Photobucket Ahlan :
widgeo.net

Sabtu, 15 Mei 2010

MEMBINA PENGHAYATAN BERAGAMA DALAM KELUARGA

Assalamualaikum....

MEMBINA PENGHAYATAN BERAGAMA DALAM KELUARGA

Seterusnya, demi meningkatkan kefahaman terhadap Islam, seseorang wajarlah tidak ketinggalan menyertai sebarang program agama yang diwujudkan didalam masyarakat setempat.  Contohnya, majlis-majlis Ceramah Agama, Majlis Maulidur Rasul, Majlis Berkhatam Al-Quran, Tahlil, Sembahyang Berjemaah di Masjid, Sembahyang Hari Raya, Sembahyang Tarawih, Majlis Berbuka Puasa dan juga Majlis Perkahwinan.  Diantara kebaikan yang diperolehi dari majlis-majlis begini adalah:

-  Mengeratkan tali silaturrahim diantara sesama jiran tetangga dan masyarakat setempat.
-  Menambah pengetahuan dan kefahaman Islam.
-  Meninggikan Syiar Islam.
-  Mengamal agama dalam segenap aspek kehidupan.

Setelah memahami Islam secara keseluruhan, setiap anggota keluarga perlulah mengamalkannya dari seluruh aspek kehidupan mereka.  Selain dari apa yang telah digariskan Islam secara khusus, perkara-perkara lain juga akan menjadi ibadah sekiranya menempuh lima syarat berikut:

a.  Niat mestilah kerana Allah
b.  Perlaksanaan mestilah mengikut syariat Islam
c.  Apa jua yang dilakukan itu sah menurut Islam
d.  Tidak melanggar perkara asas dalam Islam, umpamanya rukun Islam yang lima.
e.  Natijah yang betul disisi Allah

Contohnya berniaga.  Seseorang dikira sedang beribadah disepanjang dia berniaga jika menurut kaedah lima syarat di atas.

a.  Niatnya berniaga adalah kerana Allah.  Iaitu:
- Mencari rezeki demi menyara keluarganya untuk memenuhi tanggungjawab kepada keluarga.
- Membekalkan bekalan makanan suci dan bersih, melepaskan tuntutan fardhu kifayah umat
b.  Perlaksanaannya menurut syariat Islam
-  Tidak melakukan penipuan dari sudut timbangan atau teknik jual beli.
-  Menjauhi riba
c.  Apa yang dilakukan itu sah disisi syariat Islam.
-  Dia tidak menjual sesuatu yang diharamkan atau makruh disisi Islam, seperti daging babi, arak, tiket loteri atau rokok.
d.  Natijahnya adalah kerana Allah
-  Apa jua keuntungan yang diperolehi dari perniagaannya, yang lebih dari keperluannya digunakan untuk kemaslahatan umat Islam.  Contohnya memberi sedekah, membangunkan pondok menunggu bas dan sebagainya.
Begitulah tamsilannya untuk perbuatan-perbuatan lain seperti memasak, menjahit, beriadah dan rekreasi, berhibur, menguruskan rumahtangga, membersihkan kawasan rumah, berinteraksi dengan jiran tetangga, menjalin silaturrahim, bersama-sama mencegah yang mungkar dan mengajak orang mengamalkan perkara yang makruf.

MEMBEBASKAN RUMAH DARIPADA PERKARA-PERKARA YANG DI HARAMKAN

Rumahtangga hendaklah dibebaskan dari perkara-perkara yang diharamkan.  Perkara-perkara yang diharamkan oleh agama terdiri dari berbagai bentuk.  Contohnya seperti makanan, barang-barang perhiasan rumah berupa patung-patung, arak, gambar-gambar bintang popular, kalender yang mendedahkan aurat, alat pandang dengar seperti kaset dan video, alat-alat solek dan barang keperluan keluarga seharian seperti beg dan kasut kulit, sabun mandi, ubat gigi, ubat-ubatan dan sebagainya.  Kesemua ini hendaklah dipelihara dari mengandungi unsur-unsur yang diharamkan seperti berikut:

1.  Memastikan makanan minum dari sumber yang halal.
Ibubapa hendaklah memastikan bahawa makanan yang dimakan oleh ahli keluarga adalah benar-benar halal dan jauh dari sumber-sumber syubhat.  Ini termasuklah:
Bahan-bahan dari mana ia diperbuat – mungkin mengandungi unsur-unsur khinzir, alkohol, gelatin dan sebagainya.
-  Cara memperbuatnya – menggunakan daging yang tidak disembelih secara Islam.
-  Barang makanan seperti sayur-sayuran, telur, ikan dan daging, minuman hendaklah dicuci dengan bersih.  Jika tidak, ahli keluarga akan termakan makanan yang mengandungi najis.  Air yang dimasuki semut dengan sengaja hukumnya najis..  Dan ia hendaklah dibuang dengan sesudu air.  Kebanyakan orang suka mengambil mudah perkara-perkara ini.  Walhal kecuaian menjaga kebersihan, akan menyebabkan hati seseorang menjadi gelap.  Hati yang gelap sukar menerima hidayah dan petunjuk dari Allah.
2.  Menjaga persekitaran rumah kekotoran.
Bagi keluarga yang mempunyai anak-anak yang masih kecil, mereka sudah pastinya tidak dapat lari dari masalah pembuangan najis merata-rata.  Walaupun kanak-kanak itu telah dibalut dengan lampin dengan sempurna, kadangkala berlaku juga kebocoran dimana-mana.  Oleh itu, pastikanlah bahawa najis-najis ini telah dicuci dengan bersih mengikut kaedah feqah yang betul.  Jika tidak, tidak sah amalan yang dilakukan oleh ahli rumah jika najis itu terbawa atau melekat pada tempat sembahyang, anggota badan dan pakaian.

MENANAM BIBIT-BIBIT AGAMA DI KALANGAN ANAK-ANAK SEJAK AWAL LAGI

Didiklah anak-anak untuk mentaati perintah Allah sejak dari kecil lagi.  Bagi anak-anak yang masih kecil, fitrah mereka asalnya bersih, iaitu mahu taat perintah Tuhan.  Oleh itu, tidak menjadi masalah besar untuk mereka diajar mematuhi perintah Tuhan.  Hanya ibu bapa yang perlu memastikan agar mereka dibiasakan dengan syariat Islam sejak kecil.  Apabila ia telah besar, tidak susahlah bagi pihak ibu bapa hendak menyuruh mereka melakukan solat dan menutup aurat kerana ianya sudah menjadi satu budaya hidup mereka.  Pepatah Melayu ada mengatakan Melentur Buluh Biarlah Dari Rebung.

Jika sudah besar (remaja), baru hendak disuruh mengamalkan Islam, tentulah ibu bapa akan berhadapan dengan berbagai masalah dan alasan.  Contohnya, pening kepala dan panas apabila diminta menutup aurat, berat untuk bangun mengerjakan solat Subuh, lidah sudah keras dengan sebutan lirik lagu-lagu barat yang kebanyakannya berunsur lucah, dan agak payah untuk diajar mengaji dan mempelajari ilmu Tajwid.  Hatinya susah untuk memahami ilmu Tauhid kerana akalnya sudah dibiasakan mengenali sesuatu hanya berdasarkan logik dan nyata pada mata kasar saja.

Oleh itu, cara untuk menasihati anak-anak remaja ini tidak boleh dilakukan secara sebarangan.  Ia perlu dilakukan dengan penuh kesabaran.  Jika si ibu atau bapa bertindak kasar, berleter sehari-harian, mereka akan mudah merasa bosan, merajuk, lantas melarikan diri dari rumah.  Oleh kerana itu, perlu ibu bapa mendidik anak agar cinta kepada Islam sejak mereka kecil lagi.
Diantara perkara yang perlu diajar kepada mereka adalah:

1.  Ajarlah anak-anak mengenal Allah:
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Awal-awal agama ialah mengenal Allah.”(Hadith)

a.  Semasa mengandung:
Seseorang ibu seharusnya banyak membaca al-Quran, berwirid, mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat, beristighfar, bertaubat, berselawat dan sebagainya.  Ini adalah supaya anak ini akan terbiasa dengan mendengar akan ayat-ayat Allah.  Mudah-mudahan, dia akan membesar dengan jiwa yang dekat dengan Allah.  Sensitif dengan Allah dan taat perintahNya.
-  Dengan membaca Al-Quran:
Ibu juga akan diberi ketenangan jiwa oleh Allah sekiranya ibadat-ibadat ini dilakukan dengan penuh keikhlasan, khusyuk dan rasa kehambaan.  Hasilnya ibu akan terhindar dari perasaan pemarah, kurang sabar, pendendam dan sebarang tekanan jiwa yang lazimnya dihadapi oleh wanita yang mengandung.
-  Ibu akan diberi Allah kekuatan untuk menghadapi ujian hidup.  Sudah pasti wanita yang mengandung kerap kali menerima berbagai perubahan perasaan selaras dengan pertukaran hormon didalam badan.  Tambah pula, sesetengah mereka mengalami keadaan alahan seperti, muntah-muntah, pening kepala, dan sebagainya.  Dalam masa yang sama, mereka terpaksa menjalankan tugas sebagai seorang isteri, ibu dan tugas di pejabat.  Tanpa kekuatan rohani, ibu-ibu akan mengalami tekanan perasaan dan mempengaruhi bayi yang sedang dikandung.  Untuk mengatasi masalah ini, ibu-ibu perlu banyak melakukan ibadah-ibadah sunat.

b.  Sewaktu kelahiran anak:
Anak-anak disambut oleh doktor dan jururawat Islam dalam suasana yang terkawal syariat. Diperdengarkan azan dan iqamah kepadanya, ditahnikkan dan sebagainya amalan yang disunatkan didalam Islam.  Sekiranya ketika manusia mati, dia dihantar ke kubur dengan ditalqinkan.  Maka, ketika dia dilahirkan ke dunia, juga dia disambut dengan ucapan Allah dan Rasul.

c.  Peringkat awal usia (Usia bayi hingga peringkat pra persekolahan).
- Perkenalkan anak-anak dengan benda-benda dan makhluk ciptaan Allah yang wujud di sekelilingnya.  Sama ada yang kecil atau besar.  Yang dapat dilihat oleh pancaindera, dapat dirasa oleh derianya atau yang dapat difikirkan dengan akalnya.  Contohnya:  Menunjukkan kepada mereka tentang pokok, bahagian-bahagian yang terdapat pada pokok, warna daun, bunga, buah, memerlukan air, udara, tanah untuk hidup.  Memperkenalkan tentang binatang-binatang, seperti harimau, kuda, ular, siput, ulat beluncas dan sebagainya.  Begitu juga dengan malam dan siang, matahari, bulan dan bintang.  Kesemuanya dikaitkan dengan Allah sebagai penciptanya.
- Ajak mereka berfikir tentang kejadian Allah ini.  Sifat-sifat mereka, cara hidup mereka, ciri-ciri mulia yang ada pada mereka.  Contohnya sifat bekerjasama di kalangan masyarakat semut, sifat kasih sayang yang wujud dalam diri binatang-binatang ini.
- Ajaklah mereka berfikir tentang kebesaran Allah, kekuasaan Allah, menerusi apa yang terdapat di alam ini.
- Cungkil matahati mereka untuk mengenal kekuasaan Allah yang luar biasa.  Contohnya, kejadian langit tanpa tiang, tumbuh-tumbuhan yang segar bisa saja musnah oleh sebab banjir, kemarau.  Semua ini tidak dapat dihindar oleh manusia.  Inilah tanda-tanda kekuasaan Allah yang tidak dapat ditolak oleh manusia.  Tanamkan perkara-perkara ini dalam jiwa anak-anak agar mereka rasa gerun dengan kekuasaan Allah, hakikat Allah sentiasa melihat segala perbuatan mereka, merasa Allah sebagai pelindung utama, mengharap pada pertolongan Allah dan bersyukur dengan pemberian Allah.
2.  Biasakan anak-anak dengan tatacara dan disiplin cara hidup Islam.
-  Sentiasa mengawasi pergaulan, pertuturan mereka agar tidak bertentangan dengan Islam.
-  Membiasakan mereka dengan sebahagian dari syariat dan adab-adab dalam Islam yang agak mudah untuk mereka lakukan.  Contohnya, bersuci, bersembahyang, menutup aurat, berakhlak mulia, bersyukur, berdoa dan sebagainya.  Berilah mereka ganjaran yang baik sekiranya mereka melakukan sifat-sifat positif ini.Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Suruh anak-anak kamu bersembahyang, apabila mereka mencapai usia tujuh tahun, dan pukullah mereka kerana tidak bersembahyang, apabila mereka mencapai usia sepuluh tahun, dan pisahkanlah antara mereka di tempat tidur.” (Riwayat Al Hakim dan Abu Daud)
“Kerjakanlah segala rupa ketaatan kepada Allah, dan takutlah membuat maksiat-maksiat kepadaNya, dan suruhlah anak-anak kamu supaya menurut segala perintah Allah, dan meninggalkan laranganNya.  Itulah yang dikatakan pemeliharaan diri mereka dan diri kamu daripada api neraka.” (Riwayat Ibnu Jarir dan Ibnul Munzir)
-  Suburkan jiwa mereka dengan cerita-cerita mengenai rasul-rasul, para nabi dan orang-orang soleh.  Tujuannya supaya mereka suka meniru akhlak baik para kekasih Allah ini, seperti sabar menerima ketentuan Allah.
-  Kemudian beransur-ansur mengajarkan mereka tentang adab-adab terhadap ibu bapa, kaum kerabat, jiran tetangga, terhadap guru-guru dan teman-teman, adab makan-minum, bergaul; dan sebagainya.
Inilah diantara pendidikan yang patut dilakukan bagi anak-anak di peringkat pra sekolah.

MEMBINA PERSEKITARAN BERAGAMA

Dalam usaha memantapkan kefahaman Islam di kalangan anggota keluarga, ketua keluarga hendaklah mewujudkan persekitaran agama didalam rumahtangga.  Diantara perkara yang boleh dilakukan termasuklah:
a.  Memperbanyak koleksi buku agama
Ibu bapa hendaklah memperbanyakkan koleksi buku agama di rumah.  Mengadakan perpustakaan kecil di rumah dan memberi perhatian khusus terhadap bahan bacaan agama.  Ibu bapa boleh melanggan majalah dan surat khabar bercorak agama.
b.  Minat kepada ilmu agama
Untuk menambah minat anak-anak terhadap ilmu agama ibu bapa boleh menjalankan langkah-langkah berikut:-
-  Membawa anak-anak mereka ke pesta-pesta buku Islam.
-  Mendedahkan mereka kepada ilmu agama dalam pelbagai bentuk, seperti konsert-konsert nasyid, kaset dan video (seperti Jejak Rasul), bahan-bahan multimedia, khemah ibadah dan sebagainya.
-  Sewaktu masa lapang bersama keluarga, adakan dialog dan perbincangan dengan anak-anak tentang isu-isu semasa.  Bincangkan tentang kebijaksanaan Islam dalam menangani masalah tersebut.
-  Bawa anak-anak bermusafir, dalam sebuah kereta atau van, melancong sambil melihat kebesaran Allah ditepi-tepi pantai, bukit-bakau dan gunung-ganang.  Sambil itu, ajak mereka memikirkan kebesaran Allah, mencungkil hikmah di sebalik kejadian alam tersebut.  Atau tamsilkan alam semula jadi dengan kehidupan selepas mati.  Umpamanya, mengibaratkan tasik yang terbentang luas sebagai lautan api neraka.  Ini adalah untuk menimbulkan rasa gerun terhadap api neraka.  Sekaligus menambah keyakinan terhadap pembalasan Allah..
c.  Menyertai program peningkatan ilmu agama
Bawalah anak-anak menghadiri sebarang program yang boleh meningkatkan ilmu agama seperti kuliah-kuliah fardhu ain di masjid, surau, atau sebarang khemah-khemah ibadah.  Bagi yang berkemampuan, bawalah anak-anak menziarahi tempat-tempat peninggalan sejarah Islam seperti di Turki, Sepanyol dan Uzbekistan.  Begitu juga dengan tempat-tempat bersejarah seperti Laut Mati yang mempunyai sejarah berkenaan kutukan Allah terhadap orang yang melanggar perintahNya.  Apa yang perlu ditekankan didalam lawatan ini ialah mendapatkan pengajaran tersirat dari sesuatu tempat itu.
d.  Membentuk disiplin ibadah di kalangan ahli keluarga.
Latih anggota keluarga dan anak-anak dengan disiplin ibadah sejak mereka kecil..  Diantaranya ialah:-
-  Membaca al-Quran menjadi aktiviti harian. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Didiklah anak-anak kamu atas tiga perkara:  Cinta kepada Nabi kamu, cinta kepada kaum keluarganya serta membaca Al-Quran, sesungguhnya para pembaca Al-Quran itu berada didalam naungan Arasy Allah pada hari tiada naungan melainkan naunganNya bersama-sama para NabiNya dan orang-orang suciNya.” (Hadith)
Seelok-eloknya ibu dan ayah menjadikan kegiatan membaca Al-Quran sebagai aktiviti harian keluarga.  Sambil itu, diperhatikan makna yang tersurat.  Didalam Al-Quran terdapat ayat-ayat yang berbentuk peringatan, doa, suruhan, larangan, amaran, ganjaran dan siksaan Allah.  Selain dari itu terdapat juga pengetahuan berkenaan alam semesta.  Selain berfungsi sebagai pelindung dari godaan syaitan, merenungi makna yang terdapat didalam ayat-ayat tersebut dapat menanamkan keinsafan dan menguatkan iman.  Ayat-ayat Al Quran juga berfungsi memberi ketenangan jiwa kepada pembacanya.  Allah berfirman maksudnya:-
Dan diantara tanda-tanda kekuasanNya Dia memperlihatkan kepadamu kilat untuk (menimbulkan) ketakutan dan harapan dan Dia menurunkan air dari langit lalu menghidupkan bumi dengan air itu sesudah matinya.  Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mempergunakan akalnya.”(Ar-Rum : 24)
-  Mempraktik sembahyang berjemaah.
Ibu bapa wajar memberi contoh yang baik kepada anak-anak mereka.  Tidak memadai dengan hanya berkata-kata, menyuruh berbuat baik, beribadah, berbuat itu dan ini, tanpa mereka sendiri melaksanakannya.  Salah satu caranya ialah dengan melakukan sembahyang berjemaah.
Sembahyang berjemaah merupakan satu cara halus yang wujud didalam Islam untuk menyatukan hati-hati manusia.  Sewaktu Rasulullah mula membuka negara Islam di Madinah, masjid merupakan bangunan awal yang dibina.  Masjid merupakan lambang perpaduan umat.
Umat yang bersatu padu akan kuat.  Samada bersatu dalam membangunkan yang makruf atau mencegah yang mungkar.  Didalam masjid, selain menjalankan ibadah sebagai sendi agama, umat Islam dapat berbincang hal-hal yang diharuskan didalam agama seperti menyelesaikan masalah masyarakat, dan mengatur berbagai program demi membangunkan negara.  Pada zaman silam, masjid juga digunakan sebagai tempat ahli perang mengatur strategi peperangan, dan juga sebagai tempat para cerdik pandai dan pakar-pakar Islam dari berbagai bidang berbincang demi kemaslahatan umat.  Tetapi di zaman ini, amatlah menyedihkan apabila masjid menjadi sarang penagih dadah!
Dalam konteks rumahtangga, sembahyang jemaah berperanan sebagai alat yang mengikat hati ahli keluarga.  Mungkin ianya susah diterima menurut logik akal.  Tetapi cuba anda perhati falsafah yang terkandung disebalik perbuatan ini.  Dalam sesebuah keluarga, selalunya ayah dan ibu sibuk seharian mencari nafkah bertugas di luar rumah..  Lewat petang, atau lewat malam baru masing-masing pulang ke rumah.  Anak-anak pula seharian tidak bertemu ibu dan ayah.  Pulang dari sekolah lewat maghrib dan setengahnya pula terpaksa pergi ke tuisyen di sebelah malam.  Tidak punya masa panjang dengan ibu dan ayah.  Akibatnya, ikatan hati di antara ibu ayah dan anak-anak akan menjadi longgsar.  Anak-anak akan bertindak liar dengan ibu bapa mereka.
Oleh itu, ibu dan ayah perlu melaungkan sedikit masa berkumpul sesama ahli keluarga.  Diantara caranya ialah menjalankan solat berjemaah setiap hari.  Paling kurang, ambillah waktu Maghrib, Isyak dan Subuh.  Selesai menjalankan solat berjemaah ini, ibu ayah serta anak-anak bersalam-salaman diantara satu sama lain.  Isteri memohon maaf terhadap suaminya.  Terdapat dalam satu hadis bermaksud, apabila isteri bersalaman dengan suaminya, maka akan gugurlah segala dosa-dosa dari celah jari-jarinya.  Anak-anak mencium tangan kedua ibu dan bapanya.  Konsep kemaafan ini seharusnya menjadi amalan setiap masa dan bukannya hanya di pagi Aidil Fitri saja.  Bermaaf-maafan ini dapat melapangkan dada kerana dendam kesumat akan hilang.  Fikiran akan lebih sihat dan jiwa lebih tenang.  Perhubungan diantara sesama ahli keluarga bertambah erat.
Sekali-sekala jika ada kelapangan, atau dihujung minggu, ayah sebagai ketua keluarga seelok-eloknya memberi beberapa pesanan, nasihat dan peringatan agama untuk ahli keluarganya.
Selang masa diantara waktu Maghrib dan Isyak boleh juga digunakan untuk mendekati anak-anak.  Menyelami perasaan dan masalah seharian mereka.  Gunakan pendekatan berbeza ketika cuba menyelami perasaan mereka.  Anak-anak sangat mengharapkan ibu bapa dalam menghadapi hidup ini.  Ibu bapa sewajarnya menjadi rakan baik dan kaunselor kepada mereka.
Gunakanlah pendekatan yang bijaksana.  Maka mereka dengan mudah akan menceritakan masalah mereka.  Dengan cara ini, anak-anak lebih menghormati dan menghargai ibu bapa mereka.
Sekiranya ibu bapa menggunakan pendekatan yang keras (sebagaimana orang-orang tua dahulu kala), mereka akan lari.  Mereka akan pergi mendapatkan kawan-kawan mereka untuk meminta nasihat dan pandangan..  Sekiranya mereka bertemu dengan kawan yang baik, beruntunglah mereka.  Tetapi jika sebaliknya, kecelakaanlah bakal menimpa.
Selain dari itu, bilamana sembahyang berjemaah dilakukan, ayah, ibu, dan anak-anak, masing-masing akan tunduk, merafak sembah di hadapan Allah, seolah-olah mereka menyatakan kesanggupan masing-masing menjalankan hak-hak dan tanggungjawab yang telah dibebankan oleh Allah ke atas bahu mereka..  Masing-masing seolah-olah membaharui ikrar kepada Allah SWT untuk menjalankan tugas sebagai hamba dan khalifahNya dengan bersungguh-sungguh.
e.  Adakan ruang  khas untuk solat dalam rumah
Ibu bapa sewajarnya membina satu ruang khas untuk solat di rumah.  Bilik ini seelok-eloknya terletak di satu sudut rumah yang jauh dari kebisingan radio dan televisyen, agar tidak mengganggu orang yang sedang beribadah didalamnya.  Didalam bilik ini boleh ditampalkan dengan poster-poster doa harian, gambar-gambar pemandangan alam semula jadi yang harmoni, mengingatkan hamba kepada kebesaran Tuhannya.  Boleh juga dihiaskan dengan poster berkenaan ingatkan mati.  Mudah-mudahan dengan adanya poster-poster begini dapat membantu mendapatkan sembahyang yang khusyuk.
Disatu sudut pula boleh diletakkan buku-buku agama, kitab-kitab, surah Yasin dan Al-Quran.  Ini untuk memudahkan ahli keluarga membaca Al-Quran selepas selesai menunaikan sembahyang.

MENJALIN RANGKAIAN SAHABAT YANG CINTA KEPADA AGAMA

Didalam sebuah hadis, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, bahawa seseorang itu adalah menurut agama temannya.  Maksudnya, kelakuan seseorang itu amat dipengaruhi oleh tingkah laku rakan-rakan sepergaulan dengannya.  Jika orang-orang yang menjadi teman sehariannya baik, maka perangilah perangai seseorang itu.  Dan sebaliknya:
-  Membiasakan anak-anak dengan orang-orang yang cinta agama.
-  Meletakkan anak-anak di bawah jagaan pengasuh yang cinta agama.
Bagi ibu-ibu yang bekerja, mereka hendaklah memastikan bahawa anak-anak kecil mereka dihantar kepada pengasuh-pengasuh yang berakhlak baik dan menghayati Islam.  Anak-anak ini akan didendangkan dengan kalimah-kalimah Allah sewaktu mereka ditidurkan.  Mereka terhindar dari mendengar perkataan-perkataan yang buruk, kotor dan carut-marut.  Pengasuh yang beriman akan memastikan bahawa anak-anak ini dihidangkan dengan makanan yang bersih dan suci dan terbiasa dengan akhlak yang mulia.  Apabila anak-anak dibiasakan dengan pengasuh-pengasuh yang bersembahyang, mengaji Quran, anak-anak terbiasa dengan amalan-amalan Islam sejak kecil.
-  Menghantar anak-anak ke tadika dan sekolah agama
Pastikan bahawa anak-anak dihantar ke institusi yang berteraskan Islam.  Di tadika Islam, terdapat berbagai jenis pengisian berbentuk Islam diberi kepada anak-anak.  Contohnya, anak-anak diajar adab-adab dalam Islam, akhlak mulia, hiburan berbentuk Islam dan cerita-cerita teladan Islam.  Anak-anak akan diperkenalkan dengan Rasulullah SAW dan para sahabatnya, kisah nabi-nabi yang penuh dengan contoh tauladan yang baik.  Anak-anak akan terpengaruh dengan sifat mulia orang-orang yang menjadi kekasih Allah ini.
Disekolah agama pula, selain dari anak-anak berpeluang mempelajari ilmu fardhu ain, mereka berpeluang belajar bahasa Arab.
Sebagai kesimpulannya, anak-anak yang dibiasakan bergaul dengan orang-orang yang soleh dan beriman, akan mendapat pengetahuan yang berguna dan terpengaruh dengan akhlak mulia mereka.
Dalam konteks kehidupan berkeluarga, suami isteri boleh menjalin persahabatan dengan sahabat-sahabat yang cintakan agama.  Iaitu orang-orang yang suka menegakkan perkara-perkara yang menjadi suruhan Allah dan menjauhkan diri dari larangan Allah.  Untuk ini, mereka boleh membentuk satu perkumpulan di waktu hujung minggu, mengadakan majlis perjumpaan di rumah sesama mereka.  Dalam majlis perjumpaan ini, selain untuk menambah tali silaturrahim, bolehlah diadakan sessi kuliah dan perbincangan mengenai hal-hal agama.

MEMBERI PENEKANAN SEIMBANG ANTARA ILMU AGAMA DAN AKADEMIK

Untuk menjalankan tugas sebagai seorang khalifah Allah, seseorang manusia perlu melengkapkan dirinya dengan ilmu agama dan akademik.  Ilmu akademik disini meliputi pengetahuan di bidang sains dan teknologi, sama ada di sudut teknikal atau vokasional.  Keduanya saling lengkap-melengkapi diantara satu sama lain.  Perhatikan yang berikut:
i.  Kurang ilmu agama tetapi lengkap ilmu akademik.
Tanpa ilmu agama, manusia akan hidup liar, mementingkan diri sendiri dan berperangai seperti haiwan.
Rumahtangga dapat menjadi porak peranda.  Suami dan isteri bercakaran, lupa dan mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak.  Walaupun masing-masing berkelulusan tinggi di bidang akademik.  Di tempat kerja, merekalah jaguh, pemimpin yang disegani, pekerja contoh.  Tetapi berhadapan dengan ragam pasangan masing-masing dan anak-anak di rumah, mereka tidak dapat bersabar.  Mudah saja melepaskan geram dan bertindak sewenang-wenangnya terhadap pasangan masing-masing atau anak-anak yang tidak berdosa.  Maka berlakulah berbagai-bagai kes penderaan.  Pengetahuan tinggi di bidang akademik tidak mampu menjadikan mereka manusia yang sabar, bertolak ansur, bertanggungjawab dan berkasih sayang.
ii.  Kurang ilmu akademik tetapi lengkap ilmu agama.
Didalam situasi hidup berkeluarga, taraf ekonominya amat bergantung kepada tahap ilmu akademik ahlinya.  Jika rendah tahap akademik, akan rendahlah taraf ekonomi keluarga tersebut.  Hidup dalam serba kekurangan, makanan, perlindungan, kesihatan juga turut terjejas.
Kedapatan ahli keluarga yang ramai, tetapi terpaksa tinggal didalam sebuah rumah sempit berbilik dua.  Adik beradik lelaki dan perempuan, malah kadang-kala ibu dan ayah tidur setempat.  Dengan tidak sengaja, si ayah telah meniduri anak perempuannya yang disangkanya isterinya.  Kejadian seperti ini pernah diceritakan oleh seorang lelaki didalam sebuah akhbar tabloid di Malaysia.
Dalam menghadapi situasi hidup yang miskin, bagi orang yang lemah imannya, mudah saja terjerumus ke dalam lembah dosa.  Mereka sanggup membuat kerja-kerja yang diharamkan seperti mencuri, melacurkan diri, menjual dadah dan sebagainya demi untuk mendapatkan sesuap nasi atau hidup mewah.  Walau pun, mereka tahu sesuatu perbuatan itu haram hukumnya disisi Islam.
Kesimpulannya, ilmu agama dan ilmu akademik saja kepentingannya.  Ia saling lengkap-melengkapi di antara satu sama lain.  Yang terlebih utama ialah penghayatan terhadap ilmu agama itu sendiri.  Ilmu akademik membekalkan manusia dengan kemahiran teknologi untuk membina pembangunan dunia.  Manakala penghayatan terhadap ilmu agama akan membentuk individu yang bertaqwa, amanah, jujur dan bertanggungjawab didalam menjalankan kerjanya.
Dengan kata lain lahir individu yang digelar ‘ahli sufi yang berteknologi’.  Iaitu seorang yang bekerja keras untuk kehidupan dunia, membangunkan tamaddun dunia.  Produktiviti negara akan bertambah.  Namun, hatinya tidak terlekat atau tertipu dengan kehidupan dunia itu sendiri.  Apa yang pernting baginya ialah mencari keredhaan Allah.

SENTIASA BERDOA KEPADA ALLAH SWT

Ibu bapa, suami dan isteri yang telah sedar dan mahu menghayati Islam, mestilah sentiasa berdoa agar Allah akan mengekalkan hidayah dan petunjuk yang diberikan ke atas mereka sekeluarga.  Berdoalah dengan doa-doa yang telah dibuat oleh Rasulullah SAW seperti:
a.  “Ya Allah, janganlah Engkau sesatkan hati kami setelah Engkau beri petunjuk kami, berilah kami rahmat, sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi.(Al Hasyar: 10)
b.  “Ya Allah berikanlah dari isteri-isteri dan zuriat-zuriat kami orang-orang yang menjadi idaman hati di masyarakat, dan jadikanlah kami menjadi ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al Furqan: 72)
c.  “Ya Allah, berilah kami kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat dan peliharalah kami dari azab api neraka.” (Al Baqarah: 127)
d.  “Ya Allah, kami mohon kepadaMu keselamatan agama, kesihatan jasmani, bertambah ilmu dan berkah rezeki.  Dapat bertaubat sebelum mati, mendapat rahmat ketika mati dan memperoleh keampunan setelah mati.  Ya Allah, mudahkanlah kami pada gelombang sakratul maut, dan lepaskanlah dari api neraka dan mendapat kemaafan ketika dihisab.”
-  Memohon kebaikan dunia dan akhirat.
-  Memohon dimatikan didalam Husnul Khatimah (baik kesudahan) dan dijauhkan dari Suul Khatimah (buruk kesudahan).

PENUTUP

KELUARGA merupakan asas kepada pembangunan negara.  Keluarga yang bahagia akan melahirkan rakyat yang dapat menyumbangkan tenaga kepada pembangunan negara.  Kebahagiaan sesebuah keluarga pula amat bergantung kepada sejauh mana ahli keluarga itu berpegang teguh kepada prinsip dan ajaran  agama Islam. Penghayatan terhadap agama dan berpegang teguh kepada etika hidup yang baik akan menjamin kebahagiaan hidup sesebuah keluarga.  Menjadi kewajipan setiap ahli keluarga mengamalkan  nilai murni dan ibubapa hendaklah konsisten dalam mendidik anak-anak agar sentiasa mengamalkan perintah serta menjauhi larangan Allah.

Wallahu A'lam....

0 ulasan:

Catat Ulasan