriman, pasti dihadapkan soalan kpd mereka, menagapa mereka tidak bersedia beriman.Mereka mesti memberikan alasan, jika tidak terdaya mengemukakan alasan dan hujjah mereka mesti menerima apa yg telah disampaikan kpd nya. Inilah dasar Islam menghendaki sesuatu keyakinan itu mempunyai alasan, sebaliknya jika hendak menolaknya juga mesti dgn alasan dan hujjah.

Selepas seseorang itu beriman dgn wahyu yg diturunkan oleh Allah SWT, maka kewajipan berikutnya ialah utk menyampaikan dan menjelaskan apa yg diimani itu kpd ahli keluarganya dan orang-orang yg berteduh di bawah payung kekeluargaannya sama ada anak-anak dan cucu serta siapa jua yg berada di bawah jagaannya.Dari segi beban kewajipan itu, setiap org Islam sama saja tanggungjawab mereka setelah menyiapkan diri dgn ilmu, mereka mesti memberitahu org lain ilmu pengetahuan yg ia miliki dan keimanan yg ada pada dirinya, org Islam tidakboleh beramal sedirian tanpa mengajak dan menyeru org lain.

Tidak ada beza antara seorang nabi dgn seorang pendakwah dari segi keawajipan menyampaikan ilmu dan mengajar org lain, hanya bezanya nabi mengajar apa yang diterimanya secara langsung syarak dari wahyu Allah.

Tetapi orang-orang
Islam berdakwah berasaskan apa yg disampaikan oleh Rasulullah s.a.w..Jangan ada org yg mendakwa dirinya menyampaikan ilmu terus dari Allah SWT sebagaimana Nabi s.a.w. menerimanya, kerana wahyu tidak turun selepas wafat Nabi s.a.w..

Begitu juga tidak boleh seseorang itu mendakwa menyampaikan ilmu berdasarkan mimpi, walaupun yg diperolihi dari mimpi itu sejajar dgn agama, ia sekadar boleh diamal utk diri sendiri sekiranya tidak bercanggah dgn Islam. Sesungguhnya Islam itu berasaskan kpd al-Quran, Hadith, Ijmak dan Qias, tidak boleh ditambah pula dgn mimpi.

Sebagaimana Nabi tidak boleh berdiam diri tanpa menyampaikan apa yg diterimanya melalui wahyu, maka demikian juga tidak boleh org Islam sebagai ketua keluarga berdiam diri tanpa berdakwah dan menyampaikan ilmu kpd kaum keluarganya pengetahuan yg ada pada dirinya. Seorang ketua keluarga tidak wajar mengharap org lain mengambil alih tugas utk mendidik dan mengajar agama keluarga serta anak-anaknya.

Kewajipan ketua keluarga bukan sekadar memberi makan, sebaliknya memastikan bahawa keluarga dan anak-anak mereka terasuh dgn ilmu agama. Justeru ketua keluarga wajib secara lunak atau keras memastikan anak-anak dan keluarga berada di atas landasan agama.

Mereka akan disoal di akhirat.Orang alim mempunyai tanggungjawab terhadap masyarakat dan tanah airnya, dan hakim (orang yang berkuasa dlm negara) juga mempunyai tanggungjawab sebagaimana tanggungjawab Nabi utk berdakwah kpd org ramai dan keluarga mereka yang terdekat, kerana merekalah waris
rasmi kpd para nabi a.s.. Nabi bersabda yg bermaksud : "Ulama adalah waris para nabi".

Sebagaimana Nabi adalah seorang yg alim, maka orang yg memegang tampuk kekuasaan sesebuah negara mesti seorang yg alim kerana mereka mempunyai kewajipan melaksanakan apa yg telah dilaksanakan oleh Nabi.Jika mereka tidak alim maka dlm melaksanakan tugasnya pasti mereka tidak akan mewarisi tugas Nabi, sebaliknya mewarisi dasar musuh-musuh Nabi. Akibatnya rakyat tidak akan selamat di dunia mahupun akhirat.

Wallahu A'lam....

Jumaat, 11 Jun 2010

Islam Kembali Dagang



Assalamualaikum...

ISLAM DAGANG KALI KEDUA DAN CARA MENGATASINYA

Rasulullah SAW bersabda:
“Islam telah bermula dengan dagang dan ia akan kembali dagang, maka berbahagialah mereka bersama Islam di waktu ia dagang.”
- Hadith Riwayat Muslim

Islam dan da’wahnya bermula dalam keadaan dagang. Islam sewaktu mula didatangkan di Makkah Al Mukarramah, asing dan tidak dikenali oleh masyarakat. Oleh kerana Islam ghurbah dan unik maka Islam dibenci dan dimusuhi. Pembawa dan pendokong-pendokongnya dizalimi dan dihadapkan dengan berbagai-bagai mehnah dan tribulasi.

Akibatnya, ada yang kehilangan penglihatan, ada yang gugur syahid, yang terpaksa berhijrah ke Habsyah dan akhirnya pendokong-pendokong Islam berhijrah ke Madinah demi mencari keredhaan Allah SWT dan merealisasikan Islam di dalam wajahnya yang murni sebagai ad-Din. Hal ini telah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Firman-Nya:
“Bagi orang-orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan daripada harta benda mereka kerana mencari kurnia daripada Allah dan Rasul-Nya, mereka itulah orang-orang yang benar.” - Surah al-Hasyr: ayat 8

Faktor Dagang Pertama

Terdapat pelbagai faktor Islam dagang kali pertama yang dikemukakan oleh pihak tertentu seperti faktor politik, sosial, ekonomi dan sebagainya. Namun, di sana terdapat satu faktor terbesar yang menyebabkan Islam dagang iaitu faktor aqidah Islam yang berlawanan dengan Jahiliyyah atau kufur. Islam mengajak kepada aqidah yang sohih, serta realiti hidup salimah, syamilah dan kamilah yang mana bertentangan dengan kekufuran. Islam dan kekufuran sentiasa dalam keadaan harb (peperangan). Kekufuran tidak dapat menerima Rububiyyah dan Uluhiyyah Allah SWT. Kekufuran tidak menerima hukum-hukum dan undang-undang Allah SWT berjalan dan berkuasa di bumi. Firman Allah SWT:

“Tiada kekuasaAn memerintah itu melainkan Allah sahaja. Dia memerintah supaya kamu jangan menyembah selain daripada-Nya, kerana yang demikian itu adalah Din yang lurus.” - Surah Yusuf: ayat 40.

Inilah faktor terbesar. Faktor ini wujud di setiap zaman, hatta di zaman sekarang walau pun tersembunyi di sebalik faktor-faktor lain.
Dengan ketentuan Allah SWT dan pertolongan-Nya serta berkat usaha, pengorbanan dan jihad Rasulullah SAW bersama-sama para sahabat r.a. yang sabar dan ikhlas, maka ghurbah (dagang) tersebut telah hilang. Akhirnya petunjuk dan rahmat Allah SWT diterima, dihayati dan didaulatkan sepenuhnya di Madinah al-Munawwarah.

Pengorbanan dan jihad Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat baginda telah diterima dan diredhai Allah SWT. Mereka adalah contoh ikutan bagi kerja-kerja da’wah untuk mendaulatkan din Allah. Allah SWT telah mengabadikan pengorbanan mereka dalam firman-Nya:

“Golongan terdahulu dan awal di kalangan Muhajirin dan Ansar serta orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lama. Itulah kemenangan yang besar.” - Surah at-Taubah: ayat 100

Ghurbah Ath-Thaniyah (Dagang Kedua)

Generasi pertama iaitu Generasi Al-Quran yang dididik oleh Rasulullah SAW telah berlalu. Kerja-kerja mereka telah selesai. Kelemahan umat Islam dan kelemahan pimpinan dalam generasi-generasi selepas mereka telah berlaku. Daulah Islamiyyah telah jatuh satu persatu dan yang terakhir ialah kejatuhan Daulah Othamaniyyah di Turki. Serentak dengan itu pengaruh sekularisma yang ditaja oleh penjajah telah bertapak, menular dan berkembang pesat di seluruh negara yang diperintah oleh umat Islam. Pengaruh itu terus berakar umbi hingga kini di negara-negara Islam tanpa kecuali. Akibatnya Islam kembali ghurbah untuk kali kedua. Kini realiti menunggu rijal-rijal untuk menghilangkan Ghurbah Ath-Thaniyah.

Benarlah sabda Rasulullah SAW:
“Islam bermula dalam keadaan dagang, ia akan kembali dagang. Beruntunglah orang yang berpegang dengan Islam ketika ia dagang.”
- Hadith Riwayat Muslim
Dalam sabda baginda yang lain:
“Beruntunglah sesiapa yang beriman denganku walaupun tidak melihatku (bersamaku)”.

Sebab-Sebab Ghurbah Masa Kini

1. ‘Aqidah umat Islam tidak lagi berfungsi akibat pengaruh din bukan Islam. Sedangkan da’wah Rasulullah SAW mengajak kepada aqidah yang soheh, hidup dan berfungsi. ‘Aqidah yang menerima Allah SWT sebagai Ilah dan Rabb. Menerima HakimiyyahNya. Menerima Din-Nya serta mendaulat dan mempertahankannya di sepanjang hayat. Ini kerana Islam sahaja yang diterima oleh Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu din kamu, dan Aku sempurnakan ni’mat-Ku, dan Aku redha bagi kamu Islam sebagai din.”
- Surah al-Maidah: ayat 3

Dengan Islam sahajalah manusia dimuliakan. Firman Allah SWT:
“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, menyeru pada kema’rufan dan mencegah daripada kemungkaran serta kamu beriman dengan Allah.” - Surah ‘Ali Imran: ayat 110

Inilah sebab terbesar yang menjadikan Islam ghurbah. Sebab ini mengatasi sebab-sebab sosial, politik, ekonomi dan sebagainya.

2. Kejahilan umat tentang Islam baik dari segi tasawwur, tuntutan mahupun penghayatannya. Begitu juga kejahilan tentang sifat-sifat Allah SWT, sifat-sifat Rasulullah SAW, Hari Pembalasan dan perkara-perkara yang bersangkutan.

3. Sikap umat yang melupai dan mengabaikan ingatan-ingatan Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Tetapi mereka sengaja melupakan sebahagian daripada apa yang mereka telah diberikan peringatan dengannya; maka Kami timbulkan di antara mereka permusuhan dan kebencian sampai ke kari qiamat.” - Surah al-Maidah: ayat 14

4. Realiti umat yang beriman dengan sebahagian daripada kandungan al-Kitab (al-Quran) sahaja. Firman Allah SWT:

“Apakah kamu beriman dengan sebahagian al-Kitab dan ingkar dengan sebahagian yang lain? Tiadalah balasan orang yang berbuat demikian daripada kamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia dan di Hari Akhirat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah daripada apa yang kamu perbuat.” - Surah al-Baqarah: ayat 85

5. Dunia menguasai hati dan kehidupan umat Islam. Umat Islam kasihkan dunia dan bencikan kematian. Apabila ‘aqidah umat telah sakit dan tidak berfungsi, kejahilan menyelubungi kehidupan, ingatan-ingatan Allah SWT diabaikan, dunia menguasai kehidupan dan jihad ditinggalkan, maka Islam menjadi Ghurbah.

Realiti kini, Islam berada di suatu lembah manakala umat Islam berada di suatu lembah yang lain. Islam menjadi sasaran musuh. Ustaz Sa’id Hawwa ada menyatakan:

“Kita dapati Islam dan kaum Muslimin menjadi sasaran musuh luar dan dalam...”

Walaupun musuh pada zahirnya kelihatan bergeseran di kalangan mereka, namun mereka semua akan bersatu apabila menghala dan menghentam Islam. Sabda Rasulullah SAW:

“Kekufuran mempunyai satu Millah.”

6. Penyakit perpecahan dan kedengkian yang menyerang hati-hati orang Islam. Firman Allah SWT:

“Mereka tidak berpecah belah kecuali sesudah datang kepada mereka pengetahuan kerana kedengkian antara mereka.” - Surah asy-Syura: ayat 14.

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Janganlah kamu berbantah-bantah menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatan kamu.” - Surah al-Anfal: ayat 46.

Ciri-Ciri Ghurbah

1. Berlaku Bid’ah Fiddiin iaitu umat Islam mengambil jalan (Din) yang bukan jalan Islam.

Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus maka ikutilah jalan itu, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain kerana jalan-jalan tersebut mencerai-beraikan kamu daripada jalan-Nya.”

2. Berbagai-bagai isme dianuti dan dicampur-adukkan dengan Islam. Firman Allah SWT:

"Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya dan jangan kamu mengikuti jalan-jalan syaitan.”
- Surah al-Baqarah: ayat 208.

3. Cara hidup yang tidak menggambarkan aqidah di mana mungkar dipandang ma’ruf dan ma’ruf dipandang mungkar.

4. Lahir perkara-perkara syubhat dalam urusan umat Islam seharian, disamping mengikuti fahaman sekular yang diciplak daripada kristianisme dan kolonialisme peninggalan penjajah. Islam dianggap tidak sesuai untuk masa kini. Islam dikatakan tidak membawa kemajuan dan pembangunan.

Akhirnya, umat Islam menjadi dagang di tanah air sendiri. Islam dagang di gedung perniagaan, di rumah, di dalam keluarga, di pejabat dan sebagainya. Islam berada di satu lembah dan kaum Muslimin berada di satu lembah lain.

Kalaulah Islam dapat diumpamakan seperti seorang insan, maka sudah pasti akan kedengaran suara tangisannya yang jauh di lubuk kedagangannya.

Permasalahan Islam

Permasalahan Islam kini yang perlu diselesaikan segera adalah:
1. Masyarakat tidak faham Islam. Mereka tidak jelas tasawwur Islam sebenar. Fahaman mereka berbentuk juz’i dan bercampur aduk. Misalnya ada yang melihat Islam dari aspek hukum semata-mata tanpa melihat kepada Qadhiyyah Ilahiyyah yang menyeluruh.

2. Masyarakat tidak nampak Din Allah SWT dan rahmat-Nya sebagai suatu alternatif yang dapat menyelesaikan permasalahan manusia dan menyelamatkan mereka daripada kehancuran. Firman Allah SWT:

“Dan barangsiapa yang tidak diberikan cahaya (pertunjuk) oleh Allah maka ia tidak mempunyai cahaya (pertunjuk) walaupun sedikit.”
- Surah an-Nur: ayat 40

3. Pupus syu’ur untuk kembali kepada Islam. Sedangkan Islam mendidik umatnya supaya bekerja dan berusaha untuk menegakkan Din Allah SWT serta mempertahankannya, bukan sebaliknya mempertahankan Din bukan Islam.

“Sesiapa yang benci untuk bertemu dengan Allah SWT, maka Allah SWT benci untuk bertemu dengannya.”

Tidak dinafikan bahawa terdapat individu-individu yang faham Islam, menerima Islam sebagai alternatif dan memiliki syu’ur untuk kembali kepada Din Allah SWT sepenuhnya. Tetapi malangnya mereka tidak terkumpul sebagai satu kekuatan dalam bentuk jama’ah yang tersusun rapi dan mempersaksikan rahmat Allah SWT dalam bentuk yang sempurna.

Cara Mengatasi Ghurbah

Untuk mengatasi Ghurbah ath-Thaniyah, maka tidak ada jalan lain melainkan kembali kepada jalan Rasulullah SAW. Yakni jalan yang telah berjaya memnghilangkan Ghurbah al-Islam al-Awwal. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya pada Rasulullah itu teladan yang baik bagi mereka yang mengharapkan rahmat Allah dan keselamatan hari Akhirat dan banyak mengingati Allah.” - Surah al-Ahzab: ayat 21.

Sabda Rasulullah SAW: "Hendaklah kamu mengikuti sunnahku.... “

“Dan sebaik-baik pertunjuk ialah pertunjuk Muhammad SAW.”
Antara cara-caranya ialah:

1. Memahamkan Islam kepada masyarakat sebagaimana yang difahami oleh Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. yang mulia. Islam adalah satu cara hidup yang benar dan akan membawa kepada keredhaan Allah SWT. Manakala cara hidup yang lain adalah batil, sesat dan dimurkai Allah SWT. Dengan Islam sahaja akan berakhir kefasadan, kejahatan dan kerosakan di bumi. Islam adalah Taklif Rabbani. Manusia bertanggungjawab untuk memahaminya, beriman dengannya, menyampaikannya dan menegakkannya di dalam kehidupan. Firman Allah SWT:

“Sesiapa yang mencari selain Islam sebagai cara hidup, maka sesekali tidak akan diterima.” - Surah Ali ‘Imran: ayat 85.

Sabda Rasulullah SAW:

“Demi yang jiwaku di tangan-Nya. Tidak mendengar daripadaku seseorangpun dari umat ini, samada Yahudi atau Nasrani, kemudian dia tidak beriman dengan apa yang diutuskan padaku, melainkan dia adalah terdiri ahli neraka.”

Islam hendaklah difahamkan melalui wasilah yang betul dan masyru’, bersumberkan masdar yang asli iaitu Al Qur’an, As Sunnah dan kitab-kitab ulama’-ulama’ muktabar agar Islam yang diketengahkan itu Syamil dan Kamil.

2. Melaksanakan didikan untuk melahirkan muslim yang serasi dan komited dengan Islam. Muslim berkerja untuk Islam sepanjang hayat. Muslim memiliki sifat-sifat mahmudah seperti yang dimiliki para sahabat Rasulullah SAW. Muslim yang menjadi rijal dan mujahid yang mukhlis. Muslim yang terikat dengan akhirat. Muslim yang merasai Ukhuwwah Fillah.

Didikan yang dijalankan di atas asas Iman yang akan melahirkan kesungguhan di dalam kerja-kerja da’wah. Al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna r.a. menyatakan yang bermaksud:

“Apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam menyampaikan dan memasukkan da’wah di hati sahabat-sahabatnya Generasi Awal ialah menyeru mereka supaya beriman dan beramal. Kemudian dihimpun hati mereka dengan penuh kasih sayang dan persaudaraan, mereka berhimpun di atas kekuatan aqidah dan kekuatan kesatuan, maka jadilah mereka jamaah contoh yang semestinya terjulang kalimah dan da’wahnya, memperolehi kemenangan walaupun ahli-ahli bumi seluruhnya tidak menyetujui dan menentang mereka.”

Barisan muslimin yang bangkit sebagai du’at. Mereka berda’wah kepada keluarga dan masyarakat agar kembali kepada Islam sebagai Din Allah yang bersifat Kamil dan Mutakamil.

3. Melaksanakan jihad. Pembentukan masyarakat Islam dan pemerintahan Islam, yang menjadi matlamat asasi dalam ‘Amal Islami, tidak akan tercapai tanpa jihad. Malah jihad mengangkat pekerja-pekerja Islam daripada segala kerendahan kepada ketinggian. Jihad akan menjadikan pekerja-pekerja Islam terikat dengan Islam siang dan malam. Terpaut rasa dengan alam ukhrawi sepertimana terpautnya manusia lain kepada kehidupan dunia.

Jihad perlu berterusan. Orang-orang yang mati tanpa berjihad tergolong dalam golongan munafiq. Orang-orang yang mati tanpa kesan jihad akan bertemu Allah SWT dalam keadaan sumbing. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang bertemu Allah (mati) tanpa kesan jihad, maka dia bertemu Allah dan padanya terdapat kesumbingan.” - Hadith Riwayat at-Tarmizi.

Sabda Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang mati dan tidak pernah berperang dan jiwanya tidak berlaku peperangan, maka dia mati di atas cabangan nifaq.” - Hadith Riwayat Muslim.

Firman Allah SWT:

“Kalau kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan yang tidak berapa jauh, pasti mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu mereka terasa amat jauh.” - Surah at-Taubah: ayat 42.

4. Du’at perlulah bekerja secara jama’i, tidak keseorangan. Rasulullah SAW bersabda:

“Tangan Allah bersama jama’ah.”

5. Hendaklah difahami bahawa dengan kesedaran dan semangat semata-mata tidak akan lahir pekerja dan penda’wah sepanjang hayat. Hamasah (semangat) akan hilang apabila bertemu dengan ‘Uqubah dan Mehnah (bencana dan ujian) di atas jalan da’wah. Lebih-lebih lagi jalan da’wah ini panjang dan jauh. Ia tidak dihampari dengan permaidani indah atau ditaburi dengan bunga-bungaan. Justeru itu Tarbiyyah, Takwin dan bekerja secara jama’i adalah perlu.

Dengan adanya Tarbiyyah dan Takwin, InsyaAllah akan lahirlah pekerja sepanjang hayat, iltizam dengan matlamat da’wah yang besar dan bercita-cita mencari keredhaan Allah SWT semata-mata.

Penutup

Menegakkan kembali Din Allah SWT adalah Amanah Qubra (besar) dan taklif Rabbani. Du’at perlu memikul Amanah dan Taklif ini.

Meninggalkannya adalah berdosa lantaran du’at berada di satu penjuru daripada penjuru-penjuru Islam yang perlu dikawal dan dijaga agar musuh tidak dapat menceroboh.

Bersama-samalah du’at memikul tugas yang mulia ini. Mengajak masyarakat ke jalan Allah SWT secara jama’i, dengan penuh rasa Ukhuwwah dan dengan mempersaksikan Qudwah Hasanah demi pengabdian kepada Allah SWT.

Medan da’wah dan berkerja untuk Islam adalah medan yang Allah SWT muliakan. Begitu juga du’at menjadi mulia di atas medan ini. Du’at hidup dan mati di atasnya. Du’at beristiqamah di atasnya hingga kembali bertemu Allah SWT dalam keadaan mendapat kasih-Nya dan tersela-mat daripada kemurkaan-Nya.

Wallahu A'lam...