Photobucket Ahlan :
widgeo.net

Khamis, 2 Jun 2011

Solat yang KHUSYUK ?

Bagaimanakah cara yang terbaik untuk khusyuk dalam sembahyang dan apakah faedah-faedah daripadanya ?

Cara yang sebaik-baiknya untuk khusyuk dalam sembahyang ialah dengan melakukan beberapa perkara :

      1. Hendaklah orang yang sembahyang itu mengambil tahu dan

       mempelajari makna-makna bacaan dalam sembahyang. Seperti

       bacaan Al-Fatihah, tahiyyat, tasbih dalam rukuk dan sujud dan

       bacaan-bacaan yang lain supaya ia tidak teringatkan

       perkara-perkara yang lain selain daripada hatinya menumpukan

       kepada pengertian bacaan-bacaan itu. 



       2. Orang yang sembahyang itu hendaklah ia ingat, bahawa ia

       sentiasa dalam perhatian Allah. Allah sentiasa memerhati

       gerak-gerinya, bacaannya dan hatinya. Dari itu tidaklah

       seharusnya seseorang yang sembahyang itu berangan-angan

       dan berkhayal dalam sembahyang. 

       

           3. Untuk membantu supaya ia dapat khusyuk dalam sembahyang,

       eloklah seseorang itu memohon pertolongan Allah untuk

       mengkhusyukkan sembahyang dengan membaca surah An-Nas

       sebelum ia mengangkat Takbirratul-Ihram. 



Adapun faedah-faedah yang boleh didapati daripada kekhusyukkan

sembahyang iaitu, setengah daripadanya ialah ia akan dapat

ganjaran/pahala yang banyak dari Allah. Ini kerana sedikit atau

banyak pahala yang didapati oleh seseorang itu terhenti pada nilai

khusyuk sembahyang. Selain itu, sembahyang yang benar-benar

berfungsi untuk mencegah perkara maksiat dan mungkar ialah

sembahyang yang khusyuk didirikan Allah semata-mata. Seperti

Firman Allah yang bermaksud : 



"Bahawasanya sembahyang itu dapat mencegah perkara jahat dan mungkar."




















Khamis, 19 Mei 2011

7 Keajaiban Dalam Islam

Menara Pisa, Tembok Cina, Candi Borobudur, Taj Mahal, Ka’bah, Menara Eiffel, dan Piramid di mesir, inilah semua keajaiban dunia yang kita kenal. Namun sebenarnya semua itu belum terlalu ajaib, kerana di sana masih ada tujuh keajaiban dunia yang lebih ajaib lagi. Mungkin para pembaca bertanya-tanya, keajaiban apakah itu?


Memang tujuh keajaiban lain yang kami akan sajikan di hadapan pembaca sekalian belum pernah ditayangkan di TV, tidak pernah disiarkan di radio-radio dan belum pernah dimuat di media cetak. Tujuh keajaiban dunia itu adalah:


1 Haiwan Berbicara di Akhir Zaman


Maha suci Allah yang telah membuat segala sesuatunya berbicara sesuai dengan yang Ia kehendaki. Termasuk dari tanda-tanda kekuasaanya adalah ketika terjadi hari kiamat akan muncul haiwan melata yang akan berbicara kepada manusia sebagaimana yang tercantum dalam Al-Quran, surah An-Naml ayat 82,


“Dan apabila perkataan Telah jatuh atas mereka, kami keluarkan sejenis binatang melata dari bumi yang akan mengatakan kepada mereka, bahawa Sesungguhnya manusia dahulu tidak yakin kepada ayat-ayat Kami”.


Mufassir Negeri Syam, Abul Fida’ Ibnu Katsir Ad-Dimasyqi berkomentar tentang ayat di atas, “Haiwan ini akan keluar diakhir zaman ketika rosaknya manusia, dan mulai meninggalkan perintah-perintah Allah, dan ketika mereka telah mengganti agama Allah. Maka Allah mengeluarkan ke hadapan mereka haiwan bumi. Khabarnya, dari Makkah, atau yang lainnya sebagaimana akan datang perinciannya. Haiwan ini akan berbicara dengan manusia tentang hal itu”.[Lihat Tafsir Ibnu Katsir (3/498)]


Haiwan aneh yang berbicara ini akan keluar di akhir zaman sebagai tanda akan datangnya kiamat dalam waktu yang dekat. Nabi -SAW bersabda,


“Sesungguhnya tak akan tegak hari kiamat, sehingga kalian akan melihat sebelumnya 10 tanda-tanda kiamat: Gempa di Timur, gempa di barat, gempa di Jazirah Arab, Asap, Dajjal, haiwan bumi, Ya’juj & Ma’juj, terbitnya matahari dari arah barat, dan api yang keluar dari jurang Aden, akan menggiring manusia”. [HR. Muslim dalam Sohih-nya (2901), Abu Dawud dalam Sunan-nya (4311), At-Tirmidzi dalam Sunan-nya (2183), dan Ibnu Majah dalam Sunan-nya (4041)]


2 Pohon Kurma yang Menangis


Adanya pohon kurma yang menangis ini terjadi di zaman Rasulullah SAW , mengapa sampai pohon ini menangis? Kisahnya, Jabir bin Abdillah-radhiyallahu ‘anhu- bertutur,


“Jabir bin Abdillah -radhiyallahu ‘anhu- berkata: “Adalah dahulu Rasulullah SAW berdiri (berkhutbah) di atas sebatang kurma, maka tatkala diletakkan mimbar baginya, kami mendengar sebuah suara seperti suara unta dari pohon kurma tersebut hingga Rasulullah SAW turun kemudian beliau meletakkan tangannya di atas batang pohon kurma tersebut” .[HR.Al-Bukhari dalam sohih-nya (876)]


3 Untaian Salam Batu Aneh


Mungkin kalau seekor burung yang pandai mengucapkan salam adalah perkara yang sering kita jumpai. Tapi bagaimana jika sebuah batu yang mengucapkan salam? Sebagai seorang hamba Allah yang mengimani Rasul-Nya, tentunya dia akan membenarkan seluruh apa yang disampaikan oleh Rasul-Nya, seperti pemberitahuan beliau kepada para sahabatnya bahawa ada sebuah batu di Mekah yang pernah mengucapkan salam kepada beliau sebagaimana dalam sabdanya,


Dari Jabir bin Samurah dia berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya aku mengetahui sebuah batu di Mekah yang mengucapkan salam kepadaku sebelum aku diutus, sesungguhnya aku mengetahuinya sekarang”.[HR.Muslim dalam Sohih-nya (1782)].


4 Pengaduan Seekor Unta


Manusia adalah makhluk yang memiliki perasaan. Dari perasaan itu timbullah rasa cinta dan kasih sayang di antara mereka. Akan tetapi ketahuilah, bukan hanya manusia saja yang memiliki perasaan, bahkan haiwan pun memilikinya. Oleh kerana itu sangat disesalkan jika ada manusia yang tidak memiliki perasaan yang membuat dirinya lebih rendah daripada haiwan. Pernah ada seekor unta yang mengadu kepada Rasulullah SAW mengungkapkan perasaannya.


5 Kesaksian Kambing Panggang


Kalau binatang yang masih hidup boleh berbicara adalah perkara yang ajaib, maka tentunya lebih ajaib lagi kalau ada seekor kambing panggang yang berbicara. Ini memang aneh, akan tetapi nyata. Kisah kambing panggang yang berbicara ini terdapat dalam hadis berikut:


Abu Hurairah-radhiyallahu ‘anhu- berkata, “Rasulullah SAW menerima hadiah, dan tidak mahu makan sedeqah. Maka ada seorang wanita Yahudi di Khaibar yang menghadiahkan kepada beliau kambing panggang yang telah dicampur racun. Lalu Rasulullah SAW pun memakan sebahagian kambing itu, dan kaum (sahabat) juga makan. Maka Nabi SAW bersabda, “Angkatlah tangan kalian, kerana kambing panggang ini mengkhabarkan kepadaku bahawa ia beracun”. Lalu meninggallah Bisyr bin Al-Baro’ bin MA’rur Al-Ansoriy. Maka Nabi SAW mengirim (utusan membawa surat), “Apa yang mendorongmu untuk melakukan hal itu?” Wanita itu menjawab, “Jika engkau adalah seorang nabi, maka apa yang aku telah lakukan tak akan membahayakan dirimu. Jika engkau adalah seorang raja, maka aku telah melepaskan manusia darimu”. Kemudian Rasulullah SAW memerintahkan untuk membunuh wanita itu, maka ia pun dibunuh. Nabi SAW bersabda ketika beliau sakit yang menyebabkan kematian beliau,”Senantiasa aku merasakan sakit akibat makanan yang telah aku makan ketika di Khaibar. Inilah saatnya urat nadi leherku terputus”. [HR. Abu Dawud dalam Sunan-nya (4512). Di-sohih-kan Al-Albaniy dalam sohih Sunan Abi Dawud (hal.813), dengan tahqiq Masyhur Hasan Salman]


6. Batu yang Berbicara


Setelah kita mengetahu adanya batu yang mengucapkan salam, maka keajaiban selanjutnya adalah adanya batu yang berbicara di akhir zaman. Jika kita fikirkan, maka terasa aneh, tapi demikianlah seorang muslim harus mengimani seluruh berita yang disampaikan oleh Rasulullah SAW, baik yang masuk akal, atau tidak. Kerana Nabi SAW tidaklah pernah berbicara mengikut hawa nafsunya, bahkan beliau berbicara sesuai tuntunan wahyu dari Allah Yang Mengetahui segala perkara ghaib.


Rasulullah SAW bersabda, “Kalian akan memerangi orang-orang Yahudi sehingga seorang diantara mereka bersembunyi di balik batu. Maka batu itu berkata, “Wahai hamba Allah, Inilah si Yahudi di belakangku, maka bunuhlah ia”. [HR. Al-Bukhori dalam sohih-nya (2767), dan Muslim dalam sohih-nya (2922)]


Al-Hafizh Ibnu Hajar-rahimahullah- berkata, “Dalam hadis ini terdapat tanda-tanda dekatnya hari kiamat, berupa berbicaranya benda-benda mati, pohon, dan batu. Lahiriahnya hadis ini (menunjukkan) bahawa benda-benda itu berbicara secara hakikat”.[Lihat Fathul Bari (6/610)]


7 Semut Memberi Arahan


Mungkin kita pernah mendengar cerita rekaan tentang haiwan-haiwan yang berbicara dengan haiwan yang lain. Tapi ketahuilah wahai para pembaca, sesungguhnya adanya haiwan yang berbicara kepada haiwan yang lain, bahkan memberi arahan, layaknya seorang komandan pasukan yang memberikan perintah. Haiwan yang memberi arahan tersebut adalah semut. Kisah ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Quran,


“Dan Sulaiman Telah mewarisi Daud, dan dia berkata: “Hai manusia, kami Telah diberi pengertian tentang suara burung dan kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya (semua) Ini benar-benar suatu kurnia yang nyata”.Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tentaranya dari jin, manusia dan burung lalu mereka itu diatur dengan tertib (dalam barisan). Hingga apabila mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut: Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyadari. Maka dia (Sulaiman) tersenyum dengan tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu. dan dia berdoa: “Ya Tuhanku berilah Aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat mu yang Telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapakku dan untuk mengerjakan amal saleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah Aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh”. (QS.An-Naml: 16-19).


Inilah beberapa perkara yang lebih layak dijadikan “Tujuh Keajaiban Dunia” yang menghebohkan, dan mencengangkan seluruh manusia. Orang-orang beriman telah lama meyakini dan mengimani perkara-perkara ini sejak zaman Nabi SAW sampai sekarang. Namun memang kebanyakan manusia tidak mengetahui perkara-perkara itu. Oleh kerana itu, kami mengangkat hal itu untuk mengingatkan kembali, dan menanamkan aqidah yang kukuh di hati kaum para muslimin


Wallahu A'lam...

Isnin, 16 Mei 2011

Pergaulan bebas hampiri zina

DUNIA semakin canggih dengan pelbagai inovasi yang dihasil kan bagi kepentingan manusia. Namun, dalam kecanggihan kehidupan hari ini, kita tidak terlepas daripada masalah akhlak dan hilangnya nilai murni.


Ramai manusia hilang arah dalam membezakan antara perkara yang baik dan jelek serta perkara yang membawa faedah atau padah.


Disebabkan manusia berlumba mengejar kehidupan dunia yang jauh dari landasan ditetapkan Allah.


Kes pembuangan bayi tidak berdosa dilihat semakin meruncing. Namun, segelintir anggota masyarakat belum sedar padah yang bakal diterima jika masalah berkenaan terus berlaku dalam masyarakat.


Ia menunjukkan masyarakat hari ini lebih teruk daripada masyarakat zaman jahiliah. Pada zaman jahiliah mereka hanya membunuh anak perempuan kerana malu dan menganggap golongan itu lemah serta tidak setanding dengan anak lelaki yang boleh diajar untuk berperang.


Perkara berkenaan dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi daripada orang ramai kerana (berasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (dia beroleh anak perempuan sambil dia berfikir), adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina atau dia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.” (Surah an-Nahl, ayat 58-59)


Namun, hari ini, tidak kira anak lelaki atau perempuan, yang lahir kerana dosa ibu bapanya, maka mereka dibunuh dengan kejam serta dinafikan hak menikmati kehidupan.


Antara sebab utama berlakunya masalah itu ialah masyarakat sendiri tidak mengambil berat hubungan bebas antara lelaki dan perempuan bukan mahram.


Persepsi masyarakat hari ini menganggap hubungan bebas itu adalah cara hidup baru moden. Saban hari kita melihat gerak-geri anak muda di tengah-tengah kepesatan bandar, melakukan perkara dilarang Islam.


Berpegangan tangan, berpelukan, malah ada anak muda ini yang tidak segan
silu bercumbuan di depan khalayak ramai.


Semua itu adalah bibit permulaan dosa zina.


Sesungguhnya Allah mengingatkan kita sentiasa menjauhi perkara yang boleh membawa kepada zina. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, kerana sesungguhnya zina itu adalah faahishah (perbuatan yang keji) dan seburuk-buruk jalan (yang ditempuh oleh seseorang)” (Surah al-Isra’: ayat 32)


Fenomena terbabit sedikit sebanyak boleh diselesaikan jika setiap anggota masyarakat menjalankan tugas masing-masing dalam membanteras gejala keruntuhan moral itu.


Pihak berkuasa pula seharusnya perlu sentiasa mengingatkan golongan muda agar sentiasa menjaga tingkah laku mereka khususnya di khalayak umum.


Sikap ‘tidak mengapa’, ‘bukan keluarga kita’, ‘itu hal dia’ perlu dibuang kerana setiap individu Muslim bertanggungjawab mengajak melakukan amal makruf dan mencegah yang mungkar.


Peranan berkenaan menjadi lebih efektif jika ia mendapat sambutan pihak media. Media cetak atau elektronik seharusnya berganding bahu menyelesaikan masalah itu.


Ibu bapa berperanan besar memberi perhatian kepada anak di bawah jagaan mereka. Mereka perlu lebih bijak daripada anak-anak di mana mereka perlu kenal siapa yang berkawan dengan anaknya.


Sejak awal lagi Islam memberi garis panduan kepada ibu bapa iaitu melakukan pemisahan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan.


Didikan awal berkenaan memberi panduan bahawa lelaki tidak boleh bercampur dengan perempuan sebebas-bebasnya, walaupun dalam kalangan adik-beradik.


Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Perintahlah anak-anak kamu bersolat pada usia tujuh tahun. Pukullah mereka jika mereka meninggalkan solat pada usia 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka”. (Hadis riwayat Ahmad)


Contoh lain, Islam memberi penerangan yang jelas bahawa lelaki dan perempuan itu tidak boleh bercampur secara bebas ialah ketika keadaan saf wanita yang hampir dengan saf lelaki ketika solat berjemaah.


Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik saf lelaki adalah yang paling hadapan dan yang paling buruk adalah yang paling belakang. Dan sebaik-baik saf bagi wanita adalah yang paling belakang, yang terburuk bagi mereka adalah yang paling depan.” (Hadis riwayat Muslim)


Begitulah indahnya Islam yang tetap menitik-beratkan hubungan antara lelaki dan perempuan, meskipun dalam suasana yang baik (dalam masjid).


Bukan setakat menjaga hubungan antara lelaki dan perempuan saja, malah Islam turut menekankan perlunya menjaga batasan hubungan antara kaum sejenis.


Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak boleh seorang lelaki memandang aurat lelaki lain dan tidak boleh seorang wanita memandang aurat wanita yang lain, dan tidak boleh seorang lelaki bersama dengan lelaki lain dalam satu kain (selimut) dan tidak boleh seorang perempuan bersama dengan wanita lain dalam satu kain (selimut).” (hadis Riwayat Muslim)


Sesungguhnya, dosa zina itu adalah besar. Sarjana Islam sepakat bahawa dosa zina adalah antara dosa-dosa besar (al-kaba’ir). Ibnu ‘Abbas pernah berkata bahawa: “Dicabut cahaya (nur) keimanan di dalam zina.” (Riwayat Bukhari dalam kitab Fath al-Bari)


Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ada tiga golongan (manusia) yang Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada hari Kiamat dan tidak mensucikan mereka dan tidak melihat kepada mereka, dan bagi mereka seksa yang sangat pedih, iaitu; orang tua yang berzina, raja yang pendusta (pembohong) dan orang miskin yang sombong.” (Hadis riwayat Muslim)


Bagi menjaga kelangsungan identiti umat Islam pada masa akan datang, pencegahan peringkat awal dengan cara yang ditetapkan Islam, adalah lebih baik daripada pemulihan pada peringkat yang tidak dapat dibendung lagi.


Walau bagaimanapun, anak yang lahir daripada dosa zina adalah tidak berdosa sama sekali. Sesungguhnya, setiap anak Adam itu tidak sesekali mewarisi dosa kedua orang tuanya.


Mencegah kemungkaran secara bijaksana


Islam gariskan kaedah terbaik bagi ummah tangani masalah sosial dalam masyarakat


MARILAH bersama mempertingkatkan ketakwaan ke hadrat Allah dengan menunaikan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang mendapat keredaan Allah di dunia mahupun akhirat yang kekal abadi.


Renungkanlah, pelbagai kemungkaran berlaku dalam masyarakat seperti perbuatan zina, berkhalwat, sumbang mahram, jenayah rogol dan sebagainya, membabitkan orang Islam, seolah-olah mereka tidak mengenal batas pahala dan dosa, halal atau haram.


Kemungkaran ini akan terus menular selagi ia tidak dicegah dan dirawat. Persoalannya, siapakah yang patut mencegah kemungkaran dan bagaimana pula cara untuk mencegahnya?


Untuk mencubanya, marilah kita fahami dan hayati firman Allah yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara baik dan melarang daripada segala perkara salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar beriman).” (Surah Ali-Imran, ayat 110)


Allah menjelaskan, tugas mengajak yang makruf dan mencegah kemungkaran adalah tugas kita bersama bermula daripada diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara hinggalah ke alam sejagat.


Seorang suami bertanggungjawab mencegah kemungkaran yang dilakukan isteri dan anaknya. Begitu juga guru terhadap muridnya dan pemimpin terhadap rakyatnya.


Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka.” (Surah At-Tahrim, ayat 6)


Sabda Rasulullah SAW daripada Abdullah Bin Umar: “Kamu semua adalah pemimpin dan kamu akan dipersoalkan di atas setiap apa yang kamu pimpin. Seorang imam (pemimpin negara) adalah pemimpin dan akan ditanya (dipersoalkan) apa yang sudah dipimpinnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Islam menggariskan beberapa kaedah untuk mencegah kemungkaran supaya dapat dilakukan secara berhikmah dan bijaksana.


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah dengan tangan (kekuasaan), jikalau tidak berkuasa hendaklah dicegah dengan lisan, jikalau tidak berkuasa juga hendaklah dicegah dengan hatinya (membenci kemungkaran itu), dan ini adalah selemah-lemah iman.”


Berdasarkan kepada ketiga-tiga kaedah berkenaan, adakah kita sudah melaksanakan perintah itu? Justeru, kita patut berusaha ke arah membanteras perbuatan mungkar, di samping menilai kembali berapa banyak kita mengabaikan tugas nahi mungkar.


Ingatlah, jika kita langsung tidak ambil peduli dan membiarkan maksiat terus bermaharajalela, maka bersedialah untuk mendapat bala bencana. Kita perlu ingat dan sedar, apabila bala bencana menimpa, ia tidak mengenal siapa mangsanya.


Apakah kita sanggup menghadapi bala menimpa negara kita? Tepuk dada tanya iman. Sejarah lampau memperlihatkan kepada kita bagaimana akhirnya golongan manusia yang mengabaikan perintah menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran.


Ibnu Abbas bertanya kepada Rasulullah SAW yang bermaksud: “Adakah binasa sesebuah kampung itu walaupun dalamnya ada orang salih? Rasulullah SAW mengatakan, disebabkan mereka memandang mudah dan berdiam diri tanpa melarang perbuatan menderhaka Allah, maka Allah perintahkan malaikat supaya menterbalikkan kota itu ke atas penduduknya.”


Apabila kita diberi tanggungjawab atau mengambil inisiatif untuk mencegah kemungkaran, maka perkara berikut perlu diberikan perhatian antaranya niat atau tujuan adalah kerana Allah bukan untuk mencari kesalahan dan mengaibkan orang lain.


Perkara mungkar itu adalah perkara yang sudah disepakati ulama dalam menentukan kemungkarannya.


Tanggungjawab mencegah kemungkaran perlu dibuat sesiapa saja yang berdepan perbuatan mungkar dan perlu mencegahnya dengan kaedah dinyatakan tadi. Ingin saya tegaskan, kita semua perlu mengambil tanggungjawab membanteras kemungkaran.


Anggaplah ia sebagai tugas utama dan ancaman kepada agama serta negara supaya dapat mengundang rahmat dan keampunan Allah.


Akhir kalam, marilah bersama renungkan firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan, dan mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah At-Taubah, ayat 71)


Wallahu A'lam...

Sabtu, 30 April 2011

Ciri-ciri bidadari syurga dalam al-Quran

Sifat-sifat bidadari syurga (Hurun Ain) dalam al-Quranul Karim adalah seperti berikut:


Pertama: Qasrut Torfi.
Ada tiga ayat yang mana tuhan menjelaskan kepada kita bahawa bidadari syurga bersifat begini. Di antaranya:


“Di sisi mereka ada bidadari-bidadari yang tidak liar pandangannya dan jelita matanya.” 48 : as-Saffat


Imam Tobari berkata:
Ayat ini menjelaskan bagaimana sifat yang agung bidadari syurga iaitu hanya memandang kepada pasangan mereka tidak seperti wanita dunia yang memandang ke sana sini.


Imam Fakhurrazi berkata:ini menunjukkan bahawa betapa malunya bidadari syurga kerana “at-Torfu” adalah gerakan kelopak mata (eyelid). Bidadari tidak menggerakkan kelopaknya dan tidak mengangkat kepalanya untuk lelaki bukan suaminya.”


Wanita muslimah sepatutnya mencontohi wanita syurga yang mana segala kemesraan, pandangan manja, layanan dan sebagainya hanya untuk suami.


Kedua: “ Atrab” Umur yang sama di antara mereka.


Firman Allah swt:
“Dan pada sisi mereka (ada bidadari-bidadari) yang tidak liar pandangannya dan sebaya umurnya.” 52 : surah Sod
Atrab adalah plural bagi turb iaitu sebaya atau sama umur. Mereka berumur 33 tahun seperti disebut dalam hadis riwayat imam Ahmad dengan sanad yang baik.


Ketiga: Baik akhlak dan cantik paras rupa.


Firman Allah swt:


"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik-baik lagi cantik-cantik." 70: surah ar-rahman
Ulama berkata bidadari memiliki akhlak yang baik dan rupa paras yang cantik.


Keempat:"kawa'ib" Buah dada yang tegang (tense).


Firman Allah swt:
"Dan ahli syurga mendapat gadis-gadis yang memiliki buah dada yang tegang dan sebaya umur mereka.” 33 (an-Naba')


Kelima: Anak dara.


Firman Allah swt:


“Dan kami jadikan mereka (bidadari-bidadari) yang perawan.” 36 : Surah al-Waqiah


Berkata pengarang tafsir Maalimut Tanzil:“Setiap kali mereka dijimak oleh suami-suami bidadari, mereka akan dapati bidadari tersebut ada dara .”


Keenam: Bagus layanan dan kasih sayangnya kepada pasangannya.


Firman Allah swt:


“Bidadari-bidadari yang bagus layanan dan kasih sayangnya serta sebaya umur mereka.” 37 : Al-Waqiah


Mujahid, Hasan dan Qatadah (Ulama tafsir) berkata:
Urub adalah wanita-wanita pecinta yang asyik kepada suami-suami mereka dan menyintai mereka sepenuh hati, melayani suami mereka dengan manja, baik serta pertuturan.


Ketujuh: Tubuh mereka bersih


Firman Allah swt:


"...Mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya ." 25 : al-Baqarah


Imam at-Tabari berkata:“ Kesucian bidadari adalah kesucian yang mutlak yang mana termasuklah suci dari semua perkara yang tidak disukai yang ada pada wanita dunia seperti haid,nifas, kencing, berak, ludah,kahak, mazi, mani dan perkara yang seumpama dengannya yang dianggap kotor, jijik, najis.”


Nabi saw bersabda:“ Peluh-peluh ahli syurga adalah haruman kasturi.” Hadis sahih Bukhari dan Muslim


Kesimpulan:


Para lelaki hendaklah beramal sebaiknya untuk mendapatkan bidadari syurga dan wanita pula beramal sebaiknya untuk menjadi ketua bidadari kepada pasangannya.


MUNAJAT


Ya Allah sesungguhnya daku tidak layak untuk mendapat bidadari syurgamu lantaran dosa2 kuTetapi kemaafan mu lebih luas dari dosa2 ku, ampunkanlah dosa2 ku , berilah ku hidayah menuju Redamu,Andai ku tersasar sedarkanlah daku, janganlah kau uji diriku apa yang aku tidak mampu Hadapinya,anugerahkanlah ku seorang wanita yang akan menjadi isteriku di dunia dan bidadariku di syurga.Aku bersyukur kerna kau memberi ruang dan masa untuk mengecap kemanisan inabah(kembali) pd mu.


Rujukan: Sifatul Jannah Fil Quranul Karim oleh Abdul Halim Muhammad


Wallahu A"lam..

Rabu, 20 April 2011

Kualiti Kerja - Rezeki yang Halal

Rezeki curi tulang tidak berkat


Soalan????


Masa kerja ialah dari 9 pagi hingga 5 petang dengan 1 jam masa rehat di waktu tengahari dari Isnin hingga Jumaat, dan 9 pagi hingga 1 petang pada hari Sabtu.


1) Ada pekerja yang datang lewat contohnya pukul 10.30 pagi.


2) Ada juga yang baru nak bersarapan nasi lemak pukul 9 pagi sedangkan waktu kerja telah bermula.


3) Ada yang ambil masa rehat atau makan tengah hari lebih daripada sejam tanpa sebab.


4) Ada yang tidur semasa rehat bermula pukul 12.45 tengah hari hingga 1.45 petang dan hanya akan mula makan tengah hari pukul 2 petang sedangkan waktu itu sepatutnya sudah mula bekerja.


5) Ada yang suka menghabiskan masa berbual semasa kerja sehingga banyak kesilapan dibuat dalam kerja. Jadi orang lain pula seperti saya kena tolong betulkan dan semak kerja mereka.


6) Ada juga yang balik seawal pukul 3 petang tanpa sebab yang munasabah.


Apakah hukum Islam dalam segi pendapatan yang diperolehi oleh enam kategori pekerja di atas walaupun tuan punya syarikat bukan beragama Islam.


Jawapan:


Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah suka seseorang daripada kamu apabila melakukan sesuatu kerja, maka dia melakukannya dengan penuh ketelitian dan dengan sebaik-baiknya”. (riwayat Al-Baihaqi).


Sebenarnya adalah suatu yang kebiasaan berlaku dalam syarikat-syarikat milik penuh orang Islam atau bumiputera.


Sikap acuh tak acuh dan sikap sambil lewa serta dan berasa berada dalam zon selesa adalah punca kegagalan dan kemunduran sesebuah syarikat.


Dalam hal ini, Islam telah memberi keizinan kepada ketua untuk menentukan hala tuju sesebuah syarikat dengan membetulkan yang salah dan silap. Budaya kerja adalah suatu falsafah dengan didasari pandangan hidup sebagai nilai-nilai yang menjadi sifat, kebiasaan dan juga pendorong yang dibudayakan dalam suatu kelompok dan tercermin dalam sikap menjadi perilaku, cita-cita, pendapat, pandangan serta tindakan yang wujud sebagai panduan kejayaan.


Manfaat daripada penerapan budaya kerja yang baik:


1. Meningkatkan jiwa gotong-royong.
2. Meningkatkan kebersamaan.
3. Saling terbuka antara satu sama lain.
4. Meningkatkan jiwa kekeluargaan.
5. Meningkatkan rasa kekeluargaan.
6. Membangun komunikasi yang lebih baik.
7. Meningkatkan produktiviti kerja.
8. Memahami perkembangan dunia luar dan lain-lain.


Islam turut menyarankan pekerja menghayati tuntutan akhlak dalam pekerjaan. Akhlak menuntut pekerja beramanah dan berintegriti dalam menyusun serta melaksana urusan pekerjaan. Menghayati akhlak luhur membolehkan pekerja Muslim berprestasi dengan baik.


Kakitangan sesebuah syarikat yang tidak mematuhi waktu bekerja yang ditetapkan oleh syarikat adalah hilang kelayakkan bekerja.


Golongan begini kalau diberhentikan pun tidak menjadi satu kesalahan. Setiap orang yang diberi peluang bekerja harus bersyukur kepada Allah SWT atas peluang yang diberikan. Bersyukur dengan menunaikan tanggungjawab yang telah diberikan serta menggalas tugasan dengan Sebaik mungkin.


Rezeki yang halal bukan sekadar menjawat jawatan yang halal malahan bergantung sejauhmana kejujuran seseorang dalam menunaikan kerja.


Sekiranya seseorang itu datang kerja pukul 10.30 pagi sedangkan waktu kerja bermula pukul 9 pagi, jelas sikap tidak bertanggungjawab dan tidak amanah. Sedangkan dia dibayar gaji bermula pukul 9 pagi.


Kemudian berehat sampai satu ke dua jam. Sikap sebegini sangat dicela oleh Islam. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan katakanlah wahai Muhammad kepada mereka: hendaklah kamu bekerja nescaya Allah menyaksikan kerja kamu dan rasul-Nya serta orang yang beriman, kemudian kamu Akan dikembalikan kepada Allah tuhan yang maha mengetahui segala yang ghaib dan dialah juga yang mengetahui apa-apa yang kamu lakukan secara terang-terangan untuk dipersaksikan apa-apa yang telah kamu kerjakan.


Ayat ini sepatutnya menjadi dasar dalam kita mencari rezeki supaya wujud rasa sedar dan takut dalam mencari rezeki. Sifat khuatir perlu ada untuk mengimbangi rezeki yang diperolehi supaya ia benar-benar halal.


Maksudnya, kerja halal tapi rezeki tidak halal kerana tidak menunaikan tanggungjawab kerja dengan sewajarnya.


Pendapatan daripada curi tulang tidak diberkati Allah SWT. Rezeki yang dibawa balik juga akan memberi kesan yang negatif kepada anak-anak dan isteri.


Jadi tindakan saudara ke atas kakitangan yang tidak mematuhi pekeliling syarikat adalah sangat wajar. Prosesnya perlu berhikmah.


Pertamanya dengan menasihati pekerja yang bermasalah, keduanya, memberi surat amaran, kalau masih tidak berubah berhentikan sebagai misi menyelamatkan syarikat.


Ini adalah proses biasa dal am sesebuah syarikat, lebih-lebih lagi syarikat yang bermasalah dalam kewangan.


Kalau bahasa kasarnya “gaji nak, kerja tak nak”. Dan tak kisah syarikat nak jadi apa jadilah itu bukan urusan dia. Perumpamaan sebuah syarikat dan pekerjanya adalah umpama sebuah bahtera yang sedang berlayar di lautan.


Jika ada anak kapal yang sedang menebuk lantai bahtera pasti akan bocor dan karam. Majikan yang sedar ada anak kapal yang sedang menebuk lantai bahtera maka segeralah menegahnya kalau berdegil ‘pulangkan’ dia ke pelabuhan.


Wallahu A'lam...