Photobucket Ahlan :
widgeo.net

Sabtu, 16 Julai 2011

Amalan di Bulan Syaaban


PUASA-PUASA DI BULAN SYA’BAN
PUASA SEPANJANG SYA’BAN

Disunatkan berpuasa keseluruhan hari di bulan Sya’ban atau kebanyakan harinya. Ini berdasarkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; “Tidak pernah Nabi s.a.w. berpuasa (sunat) sebulan penuh dalam setahun kecuali di bulan Sya’ban di mana baginda menyambungnya dengan Ramadhan” (HR Imam Abu Daud dan an-Nasai). ‘Aisyah r.a. pula menceritakan; “Rasulullah s.a.w. kadang-kadang terus-menerus berpuasa hingga kami menganggap beliau tidak berbuka langsung, dan kadang-kadang beliau terus-menerus berbuka hingga kami menganggap beliau tidak berpuasa langsung. Namun demikian, aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat beliau paling banyak berpuasa sebagaimana beliau berpuasa di bulan Sya’ban”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Menurut ulamak; difahami dari hadis-hadis di atas bahawa Nabi s.a.w. adakalanya berpuasa sebulan penuh di bulan Sya’ban dan adakalanya baginda tidak berpuasa sebulan penuh tetapi pada kebanyakan harinya sahaja. 

Apa hikmahnya Rasulullah s.a.w banyak berpuasa di bulan Sya’ban?

Seorang sahabat bernama Usamah bin Zaid r.a. pernah bertanya Nabi s.a.w. kenapa beliau banyak berpuasa di bulan Sya’ban? Nabi s.a.w. menjawab; “Bulan Sya’ban itu adalah bulan yang selalu dilupai oleh manusia di mana kedudukannya di tengah antara Rejab dan Ramadhan. Namun ia adalah bulan diangkat amalan-amalan hamba kepada Tuhan Pencipta Alam. Maka aku menyukai amalanku diangkat ketika aku berpuasa” (Riwayat Imam an-Nasai)

PUASA SELEPAS NISFU SYA’BAN

Sabda Nabi s.a.w.;

“Apabila berbaki separuh dari bulan Sya’ban maka janganlah kamu berpuasa”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.)

Berdasarkan hadis ini dilarang berpuasa selepas nisfu Sya’ban bermula dari tanggal 16 haribulan hinggalah akhir bulan terutamanya sehari atau dua hari sebelum Ramahan (termasuklah hari Syak yang akan disebutkan nanti), sama ada puasa sunat atau puasa kerana ihtiyat (yakni dengan niat puasa Ramadhan sebagai berhati-hati) yang kebiasaannya berlaku di penghujung Sya’ban. Menurut Imam ar-Ruyani; mendahului Ramadhan dengan puasa selepas nisfu Sya’ban hukumnya adalah makruh. Adapun sehari atau dua hari sebelumnya, maka hukumnya adalah haram.

Namun menurut ulamak dikecualikan dari larangan berpuasa selepas Nisfu Sya’ban di atas orang-orang berikut;

1. Orang yang menyambung puasa yang dimulainya sebelum bulan Sya’ban masuk separuh kedua (yakni sebelum tanggal 16 haribulan) sekurang-kurangnya puasa pada hari nisfu Sya’ban. Dan disyaratkan puasanya itu berterusan hinggalah ke penghujung Sya’ban.

2. Orang yang mempunyai kebiasaan puasa tertentu seperti puasa isnin dan khamis, puasa selang sehari atau puasa ad-dahri, kemudian puasanya itu secara kebetulannya melintasi hari-hari selepas nisfu Sya’ban.

3. Orang-orang yang berpuasa dengan bersebab seperti nazar, kaffarah atau Qadha’ (termasuklah qadha’ puasa sunat).

PUASA SEHARI ATAU DUA HARI SEBELUM RAMADHAN

Dilarang berpuasa sehari atau dua hari sebelum Ramadhan berdalilkan sabda Rasulullah s.a.w. iaitu;

“Janganlah engkau mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari sebelumnya, kecuali seorang yang sudah biasa berpuasa, maka bolehlah ia berpuasa”.  (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

Sebahagian ulama’ berpendapat; pengharaman tersebut adalah dengan niat ihtiyat kepada Ramadhan. Namun bagi ulama’-ulama’ mazhab Syafi’ie; pengharaman tersebut merangkumi juga puasa sunat kecuali dalam bagi tiga orang yang disebut tadi; 
1. Orang yang menyambung puasa yang dilakukan sebelumnya
2. Orang yang puasa kerana kebetulan dengan kebiasaan berpuasanya.
3. Orang berpuasa dengan bersebab seperti puasa Qadha, Nazar dan sebagainya.

PUASA HARI SYAK

Dilarang berpuasa pada hari syak berdalilkan hadis dari ‘Ammar bin Yasir r.a. yang menceritakan;

“Sesiapa berpuasa pada hari syak, maka sesungguhnya ia mengingkari Abal-Qasim (gelaran bagi Rasulullah s.a.w.)”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)

Hari syak ialah hari ke 30 Sya’ban yang timbul syak atau keraguan di kalangan orang ramai; apakah ia masih bulan Sya’ban atau telah masuk bulan Ramadhan? Keraguan itu timbul kerana ada suara-suara yang memperkata atau menghebohkan bahawa anak bulan Ramadhan telah kelihatan, namun tidak ada saksi yang adil atau yang boleh diterima yang memberitahu atau mendakwa ia melihat anak bulan itu. Hari syak ini diharamkan berpuasa sama ada dengan niat puasa Ramadhan sebagai ihtiyaht (yakni berhati-hati) atau puasa sunat. Jika ada yang berpuasa juga pada hari syak, puasanya batal dan ia berdosa. Walau bagaimanapun, dikecualikan larangan tersebut dari tiga orang yang disebut tadi.

SAMBUTAN NISFU SYA’BAN (FATWA MUFTI MESIR)

Soalan; Apa hukum menyambut Nisfu Sya’ban dengan mengadakan majlis bacaan Yaasin, ceramah dan berpuasa besoknya? (Soalan diringkaskan dari soalan asal yang panjang)

Jawapan;

1. Malam Nisfu Sya’ban adalah malam yang diberkati. Kelebihannya disebut oleh banyak hadis yang saling menguatkan antara satu sama lain mengangkat darjahnya kepada hasan dan kuat. Oleh itu, memberi perhatian kepada malam itu dan menghidupkannya merupakan tanda kecintaan kepada agama tanpa diragui lagi. Ini setelah kita mengenepikan hadis-hadis yang dhaif atau maudhuk berkenaan kelebihan malam tersebut.

Di antara hadis-hadis yang ada bagi kelebihan malam tersebut;

A) Hadis dari Ummul Mukminin Aisyah r.a. yang menceritakan; Suatu malam aku mendapati Rasulullah tiada bersamaku, lalu aku keluar mencari beliau. Aku menemuinya di perkuburan al-Baqi’ sedang mendongak kepalanya ke langit, lalu baginda berkata kepadaku; “Wahai Aisyah, apakah kamu khuatir Allah dan RasulNya akan menganiayai kamu”. Aku menjawab; “Aku tidak rasa begitu, akan tetapi aku mengangka kamu keluar ke rumah isteri kamu yang lain”. Lalu Nabi bersabda; “Sesungguhnya pada malam Nisfu Sya’ban Allah Taala turun ke langit dunia, lalu Dia mengampunkan hambanya lebih ramai dari bilangan bulu kambing milik kabilah Kalb (*Kabilah al-Kalbi; satu kabilah di kalangan orang Arab yang paling banyak membela kambing) (HR Imam at-Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad).

B) Hadis dari Mu’az bin Jabal yang menceritakan; Nabi s.a.w. Bersabda; “Pada malam nisfu Sya’ban, Allah melihat kepada sekelian makhlukNya. Lalu Dia mengampunkan ke semua mereka kecuali orang musyrik dan orang yang bermusuh dengan saudara seagama” (HR Imam at-Thabrani dan disahihkan oleh Ibnu Hibban).

C) Hadis dari Ali bin Thalib r.a. yang menceritakan; Nabi bersabda; “Bila tiba malam Nisfu Sya’ban, bangunlah menghidupkan malamnya dan berpuasalah pada siangnya kerana sesungguhnya Allah turun pada malam itu ke langit dunia bermula dari saat terbenam matahari dan Allah berkata; Tiadakah orang yang memohon ampun untuk Aku ampuninya. Tiadakah orang yang memohon rezki untuk aku beri rezki kepadanya. Tiadakah yang ditimpa bala, untuk aku beri keselamatan untuknya. Tiadakah orang yang melakukan demikian dan demikian…hinggalah terbit fajar”. (HR Imam Ibnu Majah)

Tidak menjadi halangan untuk membaca Yasin sebanyak 3 kali selepas solat Maghrib secara beramai-ramai kerana ia masuk dalam pengertian menghidupkan malam tersebut. Dalam perkara zikir, Syariat memberi keluasan kepada umat Islam. Mengkhaskan beberapa tempat tertentu dan masa-masa tertentu untuk beramal soleh secara berterusan merupakan suatu yang masyru’ (disyariatkan) selama pelakunya tidak mengiktiqadkan ia adalah kewajipan Syariat yang berdosa siapa meninggalkannya. Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a. yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. mengunjungi masjid Quba pada setiap hari Sabtu dengan berjalan kaki dan menunggang kenderaan” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). berkata Imam Ibnu Hajar dalam kitabnya Fathul-Bari; “Hadis ini dengan pelbagai jalannya menunjukkan keharusan mengkhususkan hari-hari tertentu untuk melakukan amal-amal soleh tertentu dan berterusan melakukannya”. 

Berkata Imam Ibnu Rejab dalam kitabnya Lataif al-Maarif; Para ulamak dari kalangan penduduk Syam berbeza pandangan pada cara menghidupkan malam Nisfu Sya’ban itu dengan dua pendapat;

1. Pandangan pertama; Digalakkan menghidupkannya secara berjamaah di masjid, di mana Khalid bin Ma’dan (seorang Tabi’in), Luqman bin ‘Amir (seorang Tabi’in juga) dan beberapa ulamak lagi pada malam itu mereka akan memakai pakaian yang paling elok, berwangian dan bercelak dan menuju ke masjib untuk beribadah bagi menghidupkan malam tersebut. Imam Ishaq bin Rahawaih (dari kalangan Tabi’ Tabiin) turut menyetujui mereka dan ia berkata tentang menghidupkan malam Nisfu Sya’ban secara berjamaah di masjid; “Ia tidaklah bid’ah”.  Dinaqalkan darinya oleh Harb al-Kirmani dalam kitabnya al-Masail.

2. Pandangan kedua: Dimakruhkan berhimpun di masjid-masjid untuk mengerjakan solat, mendengar kisah-kisah dan berdoa, tetapi tidak makruh jika mengerjakan solat pada malam tersebut di masjid secara bersendirian. Pandangan ini merupakan pegangan Imam al-Auza’ie (Tabi’in).

Dari itu, menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dengan cara yang disebutkan tadi adalah disyariatkan, bukan bid’ah dan tidak dimakruhkan, dengan syarat ia dikerjakan bukan atas dasar kemestian dan kewajipan. Sekiranya ia dikerjakan dengan cara memestikan orang lain dan menganggap berdosa sesiapa yang tidak bersama mengerjakannya, pada ketika itu ia menjadi bid’ah kerana mewajibkan sesuatu yang tidak pernah diwajibkan oleh Allah dan RasulNya. Inilah yang dimaksudkan oleh sebahagian ulamak Salaf yang memakruhkan amalan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban secara berjamaah itu (yakni kerana mereka khuatir akan dianggap wajib oleh masyarakat). Maka jika tidak dianggap wajib, tidaklah dimakruhkan.

Wallahu A'lam...

0 ulasan:

Catat Ulasan