Photobucket Ahlan :
widgeo.net

Sabtu, 16 April 2011

Menghidupkan al-Quran dalam kehidupan

UMAT Islam perlu mendekati al-Quran bagi mempertajamkan minda dan memperkuatkan peribadi iaitu dengan cara memperbanyakkan membacanya, mendengarnya, memahami isi kandungannya serta menjadikannya sebagai sumber hukum.


Al-Quran adalah sumber rujukan terbaik dalam kehidupan. Dalam kekalutan manusia hidup tanpa panduan, al-Quran datang dan mengajar manusia bagaimana hendak mengurus kehidupan.


Segala-galanya terdapat di dalam al-Quran. Ada secara terperinci dan ada secara umum, yang diperjelaskan hadis. Al-Quran kitab suci yang tetap akan terpelihara daripada sebarang gangguan dan campur tangan manusia.


Ini ditegaskan Allah dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang akan menjaganya.” (Surah al-Hijr ayat 9).


Kandungan al-Quran yang sama seperti dulu sepatutnya dihayati generasi kini agar jenis manusia serupa dilahirkan, iaitu manusia generasi al-Quran.


Inilah kejayaan utama Rasulullah iaitu menterjemahkan al-Quran daripada ayat yang dibaca kepada perbuatan dan tingkah laku. Lahirlah generasi al-Quran yang bergerak dan berada di mana-mana.


Allah menurunkan Al-Quran kepada Nabi Muhammad dan memeliharanya dengan baik. Sejak diturunkan tidak ada satu perkataan atau ayat yang berubah dan ia kekal terpelihara sehingga ke hari kiamat.


Setiap ayat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad akan disampaikan kepada sahabatnya. Ramai di kalangan sahabat yang terus menghafalnya. Selain itu, baginda menyuruh menulis setiap ayat di atas pelepah kurma, batu atau tulang. Pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman barulah al-Quran dikumpul dan ditulis semula dalam bentuk buku yang dinamakan mushaf yang kita pusakai sehingga ke hari ini.


Oleh itu al-Quran selayaknya mendapat layanan istimewa iaitu berupa penghayatan berkenaan melakukan suruhannya serta menjauhi larangannya.


Membaca al-Quran bukan hanya untuk panduan hukum agama saja, malah menjadikannya sebagai buku panduan hidup. Seperkara yang perlu diketahui ialah penemuan baru yang selari dengan penyataan al-Quran malah ia telah lama dinyatakan di dalam al-Quran.


Kalau kita boleh berbangga dengan penemuan sains semestinya kita perlu lebih takjub dengan kecanggihan al-Quran yang mendahului zaman.


Al-Quran menyatakan pengembangan alam yang berkaitan dengan bidang sains. Firman Allah yang bermaksud: “Dan langit kami bangunkan dengan kekuasaan kami sesungguhnya kami benar-benar meluaskannya.”


Ayat berkenaan menceritakan mengenai pengembangan alam, di mana Allah sebut ribuan tahun dahulu.


Teori Big Bang contohnya sudah lama disentuh di dalam al-Quran. Allah berfirman yang bermaksud: “Apakah orang kafir tidak melihat bahawa sesungguhnya langit dan bumi pada asalnya bercantum satu kemudian Kami pisahkan (letupkan) antara kedua-duanya”. (Surah al-Anbiya’ ayat 30).


Cuba bayangkan hakikat yang ditemui pada abad 20 ini sudah dijelaskan oleh al-Quran sejak 1400 tahun dulu. Segala penemuan ini selari dengan penyataan ayat al-Quran.


Tidak hairanlah sekiranya orang Islam mendahului bangsa lain dari sudut ketamadunan. Ini kerana al-Quran berada di hati mereka untuk memakmurkan alam ini.


Hasil kehebatan al-Quran itulah terbentuknya tamadun di Sepanyol, Turki, Iraq, India, Afrika manakala Barat mempelajari daripada Islam seterusnya mengembangkannya mengikut acuan mereka.


Al-Quran penuh perumpamaan sebagai pengajaran


AL-Quran bukan sekadar untuk dibaca, tetapi isinya perlu difahami, dihayati dan diamalkan. Kitab suci umat Islam yang sarat dengan khazanah kekayaan ilmu Allah ini, seharusnya sentiasa dikaji agar manfaatnya dapat menerangi jalan menuju reda Ilahi.


Kitab suci ini penuh dengan hukum-hakam dan sejarah. Selain itu, ia turut memuatkan sesuatu yang amat menarik untuk diperkatakan iaitu ‘perumpamaan’.


Jika diteliti dalam beberapa ayat al-Quran, Allah menerangkan bahawa penurunan ayat al-Quran yang mengandungi perumpamaan ini mengajak manusia sentiasa berfikir.


Inilah kelebihan dan keistimewaan manusia yang dikurniakan akal fikiran yang waras. Akal dapat membezakan antara manusia dengan haiwan serta makhluk Allah yang lain. Akal yang dipandu oleh wahyu Ilahi saja yang mampu membentuk keperibadian insan yang sentiasa taat pada perintah Penciptanya.


Allah berfirman yang bermaksud: “Dan ingatlah, perumpamaan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya” (Surah al-Hasyr ayat 21).


Antara tujuan ayat berbentuk perumpamaan berkenaan diturunkan kepada manusia, agar mereka sentiasa berfikir dan memahami maksud gambaran yang dinyatakan dalam ayat itu. Selain itu, dalam ayat yang lain pula, Allah menyatakan bahawa hanya orang yang memiliki ilmu saja yang bakal mendalami maksud perumpamaan serta memahaminya.


Firman Allah yang bermaksud: “Dan perumpamaan-perumpamaan yang demikian itu Kami kemukakan kepada umat manusia, dan hanya orang-orang yang berilmu yang dapat memahaminya.” (Surah az-Zummar, ayat 27).


Justeru, wajib bagi individu Muslim berusaha menjadikan diri mereka sebahagian daripada orang yang berilmu. Malahan inilah yang menjadi tuntutan Islam agar umatnya sentiasa mendalami ilmu Allah yang amat luas ini.


Hanya al-Quran dan Sunnah Rasulullah yang mampu menyelamatkan umat Islam daripada terjerumus ke dalam lembah kesesatan seperti yang termaktub dalam sebuah hadis Rasulullah.


Jadi ada beberapa ayat al-Quran yang mengandungi ‘perumpamaan’ untuk sama-sama kita fikirkan dan fahami maksudnya.


Sebagai contoh, ayat 261 dalam surah al-Baqarah yang bermaksud: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji…” (surah al-Baqarah, ayat 261).


Maha besar ilmu dan kekuasaan Allah yang mampu memberi ganjaran yang begitu besar kepada hambanya yang ikhlas dalam melakukan amal kebaikan. Ayat itu sebenarnya memberi motivasi kepada orang Mukmin agar tidak lupa menyalurkan sedikit daripada rezekinya ke jalan Allah. Sesungguhnya dalam rezeki yang kita peroleh itu, ada hak orang lain yang wajib kita tunaikan.


Selain itu, dalam ayat yang lain Allah membuat perumpamaan yang cukup jelas bagi menggambarkan perihal amal kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam. Walau sebanyak mana pun amalan mereka di dunia, tanpa iman, segalanya tiada nilai di sisi Allah.


Sekali lagi, ayat berkenaan memberi galakan kepada setiap individu Muslim agar terus melipat gandakan amal kebajikan mereka kerana semuanya itu bakal dinilai Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Perumpamaan (segala kebaikan amal dan usaha) orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari rebut yang kencang; mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun daripada apa yang mereka telah usahakan itu.” (Surah Ibrahim, ayat 18).


Begitulah peri pentingnya iman yang mendasari setiap amalan manusia. Sesungguhnya amalan manusia itu tidak sekali-kali memberi kesan kepada Allah.


Malah, kita tidak sekali-kali dapat membayar segala nikmat yang dianugerahkan kepada kita selama ini. Hanya rahmat Allah jua yang mampu menyelamatkan kita daripada azab neraka serta melayakkan diri ke syurga-Nya.


Satu lagi perumpamaan ayat al-Quran yang perlu menjadi renungan bersama ialah apabila Allah membuat bandingan perihal golongan Yahudi yang tidak mempercayai ayat Allah serta menidakkan kebenarannya.


Golongan Yahudi tidak menerima hakikat kebenaran seperti yang diwahyukan oleh Allah dalam kitab mereka.


Firman Allah yang bermaksud: “Perumpamaan orang-orang (Yahudi) yang ditanggung dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungan dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah…” (Surah al-Jumu’ah, ayat 5).


Sungguh hina bandingan bagi mereka yang menafikan ayat Allah yang diturunkan untuk kebaikan mereka. Wahyu Allah yang seharusnya menjadi panduan hidup bagi mengecapi nikmat dan keredaan Allah dinafikan kebenarannya, lantaran sifat angkuh manusia yang menutup semua pintu kebenaran.


Oleh itu, kalam Allah ini menyalurkan pelbagai gaya bahasa bagi menyampaikan isi kandungannya. Melalui bentuk perumpamaan atau perbandingan ini, ia dapat mendidik manusia agar sentiasa memanfaatkan akal fikiran untuk memikirkan rahsia di sebalik ayat al-Quran. Seperti yang dijanjikan Allah, hanya orang yang memiliki ilmu saja berupaya menggarap makna tersirat di sebalik firman Allah berkenaan. Marilah sama-sama kita menjadi umat yang sentiasa berlumba-lumba mendalami isi al-Quran. Jika kita tidak mampu untuk menjadi orang yang mahir mengajar isi al-Quran, maka mengapa tidak kita berusaha untuk menjadi orang yang mahu mempelajari al-Quran.


Sesungguhnya, kedua-dua golongan ini adalah antara yang terbaik dan dipandang mulia di sisi Allah.


Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik dalam kalangan kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (hadis riwayat al-Bukhari).


Wallahu A'lam....

Jumaat, 15 April 2011

Muhasabah Pelaksanaan Solat


5 Peringkat golongan yang lalai dalam laksana solat

PERNAHKAH kita bersedih kerana tertinggal sembahyang, terlewat mengerjakannya atau pernahkah perasaan rugi kerana tidak sempat melakukan solat secara berjemaah?

Pernahkah kita terasa berdosa tidak ‘beradab’ menghadapi Allah? Jawapannya ada pada diri kita sendiri. Kali ini penulis ingin menyentuh soal lalai dalam solat.

Lawan lalai ialah khusyuk dan ia bukan setakat dapat menumpukan perhatian dan faham apa yang dibaca dalam sembahyang tetapi menimbulkan rasa-rasa dengan Tuhan.

Kalau tidak ada rasa-rasa yang berubah dalam sembahyang seperti gerun, hebat, cinta, takut, berharap kepada Tuhan maka itu tanda tidak khusyuk.

Lalai dalam sembahyang ada beberapa peringkat seperti berikut:

1. Lalai habis. Takbir sahaja sudah ingat perkara lain di luar sembahyang yang tidak ada kena mengena langsung dengan sembahyang. Ia berterusan sampai salam. Tidak ada rasa apa-apa dengan Tuhan sepanjang sembahyang. Malahan sedar pun tidak.

2. Dalam sembahyang. Ada masa lalai dan ada masanya ingat dan sedar bahawa dia sedang bersembahyang. Sembahyang diselang-seli dengan lalai dan mengingat hal-hal dunia.

3. Boleh ikut dan menyorot apa yang dia baca dalam sembahyang tetapi tidak faham akan maksud apa yang dibaca dan dilafazkan. Kalau hendak diukur dengan nisbah khusyuk, ini masih dianggap lalai.

Bila tidak faham, masakan boleh menghayati. Kalau tidak menghayati, masakan boleh merasa apa-apa dengan Tuhan.

4. Boleh faham segala apa yang dibuat, dibaca dan dilafazkan di dalam sembahyang. Sembahyang seperti ini sudah agak baik. Namun ini masih dianggap lalai mengikut kehendak dan tuntutan sembahyang kerana belum ada apa-apa rasa dengan Tuhan. Khusyuk adalah rasa bukan setakat tahu atau faham.

5. Faham akan segala apa yang dibaca dan dilafazkan dalam sembahyang dan kadang-kadang ada rasa tetapi tidak pada sepanjang masa dan waktu di dalam sembahyang.

Walaupun ini sudah baik tetapi masih ada lalai. Walaupun tidak membawa dunia ke dalam sembahyang tetapi rasa-rasa dengan Tuhan tidak wujud sepanjang waktu dalam sembahyang.

6. Sembahyang yang tidak lalai itu ialah yang sentiasa mempunyai rasa dengan Tuhan yang berubah-ubah dari satu rasa ke satu rasa yang lain mengikut apa yang dibaca dan apa yang dilafazkan, bermula dari takbiratul ihram hinggalah kepada salam. Inilah sembahyang yang tidak lalai. Inilah sembahyang yang benar-benar khusyuk.

Lalai berpunca daripada pengaruh dunia. Kalau dunia berada di hati amat sukar untuk mendapat khusyuk dalam sembahyang. Dunia akan terbawa dalam sembahyang.

Sebab itu kalau dalam sembahyang hanya ada rasa-rasa keduniaan seperti seronok baru berjumpa kawan, teringat polis saman kereta kita salah parking atau bimbang tak sempat pergi ke bank sebelum bank tutup dan sebagainya.

Rasa-rasa ini ialah rasa dunia yang melalaikan, bukan rasa-rasa khusyuk. Sekiranya kita tidak kenal Tuhan, hanya setakat tahu dan percaya sahaja,
kita tidak akan dapat rasa khusyuk.

Paling tinggi ketauhidan kita hanya di peringkat akal atau fikiran sahaja kerana tahu dan percaya itu perkara akal. Kita dikatakan orang yang berfikiran tauhid, bukan yang berjiwa tauhid.

Mengenal Tuhan ialah langkah pertama untuk mendapat khusyuk. Setelah mengenali Tuhan barulah kita akan dapat merasakan kehebatan dan keagungan Tuhan di hati kita kerana kenal itu perkara hati.

Barulah kita akan dapat rasa bertuhan. Selagi hati kita tidak dapat rasa bertuhan, ia tidak akan dapat rasa kehambaan dan ia tidak akan dapat rasa khusyuk.

Ada hadis berbunyi: “Awal-awal agama adalah mengenal Allah” Maksudnya, selagi kita tidak kenal Allah, agak sukar untuk kita beragama. Kita tidak akan boleh khusyuk.

Selagi kita tidak boleh khusyuk kita sebenarnya belum berjiwa Tauhid. Kalau kita belum berjiwa Tauhid kita tidak akan mampu mengamalkan dan menegakkan syariat Islam secara lahir dan batin.

Mungkin kita boleh laksanakan syariat lahir tetapi batinnya kosong. Tidak ada khusyuk, tidak ada roh dan tidak ada jiwa. Padahal Islam itu mesti ada lahir dan batinnya.

Wallahu A'lam....

Isnin, 11 April 2011

Sifat Tercela yang wajib dijauhi



Assalamualaikum.....
10 Sifat Tercela yang wajib dijauhi

1. BANYAK MAKAN. Makan dan minum yang berlebihan mengakibatkan malas, lemah dan banyak tidur ini menyebabkan kita lalai daripada ibadah dan zikrullah.

2. BANYAK BERCAKAP. Banyak bercakap banyak salahnya, banyak salahnya banyak dosanya.

3. PEMARAH. Marah yang bukan pada tempatnya dan tanpa sebab yang munasabah.

4. HASAD. Ingin nikmat yang diperolehi oleh orang lain atau berpindah kepadanya dan berdukacita apabila orang lain mendapat kesenangan.

5. BAKHIL. Kedekut untuk membelanjakan harta ke jalan ALLAH dan untuk agamaNYA.

6. HUBBUL-JAH. Kasihkan kemegahan, kebesaran dan pangkat boleh mengakibatkan pekerjaan seseorang itu tidak ikhlas dan mengakibatkan pergaduhan lantaran mengejar pangkat.

7. HUBBUDDUNIA. Gemarkan kesenangan dan kemewahan hidup, kesenangan duniawi yang membawa lupa daripada mengerjakan kewajipan kepada ALLAH.

8. TAKABBUR. Memandang dirinya lebih mahir dan orang lain rendah serta hina. Merasakan pendapatnya sahaja yang betul.

9. BANGGA DIRI. Timbul dalam hatinya bahawa dialah orang yang paling sempurna seperti pelajarannya, akhlaknya, kecantikannya dan lain-lain.

10. RIAK. Memperlihatkan atau menunjukkan amalan kepada orang lain. Semata-mata hanya kerana manusia, amalannya akan menjadi sia-sia saja.

Wallahu A'lam...


Sabtu, 9 April 2011

Jawatan suatu Amanah bukan Anugerah

Assalamualaikum...


KEWAJIPAN menunaikan amanah adalah tuntutan utama dalam agama Islam. Punca utama kerosakan umat, kegawatan ekonomi dan kepincangan politik hari ini adalah disebabkan amanah yang sudah tidak diberi perhatian lagi.


Kepemimpinan adalah amanah yang penting kerana ia berkait rapat dengan pengurusan umat. Abu Zar pernah meminta jawatan kepada Baginda Nabi SAW lalu Baginda menepuk bahu Abu Zar seraya berkata: “Wahai Abu Zar, engkau tidak mampu. Jawatan adalah amanah. Ia adalah penghinaan dan penyesalan di hari kiamat melainkan mereka yang menguruskannya dengan cara yang betul.” – (Hadis riwayat Muslim)


Di sinilah bermula kesinambungan pelaksanaan agama dalam menjalankan amanah kepemimpinan yang berpaksikan kepada perintah dan tegahan daripada Allah SWT. Oleh itu, jawatan disandang akan mendorong ke arah menepati kehendak Allah seterusnya menjamin keselamatan di akhirat.


Firman Allah yang bermaksud: “Kami jadikan negeri akhirat itu untuk mereka yang tidak mengimpikan ketinggian di dunia dan tidak melakukan kerosakan.” – (Surah Al-Qasas, ayat 83)


Memetik khutbah Imam Dua Madinah, Syeikh Husain Abd Aziz, Islam mewajibkan semua pemimpin berlaku adil dalam semua urusan berkaitan kepemimpinannya sehingga Nabi SAW meletakkan kedudukan pemimpin yang adil setaraf mereka yang mendapat naungan Allah SWT di akhirat.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu mengembalikan amanah kepada empunyanya dan hukumlah dengan adil antara sesama manusia.” – (Surah An-Nisa’, ayat 58)


Daripada Abdullah Bin Umar, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Orang yang adil akan disediakan untuk mereka satu mimbar yang diperbuat daripada cahaya cukup indah sehingga menarik perhatian semua penghuni syurga.” – (Hadis riwayat Muslim).


Pada masa sama, Allah mengingatkan supaya menjauhi sifat zalim yang membinasakan. Ketika Nabi SAW ingin menghantar Muaz ke Yaman, Baginda berpesan: “Wahai Muaz, takutlah kamu dengan doa orang yang kena zalim kerana tiada hijab antara doa mereka dengan Allah.” – (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Islam menggariskan beberapa panduan terhadap pemimpin yang dilantik antara perkara perlu untuk dilakukan kepada rakyat:


* Berlembut dan bersifat peri kemanusiaan terhadap rakyat jelata.
* Prihatin terhadap mereka.
* Merendah diri dengan mereka.
* Mendengar dan memahami keperluan mereka.
* Mengajak dan mendorong rakyat supaya melakukan kebaikan.
* Membimbing dan menasihati mereka ke jalan yang baik.
* Mendengar pandangan yang berguna dari semua pihak dan berbincang     dengan hikmah dan bijaksana.


Sabda Rasul yang bermaksud: “Sesiapa yang diberi jawatan lalu menyekat keperluan rakyatnya dengan jawatannya itu, nescaya Allah akan menyekat keperluannya di hari kiamat kelak.” – (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi)


Seorang pemimpin yang baik juga didorong oleh mereka yang berada di sekelilingnya sebagai pembantu bagi melaksanakan misinya.


Sabda Nabi yang maksudnya: “Jika Allah menginginkan seorang pemimpin yang baik, maka Allah akan jadikan untuknya pembantu yang sentiasa mengingatinya jika terlupa. Begitu juga sebaliknya jika Allah menginginkan seorang pemimpin yang tidak baik.” – (Hadis riwayat Abu Daud dan Nasai’)


Islam melarang keras pemimpin menggunakan kedudukannya untuk kepentingan peribadi. Nabi SAW bersabda dengan maksud: “Sesiapa yang menggunakan kedudukannya untuk menguruskan harta orang ramai ke jalan yang tidak benar, maka mereka akan mendapat seksaan di hari akhirat kelak.” – (Hadis riwayat Bukhari)


Wallahu A'lam....

Rabu, 2 Mac 2011

Forum Mesir vs Malaysia

Merbok Kedah, 25 Februari 2011-Alhamdulillah setinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat ilahi kerana telah diberi peluang menjadi panel forum mahasiswa di Universiti UITM merbok Kedah.Forum bertajuk Mesir vs Malaysia bukanlah beerti perlawanan ataupun perbandingan dan permusuhan antara kedua-dua negara ini tetapi ianya berkaitan isu semasa dan peranan persatuan mahasiswa dalam menghadapi isu revolusi kini.Seperti yang kita tahu revolusi kebangkitan rakyat mesir sesuai dengan suasana dan keadaannya apabila pemimpin tidak adil dan amanah dalam memerintah sesebuah negara.Pada asalnya panel forum ini adalah Presiden PMRAM tetapi beliau mempunyai urusan dan kerja di Kuala Lumpur iaitu menghadiri perjumpaan bersama KPT Malaysia bagi urusan pelajar yang telah dibawa pulang akibat revolusi Mesir.Saya menggantikan beliau dalam menyampaikan forum tersebut dan digandingkan bersama ustaz Muhammad Mujahid iaitu fellow MANHAL PMRAM.Forum anjuran IMAN salah satu islamic club di UITM merupakan wadah mahasiswa yang cintakan pemikiran islam dan praktikal ilmu keagamaan.Jazakumllahu Khairan jazak kepada seluruh pimpinan IMAN yang sudi menjemput kami  wakil mahasiswa Mesir untuk berkongsi ilmu dan pengalaman.Semoga ukhuwwah yang terjalin antara kita mendapat redha Allah dan rahmatnya.Aminnn...