Photobucket Ahlan :
widgeo.net

Khamis, 17 Jun 2010

SAYA MESTILAH MUSLIM DARI SUDUT AKHLAK


Akhlak yang mulia adalah menjadi matlamat asasi bagi risalah Islam. Ini dinyatakan oleh hadis Rasulullah saw yang bermaksud:-

"Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyemburnakan akhlak yang mulia."

Akhlak juga merupakan amal paling berat yang diletakkan dalam neraca hamba pada hari Qiamat. Sesiapa yang rosak akhlaknya dan buruk amalnya tidak akan dipercepatkan hisabnya. Sabda Rasulullah saw bermaksud:-

"Tidak ada satu perkara paling berat yang diletakkan dalam neraca hamba di hari kiamat kelak lebih daripada akhlak yang mulia."

Dalam Islam akhlak adalah merupakan intipati bagi segala ibadat. Tanpa akhlak ibadat hanyalah merupakan adat resam dan gerak laku yang tidak mempunyai nilai dan faedah. Maksud firman Allah SWT:-

"Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perkara jahat dan mungkar." (al 'Ankabut : 45)

Sebahagian daripada sifat-sifat akhlak yang semestinya ada dalam diri seseorang sehingga beliau benar-benar Islam di sudut akhlaknya ialah sifat-sifat yang disebutkan di bawah ini;-

1) Bersifat warak dari melakukan perkara-perkara syubhat. Seseorang Muslim mestilah menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang haram dan berjaga-jaga daripada melakukan perkara yang syubhat. Ini dilakukan kerana patuh kepada maksud hadis Rasulullah saw:-

" Perkara yang halal itu jelas dan perkara yang haram itu pun jelas, tetapi di antara keduannya ada perkara-perkara syubhat yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Barangsiapa yang menjauhi perkara syubhat bererti beliau telah telah membersihkan agamanya dan kehormatannya. Barangsiapa yang terjatuh ke dalam perkara syubhat bererti beliau telah jatuh ke dalam perkara yang haram. Samalah keadaannya seperti seorang pengembala yang mengembala di tepi pagar, dikhuatiri kelak beliau akanmengembala di dalam pagar itu. Ingatlah, setiap raja itu mempunyai batas sempadannya dan batas sempadan Allah ialah perkara-perkara yang diharamkannya. Ingatlah dalam setiap jasad itu ada seketul daging, apabila daging itu baik maka baiklah jasad itu keseluruhannya, apabila daging itu rosak maka rosaklah jasad itu keseluruhannya. Ingatlah daging itu ialah hati."

2) Menundukkan pandangan. Beliau mestilah menutup pandangannya daripada perkara-perkara yang diharamkan Allah kerana pandangan itu akan menimbulkan syahwat dan mendorong seseorang terjatuh ke dalam maksiat dan dosa. Oleh kerana itu al Quran telah memberi amaran tentang pandangan yang tidak memberi faedah. Maksud firman Alah SWT:-

"Katakanlah kepada orang-orang lelaki yang beriman hendaklah mereka menahan pandangan." (an Nur : 30)

3) Memelihara lidah. Beliau hendaklah memelihara lidahnya daripada perkataan yang tidak memberi faedah, percakapan yang kotor, kalimah dan ibarat-ibarat yang keji dan cakap kosong, mengumpat dan mengadu domba. Maksud hadis Rasulullah saw :-

" Siapa yang banyak cakapnya maka banyaklah salahnya. Siapa yang banyak salahnya maka banyaklah dosanya. Siapa yang banyak dosanya maka neraka adalah paling utama baginya."

4) Malu. Beliau mestilah bersifat malu dalam semua keadaan tetapi sifat malunya tidak menghalang beliau daripada memperkatakan kebenaran. Termaasuk juga dalam pengertian malu itu perbuatan tidak campur tangan dalam urusaan orang lain, menahan paandangan, ringan tulang, tidak meninggikan suara, berpada dengan apa yang ada setelah diusahakan dan banyaak lagi sifat-sifat lain.

Telah diriwayatkan bahawa Rasulullah saw lebih pemalu daripada seorang gadis remaja dan beliau bersabda yang bermaksud:-

"Iman itu lebih dari tujuh puluh atau lebih dari enam puluh cabang. Yang paling afdhaal ialah kalimah La Ilaha Illallah dan yang paling rendah ialah membuang sesuatu yang boleh menyakitkan dari jalan. Dan malu itu satu cabang daripada iman."

Dalam hubungan sifat malu ini para ulamak telah mengatakan : "Sifat malu pada hakikatnya ialah suatu sifat yang mendorong seseorang meninggalkan perkara yang buruk dan menghalang beliau daripada mencuaikan hak orang lain."

5) Lemah lembut dan sabar. Di antara sifat yang paling menonjol dan sepatutnya wujud dalam diri seorang Muslim ialah sifat sabar dan lemah lembut kerana amal-amal Islam penuh dengan perkara-perkara yang tidak digemari. Demikian juga perjalanan dakwah penuh dilingkungi ddengan berbagai-bagai kesukaran, penyiksaan, penindasan, tuduhan-tuduhan, penghinaan dan paandang rendah.

Kesemua ini merupakan batu penghalang yang sering dihadapi oleh mereka yang bekerja dalam bidang dakwah sehinggalah semangat dan himmah mereka pudar dan gerakan mereka akan lemah seterusnya mereka akan berpaling terus dari medan dakwah. Maksud firaman Allah SWT:-

"Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas." (az- Zummar : 10)

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:-

"Mahukah kamu aku beritahukan perkara yang dengannya Allah memuliakan binaan daan mengangkat darjat ketinggian. Mereka menjawab : "Bahkan Ya Rasulullah." Rasulullah saw bersabda : Kamu berlemah lembut terhadap orang yang tidak mengetahui kamu, memaafkan orang yaang menzalimi kamu, memberi kepada orang yang tidak pernah memberi kepadamu dan kamu menghubungkan silaturrahim dengan orang yang memutuskan silaturrahim denganmu."

6) Bersifat benar dan jujur. Beliau hendaklah bersifat benar, tidak berdusta, mengatakan sesuatu yang hak sekalipun terhadap dirinya dengan tidak merasa takut kepada celaan manusia demi kepatuhan kepada Allah. Sifat dusta adalah sifat yang paling jahat dan hina di samping itu sifat ini adalah menjaadi pintu masuk syaitan. Sifat dusta akan meruntuhkan jiwa dan membawa kehinaan kepada peribadi manusia. Maksud hadis Rasulullah saw:-

"Sesungguhnya sifat benar itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa ke syurga. Dan seseorang itu akan terus bersifat benar sehinggalaah beliau ditulis di sisi Allah sebagai orang yang bersifat benar. Sesungguhnya dusta itu membawa kepada kejahatan dan kejahatan itu membawa ke neraka. Seseorang itu akan terus berdusta sehinggalah beliau ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang pendusta."

7) Tawadhuk. Beliau mestilah bersifat tawadhuk terutama di kalangan saudara-saudara seIslamnya. Tidak ada perbezaan antara yang kaya dan miskin. Rasulullah saw sentiasa meminta dijauhkan daripada sifat takabbur dan rasa bangga diri. Maksud hadis Rasulullah saw:-

" Tidak akan dimasukkan ke dalam syurga orang yang di dalam hatinya terdaapat sebesar zarrah sifat takabbur."

8) Menjauhi perbuatan buruk sangka, mengumpat dan menjejaki keburukan orang lain. Maksud firman Allah SWT :-

" Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan kamu daripada prasangka buruk. Sesungguhnya sebahagian daripada prasangka buruk itu adalah dosa. Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saaudaranya yang sudah maati, maka tentulah kamu merasa jijik dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang." (al Hujurat : 12)

9) Pemurah. Beliau mestilah bersifat pemurah, mengorbankan diri dan hartanya pada jalan Allah. Di antara perkara yang dapat mendedahkan kebakhilan seseorang itu ialah caranya membelanjakan wang ringgit. Maksud firman Allah SWT:-

" Dan apa sahaja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah) maka pahalanya itu untuk kamu sendiri dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan keranaa mencaari keredhaan Allah dan apa sahaja harta yang baik yang kamu nafkahkaan nescaya kaamu akan diberikan pahalanya dengan cukup dan sedikitpun kamu tidak akan dianiayai." (al Baqarah : 272)

10) Qudwah hasanah. Beliau mestilah menjadi contoh ikutan kepada orang ramai.

Segala tindak tanduknya menjadi terjemahan terhadap semua prinsip-prinsip Islam baik dalam adab tertibnya, makannya, minumnya , pakaiannya, percakapannya,dalam keadaan damai, mengembara, bermukim dan seluruh gerak dan diamnya.

Petikan daripada "Apa Ertinya Saya Menganut Islam – Dr. Fathi Yakan"

GUNUNG MENANGIS TAKUT TERGOLONG BATU API NERAKA

Pada suatu hari Uqa'il bin Abi Thalib telah pergi bersama-sama dengan Nabi Muhammad S.A.W. Pada waktu itu Uqa'il telah melihat peristiwa ajaib yang menjadikan hatinya tetap bertambah kuat di dalam Islam dengan sebab tiga perkara tersebut. Peristiwa pertama adalah, bahawa Rasulullah S.A.W akan mendatangi hajat yakni mebuang air besar dan di hadapannya terdapat beberapa batang pohon. Maka baginda S.A.W berkata kepada Uqa'il, "Hai Uqa'il teruslah engkau berjalan sampai ke pohon itu, dan katalah kepadanya, bahawa sesungguhnya Rasulullah berkata; Agar kamu semua datang kepadanya untuk menjadi aling-aling atau penutup baginya, kerana sesungguhnya baginda akan mengambil air wuduk dan buang air besar."

Uqa'il pun keluar dan pergi mendapatkan pohon-pohon itu dan sebelum dia menyelesaikan tugas itu ternyata pohon-pohon sudah tumbang dari akarnya serta sudah mengelilingi di sekitar baginda S.A.W selesai dari hajatnya. Maka Uqa'il kembali ke tempat pohon-pohon itu.

Peristiwa kedua adalah, bahawa Uqa'il berasa haus dan setelah mencari air ke mana pun jua namun tidak ditemui. Maka baginda S.A.W berkata kepada Uqa'il bin Abi Thalib, "Hai Uqa'il, dakilah gunung itu, dan sampaikanlah salamku kepadanya serta katakan, "Jika padamu ada air, berilah aku minum!"

Uqa'il lalu pergilah mendaki gunung itu dan berkata kepadanya sebagaimana yang telah disabdakan baginda itu. Maka sebelum ia selesai berkata, gunung itu berkata dengan fasihnya, "Katakanlah kepada Rasulullah, bahawa aku sejak Allah S.W.T menurunkan ayat yang bermaksud : ("Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu beserta keluargamu dari (seksa) api neraka yang umpannya dari manusia dan batu)." "Aku menangis dari sebab takut kalau aku menjadi batu itu maka tidak ada lagi air padaku."

Peristiwa yang ketiga ialah, bahawa ketika Uqa'il sedang berjalan dengan Nabi, tiba-tiba ada seekor unta yang meloncat dan lari ke hadapan rasulullah, maka unta itu lalu berkata, "Ya Rasulullah, aku minta perlindungan darimu." Unta masih belum selesai mengadukan halnya, tiba-tiba datanglah dari belakang seorang Arab kampung dengan membawa pedang terhunus.Melihat orang Arab kampung dengan membawa pedang terhunus.

Melihat orang Arab kampung itu, Nabi Muhammad S.A.W berkata, "Hendak apakah kamu terhadap unta itu ?"

Jawab orang kampungan itu, "Wahai Rasulullah, aku telah membelinya dengan harta yang mahal, tetapi dia tidak mahu taat atau tidak mau jinak, maka akan kupotong saja dan akan kumanfaatkan dagingnya (kuberikan kepada orang-orang yang memerlukan)." Rasulullah S.A.W bertanya, "Mengapa engkau menderhakai dia ?"

Jawab unta itu, "Wahai Rasulullah, sungguh aku tidak menderhakainya dari satu pekerjaan, akan tetapi aku menderhakainya dari sebab perbuatannya yang buruk.. Kerana kabilah yang dia termasuk di dalam golongannya, sama tidur meninggalkan solat Isya'. Kalau sekiranya dia mahu berjanji kepada engkau akan mengerjakan solat Isya' itu, maka aku berjanji tidak akan menderhakainya lagi. Sebab aku takut kalau Allah menurunkan seksa-Nya kepada mereka sedang aku berada di antara mereka."

Akhirnya Nabi Muhammad S.A.W mengambil perjanjian orang Arab kampung itu, bahawa dia tidak akan meninggalkan solat Isya'. Dan baginda Nabi Muhammad S.A.W menyerahan unta itu kepadanya. Dan dia pun kembali kepada keluarganya.

TAUBAT SEORANG PEMINUM ARAK

Pada suatu hari, Khalifah Umar ibni Khattab berjalan-jalan di lorong-lorong dalam kota Madinah. Apabila sampai di persimpangan jalan,beliau terserempak dengan seorang pemuda yang membawa kendi. Ini menimbulkan sangkaan buruk Umar terhadap pemuda itu. Lantas Umar menyoal, "Apa yang engkau bawa itu?" Dalam keadaan ketakutan pemuda itu terketar-ketar menjawab, "Madu, wahai Umar.." Sebenarnya pemuda itu sedang membawa kendi arak.

Selepas berkata demikian, timbul perasaan insaf di hatinya untuk bertaubat dari minum arak. Dia menyesal melakukan perbuatan yang ditegah agama. Dia benar-benar berharap sambil berdoa supaya Khalifah Umar tidak memeriksa isi kendi itu. Namun Khalifah Umar tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh pemuda itu; lalu mengambil kendi itu untuk diperiksa.

Doa pemuda itu dikabulkan Allah. Apabila diperiksa, Baginda Umar dapati di dalamnya terdapat madu. Allah menukarkan arak menjadi madu. Dengan demikian pemuda itu terselamat dari tindakan Khalifah.Semenjak peristiwa itu, pemuda itu bertaubat dan berjanji tidak akan meminum arak lagi.

KISAH BERKAT DI SEBALIK MEMBACA BISMILLAH

Ada seorang perempuan tua yang taat beragama, tetapi suaminya seorang yang fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama dan tidak mahu berbuat kebaikan.Perempuan itu sentiasa membaca Bismillah setiap kali hendak bercakap dan setiap kali dia hendak memulakan sesuatu sentiasa didahului dengan Bismillah. Suaminya tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya.

Suaminya berkata sambil mengejak, "Asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-sekejap Bismillah."

Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah S.W.T. supaya memberikan hidayah kepada suaminya. Suatu hari suaminya berkata : "Suatu hari nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu."

Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata, "Simpan duit ini." Isterinya mengambil duit itu dan menyimpan di tempat yang selamat, di samping itu suaminya telah melihat tempat yang disimpan oleh isterinya. Kemudian dengan senyap-senyap suaminya itu mengambil duit tersebut dan mencampakkan beg duit ke dalam perigi di belakang rumahnya.

Setelah beberapa hari kemudian suaminya itu memanggil isterinya dan berkata, "Berikan padaku wang yang aku berikan kepada engkau dahulu untuk disimpan."

Kemudian isterinya pergi ke tempat dia menyimpan duit itu dan diikuti oleh suaminya dengan berhati-hati dia menghampiri tempat dia menyimpan duit itu dia membuka dengan membaca, "Bismillahirrahmanirrahiim." Ketika itu Allah S.W.T. menghantar malaikat Jibrail A.S. untuk mengembalikan beg duit dan menyerahkan duit itu kepada suaminya kembali.

Alangkah terperanjat suaminya, dia berasa bersalah dan mengaku segala perbuatannya kepada isterinya, ketika itu juga dia bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah, dan dia juga membaca Bismillah apabila dia hendak memulakan sesuatu kerja.

KELEBIHAN UMAT RASULULLAH S.A.W MENURUT PANDANGAN NABI ADAM A.S

Disebutkan bahawa Nabi Adam A.S telah berkata, "Sesungguhnya Allah S.W.T telah memberikan kepada umat Muhammad S.A.W empat kemuliaan yang tidak diberikan kepadaku:

Taubatku hanya diterima di kota Mekah, sementara taubat umat Nabi Muhammad S.A.W diterima di sebarang tempat oleh Allah S.W.T.

Pada mulanya aku berpakaian, tetapi apabila aku berbuat derhaka kepada Allah S.W.T, maka Allah S.W.T telah menjadikan aku telanjang. Umat Muhammad S.A.W membuat derhaka dengan telanjang, tetapi Allah S.W.T memberi mereka pakaian.

Ketika aku telah berderhaka kepada Allah S.W.T, maka Allah S.W.T telah memisahkan aku dengan isteriku. Tetapi umat Muhammad S.A.W berbuat derhaka, Allah S.W.T tidak memisahkan isteri mereka.

Memang benar aku telah derhaka kepada Allah S.W.T dalam syurga dan aku dikeluarkan dari syurga, tetapi umat Muhammad S.A.W durhaka kepada Allah akan dimasukkan ke dalam syurga apabila mereka bertaubat kepada Allah S.A.W.

Kewajipan Seseorang Dalam Hidupan

Terjemahan hadis:

Sabda Rasullullah s.a.w. sesungguhnya bagi Tuhan engkau ada hak (kewajipan) di atas engkau dan bagi diri engkau sendiri ada hak (kewajipan) di atas engkau dan bagi ahli engkau ada juga hak (kewajipan) di atas engkau maka hendaklah engkau tunaikan kepada tiap-tiap yang empunya hak itu akan haknya.

Huraian Hadis

Manusia adalah makhluk Tuhan yang paling tinggi sekali darjatnya, kepadanya dikurniakan akal fikiran dan usaha ikhtiar yang boleh memilih perkara-perkara yang baik dan berfaedah bagi diri dan masyarakat.

Dengan adanya kelebihan-kelebihan yang tersebut, maka dikenakan tugas-tugas (hak) dan kewajipan-kewajipan yang mesti disempurnakan dengan baik. Diantara:

Kewajipan terhadap Allah.

Mereka diwajibkan mengenal Allah dan beribadat serta berbakti kepadanya, dengan mematuhi segala hukum dan ajaran yang disampaikan oleh Rasulnya samada secara lahir dan batin.

Tugas mengenal Allah itu adalah menjadi kewajipan yang pertama kepada tiap-tiap manusia, walaupun dengan secara umum (Ajmali) saja. Disamping itu manusia diwajibkan pula beribadat sebagai menunjukkan bakti dan taat setia mereka kepada Allah, kerana Allah jua yang menjadi, yang mengatur dan mentadbirkan seluruh alam. Segala rezeki dan nikmat adalah datang dari Allah belaka. Dengan sebab itu mereka dilarang menyembah dan beribadat kepada sesuatu yang lain daripada Allah kerana yang lain itu adalah makhluk Allah dan terpaksa tunduk kepadanya. Orang-orang yang tidak mahu mengenal Allah atau bersyirik dengannya adalah dikira melakukan kesalahan besar, dan tidak diampun dosanya serta diharamkan daripada memasuki syurga.

Kewajipan terhadap diri sendiri.

Disamping menjalankan tugas terhadap Allah, maka manusia diwajibkan pula menunaikan beberapa tugas untuk dirinya sendiri, iaitu mereka wajib memelihara diri daripada perkara-perkara yang boleh membawa kepada kemudaratan dan kerosakan, seperti menjaga kebersihan dan kesihatan, memakan benda-benda yang baik, menjaga fikiran supaya jangan rosak, serta menjauhi perkara-perkara jahat seperti minum arak, berzina dan sebagainya. Seterusnya mereka wajib belajar ilmu pengetahuan yang berguna dan menghiasi diri dengan akhlak-akhlak yang mulia dan budi pekerti yang baik.

Kewajipan terhadap ahli (Keluarga)

Tabiat semulajadi manusia ialah hidup bermasyarakat, oleh itu tiap-tiap orang dikehendaki membentuk keluarganya menjadi keluarga Islam yang baik seterusnya dikehendaki mengenal dan menjaga keselamatan dan kebahagiaan ahlinya, iaitu anak-anak, isteri dan orang-orang yang di bawah jagaannya. Wajib dijaga kesihatan mereka, makan minum dan sebagainya. Demikian juga memberi asuhan-asuhan yang baik, pengajaran agama yang dapat membentuk peribadi dan tingkah laku mereka.

Semua tugas yang tersebut wajib disempurnakan oleh tiap-tiap manusia dari semua peringkat, keturunan dan bangsa.

Bila telah terlaksana tugas-tugas yang tersebut maka terjaminlah kebahagiaan hidup didunia dan akhirat.

Pengajaran Hadis:

Diantara pengajaran yang dapat difahamkan ialah:

Tiap-tiap manusia mempunyai tugas dan kewajipan masing-masing yang mesti disempurnakan dengan baik.
Tiga tugas penting yang dikenakan ke atas manusia iaitu:
Mengenal Allah dan beribadat kepadanya.
Menjaga dan memelihara kebaikan serta keselamatan diri sendiri.
Menjaga dan memelihara kebaikan ahli keluarga.
Orang yang tidak menjalankan tugasnya akan mendapat balasan azab diakhirat kelak.

Sifat Orang Islam Sejati

Terjemahan hadis:

Diceritakan daripada Abdullah bin Amru bin As daripada Nabi s.a.w. baginda bersabda seseorang Islam sejati itu ialah mereka yang menyelamatkan saudara Islamnya yang lain dari lidahnya dan tangannya, dan sebenar-benar orang yang berhijrah itu ialah mereka yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.

Huraian Hadis

Keelokan dan kesempurnaan Islam seseorang itu tidak sama diantara satu orang dengan yang lainnya, walaupun mereka itu sama-sama mengucap dua kalimah syahadah, mengerjakan sembahyang mereka berpuasa bulan Ramadhan dan lain-lain lagi. Sebaliknya ada banyak perkara-perkara lain yang mesti dilakukan supaya Islam seorang itu menjadi lebih baik dan lebih sempurna.

Dalam hadisnya di atas Rasullullah menegaskan bahawa di antara perkara yang boleh menyempurnakan lagi keislaman seseorang itu ialah dengan menjaga lidah dan tangan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan keburukan. Keburukan yang mungkin timbul daripada lidah ialah mengeluarkan kata-kata jahat seperti mengumpat, menghina ,menfitnah,mengadudomba lain-lain lagi. Manakala yang keluar dari tangan pula ialah seperti mencuri, menganiayai orang lain dan sebagainya.

Sebaliknya lidah dan tangan juga boleh menyelamatkan seorang itu daripada terjerumus kelembah kebinasaan dan kejahatan. Seperti memberi nasihat dan melarang seorang yang hendak melakukan sesuatu kejahatan dan maksiat. Bahkan dengan tangan juga boleh menahan seorang yang berkelahi dan bergadoh . Begitulah besarnya peranan lidah dan tangan untuk menyelamatkan orang lain daripada terjerumus kedalam kejahatan dan maksiat.

Lidah dan tangan adalah dua anggota penting yang mesti dikawal dan dijaga dengan baik kerana banyak kebinasaan dan jenayah berpunca daripada kedua-dua anggota tersebut. Tersalah mulut mungkin membawa maut tetapi tergelincir kaki boleh sembuh kembali. Seperti kata pepatah kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa.

Selain daripada itu Rasullullah juga menerangkan bahawa orang yang berhijrah dan meninggalkan kampung halaman mereka dengan tujuan hendak memelihara kesucian ugama dan hendak mengelakkan diri daripada ancaman orang-orang musrik serta meninggalkan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah akan mendapat pahala besar dari Allah dan itulah sebenar-benarnya orang yang berhijrah.

Oleh itu tiap-tiap orang Islam hendaklah berusaha menyempurnakan lagi Islamnya dengan menambahkan sifat-sifat terpuji dan menjauhkan diri daripada sifat-sifat keji. Lebih-lebih lagi meninggalkan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah, malah janganlah sekali-kali berpuas hati dengan hanya menunaikan sembahyang, puasa dan sebagainya sahaja.

Pengajaran Hadis:

Diantara pengajaran yang dapat difahamkan dari hadisnya di atas:

Orang Islam hendaklah menjaga lidah dan tangannya daripada melakukan perkara-perkara yang menyakiti orang lain.
Tidak sempurna Islam seorang itu selagi ia melakukan sifat-sifat buruk dan keji. Orang Islam hendaklah meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah.

Kelebihan Sembahyang Malam

"Apabila seseorang itu jaga dari tidurnya di waktu malam dan membangkitkan isterinya lalu kedua-duanya sama-sama menunaikan dua rakaat sembahyang nescaya mereka ditulis dalam golongan manusia yang banyak menyintai dan menyebuti ALLAH."-Diriwayatkan oleh Ibn Hibban dari Abi Sa'id.

Tujuannya

Malam dengan ketenangan dan kejernihan suasananya merupakan sebaik-baik waktu untuk beribadat, kerana itu para mukmin digalakkan mengambil kesempatan-kesempatan keemasan itu untuk mengukuhkan hubungan dan kecintaannya kepada ALLAH. Alangkah qudusnya iman seseorang apabila di saat manusia yang lain sedang tidur nyenyak ia bangkit mendirikan sembahyang dan membangunkan isterinya sembahyang bersama-sama untuk mempersembahkan pujian, harapan, permohonan dan permintaan ampun kepada ALLAH ketika dunia diselubungi sepi dan gelita. Alangkah indahnya pandangan dua manusia suami isteri sama berdiri lurus menghadap qiblat dan sama meletakkan dahi mereka ke lantai di tengah-tengah kekelaman malam untuk membuktikan ' ubudiah mereka yang tulus kepada ALLAH, memohon keberkatan hidup dunia dan kebahagiaan hidup di negeri Akhirat.

Di dalam al-Quran dan Hadis terdapat pelbagai sanjungan dan galakan supaya manusia mengejar fadhilat sembahyang malam, firman ALLAH Ta'ala:

" Dan di waktu malam bangkitlah sembahyang tahajjud sebagai sembahyang tambahan bagi ibadatmu semoga ALLAH membangkitkanmu di hari Akhirat dengan kedudukan dan darjat yang terpuji."- Al - Isra' (79).

Di dalam surah az-Zaariat ayat (18) ALLAH memberi sanjungan yang tinggi kepada amlan-amalan orang-orang yang bertaqwa yang mendapat balasan syurga, di antara amalan itu ialah mereka yang banyak melakukan ibadat sembahyang di waktu malam dan memohon keampunan di saat-saat dinihari.

Waktu sembahyang itu luas, ia boleh dikerjakan di awal malam, di pertengahan malam dan di akhir malam selama sembahyang itu dilakukan selepas sembahyang Isya'. Menurut al-Hafiz Rasulullah s.a.w. tidak sembahyang malam di satu waktu tertentu, malah ia sembahyang mengikut kesempatan dan keselesaan yang didapatinya tetapi waktu sembahyang yang paling afdhal ialah ditengah malam iaitu masa sepertiga malam yang akhir.

Bilangan rakaat sembahyang malam tidak juga ditentukan, ia boleh terlaksanakan dengan satu rakaat sembahyang yang didirikan selepas sembahyang Isya'. Dalam sebuah Hadis Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Hendaklah kamu dirikan sembahyang malam walaupun satu rakaat."

Tetapi yang paling afdhal ialah sebelas rakaat atau tiga belas rakaat seperti kebiasaan yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu dengan satu rakaat atau tiga rakaat witir di akhirnya.

Walaupun demikian, seseorang itu tidaklah disuruh mengerjakan sembahyang malam dengan memaksa-maksakan dirinya secara keterlaluan, kerana ibadat yang sempurna pastilah dilakukan dengan selesa dan ikhlas, apabila ia terlalu mengantuk ia boleh tidur dulu untuk beberapa waktu, kemudian barulah bangkit sembahyang. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda :

" Apabila seseorang dari kamu sembahyang malam, kemudian bacaan al-Qur'an menjadi asing bagi lidahnya kerana mengantuk hingga ia tidak tahu apa yang dibacakannya, maka hendaklah ia tidur dulu."

Dalam satu Hadis lagi Rasulullah s.a.w. bersabda :

" Buatlah amalan-amalan itu sekadar kuasamu kerana ALLAH itu tidak jemu hingga kamu jemu."

Amalan yang sedikit tetapi tekun adalah lebih baik dari amalan yang banyak tetapi jarang-jarang.

Kerana itu persoalan menentukan waktu sembahyang malam dan menentukan banyak mana rakaatnya terserahlah kepada pertimbangan sendiri berdasarkan keikhlasan dan rasa 'ubudiah' yang murni.

Di antara peraturan-peraturan yang disunatkan dalam sembahyang malam ialah :

(1) Apabila ia hendak tidur, ia disunatkan untuk bangkit sembahyang malam supaya keazamannya dapat membangkitkannya di waktu yang tepat.

(2) Sesudah mencuci muka, mengambil wudhuk dan bersugi dia disunatkan membaca doa-doa khas sembahyang malam.

(3) Ia disunatkan memulakan sembahyang malam itu dengan dua rakaat yang pendek dan ringkas, selepas itu boleh ia menyambung sembahyang itu seberapa ia suka.

(4) Menggerakkan isterinya agar ia turut serta bersembahyang malam, dan bagi isteri disunatkan menggerakkan suaminya.

Hadis bab ini telah menyebutkan bahawa orang-orang yang banyak mendirikan sembahyang malam akan ditempatkan sejajar dengan golongan" " iaitu golongan yang amat disanjungi ALLAH, iaitu golongan orang - orang yang tidak sunyi mengingati dan menyebut ALLAH sama ada dengan hati, dengan lidah atau dengan kedua-duanya sekali sama ada dalam bentuk berzikir, membaca al-Qu'ran, memikirkan masalah-masalah ilmu yang ada hubungan dengan ketuhanan atau masalah-masalah pengetahuan yang diredhai ALLAH, kerana mempelajari ilmu itu ialah mempelajari undang-undang ALLAH yang berlaku dalam alam ini.

Wallahu A'lam...


0 ulasan:

Catat Ulasan