Photobucket Ahlan :
widgeo.net

Jumaat, 14 Mei 2010

Tips meningkatkan daya ingatan

Assalamualaikum....
Tips Meningkatkan Daya Ingatan

-Sesuai diamalkan selalu untuk menghasilkan kepintaran minda......

Anda merasakan anda sudah tua kerana sikap anda yang pelupa? Anda asyik lupa di mana kali akhir anda meletakkan sesuatu? Orang di sekeliling selalu marahkan anda kerana lupa tarikh penting,lupa letak barang,lupa makan ubat,lupa fakta-fakta,lupa tutup kipas,lupa arah jalan,lupa nama orang dan macam-macam lagi.
Sebenarnya,kita dapat meningkat daya ingatan atau mengurangkan risiko menjadi pelupa dengan mengamalkan tips-tips di bawah secara berterusan.Lebih baik jika kita mempraktikkan ketika usia masih muda supaya kelak di hari tua kita tidak menjadi terlalu pelupa.Antaranya ialah:

a) Amalkan Tidur Yang Cukup

1/3 hidup kita dihabiskan dengan tidur.Namun ada orang yang suka tidur lewat atau mengabaikan tidur yang cukup.Badan perlu rehat. Keletihan hanya akan mengganggu maklumat/data yang telah disimpan oleh otak dan juga menjejaskan kemampuan untuk mempelajari sesuatu yang baru.Oleh itu,amalkan tidur yang cukup di malam hari kerana ia dapat membantu daya ingatan kita berfungsi.

b) Mengawal Tekanan

Tekanan hanya akan membuat jiwa anda tidak tenteram dan menyebabkan kesihatan anda terganggu.Anda juga lebih cenderung untuk menjadi seseorang yang tidak peka dengan keadaan persekitaran.Anda tidak dapat berfikir dengan jelas dan daya ingatan anda juga terjejas. Oleh itu,kawal tekanan anda dengan baik seperti bermeditasi, membaca Al-Quran dan sebagainya.

c) Berhati-hati Dengan Pengambilan Vitamin atau Makanan Tambahan

Sesetengah produk yang dijual di kaunter atau farmasi tidak sesuai dengan kita.Ada yang kononnya dapat meningkatkan daya ingatan. Tetapi sebaliknya ada yang memberi kesan sampingan.Oleh itu,lebih baik jika kita mendapatkan vitamin yang diperlukan oleh tubuh badan kita dengan pemakanan yang seimbang atau rujuk dahulu doktor yang bertauliah sebelum membeli makanan tambahan.

d) Bersenam

Bersenam dapat menggerakkan otot-otot dan melancarkan peredaran darah ke otak. Oleh itu,daya ingatan kita juga akan menjadi lebih baik. Amalkan senaman walaupun sekadar berjalan kaki.

e) Elakkan Kemurungan

Kemurungan dalam hidup akan menyebabkan hidup anda tidak ceria. Anda sentiasa berada dalam keadaan tidak segar dan rasa kecewa. Lama-kelamaan ia turut menjejaskan daya ingatan anda dan membuat anda tidak hirau dengan persekitaran anda.Ubatilah kemurungan sebelum menjadi serius dengan berjumpa pakar atau beramal-ibadah mendekatkan diri kepada Tuhan.

f) Awasi Pengambilan Ubat

Daya ingat mungkin menjadi lemah dengan pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti pil hormon,ubat darah tinggi,anti-kemurungan dan sebagainya.Jika anda menghadapi masalah daya ingatan disebabkan pengambilan ubat,konsultasi dengan doktor.Jangan mengambil ubat tanpa arahan doktor.

g) Belajar Sesuatu yang Baru

Cubalah aktifkan pemikiran anda dengan mempelajari sesuatu yang baru misalnya Bahasa Jepun,kursus kemahiran jangka pendek,menjahit, atau menghadiri ceramah dan motivasi.

h) Permainan

Bermain sesuatu permainan seperti board games dapat merangsang minda.Contohnya, catur,scrabble (Sahibba) dan Monopoli.Selain itu, teknologi sekarang lebih baik seperti permainan komputer dan Playstation.Pilihlah jenis permainan yang mencabar minda.

i) Banyak Membaca

Jadikan amalan membaca sebagai kegiatan harian.Membaca dapat meluaskan pengetahuan,mengembangkan minda dan menajam daya ingatan. Cuba ingat sedikit-sebanyak fakta yang terkandung di dalam bahan bacaan.

j) Katakan Berulang Kali

Untuk meningkat ingatan anda tentang sesuatu maklumat atau tarikh, katakan dengan kuat dan berulang kali sehingga anda benar-benar ingat akan maklumat tersebut.

k) Fokus

Daya ingatan dapat dilancarkan sekiranya anda sering fokus dalam sesuatu,contohnya matlamat hidup.Anda juga dapat belajar fokus dengan menumpukan fikiran anda pada sesuatu perkara dan mencatatkan apa yang anda fikirkan.

l) Bermain Dengan Angka

Asahkan minda anda dengan cuba bermain dengan angka seperti mengingati nombor telefon rakan-rakan.Selain itu,anda boleh menghubungkaitkan angka-angka tersebut dengan sesuatu bagi meningkatkan daya ingatan.

m) Membaca Al-Quran

Sekiranya anda seorang Muslim,amalkan membaca Al-Quran walau sehelai muka surat setiap hari.Membaca Al-Quran dapat menerang jiwa, menenangkan perasaan dan menajamkan daya ingatan dengan lebih baik.
Wallahu A'lam...

Isnin, 22 Februari 2010

KERANAMU WANITA

ISTIMEWANYA WANITA

1. Doa wanita lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah S.A.W. akan hal tersebut, jawab baginda: "Ibu lebih penyayang daripada bapak dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia."

2. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 70 orang lelaki yang soleh.

3. Barang siapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah S.W.T. dan orang yang takut akan Allah S.W.T. akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

4. Barang siapa yang membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah) lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barang siapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail A.S.

5. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Rasulullah S.A.W.) di dalam syurga.

6. Barang siapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan, lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya adalah syurga.

7. Daripada Aisyah r.a. "Barang siapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.

8. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

9. Apabila memanggil akan engkau dua orang ibu bapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.

10. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

11. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya dan direkannya (serta menjaga sembahyang dan puasanya).

12. Aisyah r.a. berkata "Aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W., siapakah ang lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab baginda, "Suaminya." "Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah S.A.W."Ibunya."

13. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dia kehendaki.

14. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah S.W.T. memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).

15. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah S.W.T. mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebaikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

16. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah S.W.T. mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah S.W.T.

17. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia daripada dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

18. Apabila telah lahir (anak) lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

19. Apabila semalaman (ibu) tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah S.W.T. memberinya pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah S.W.T.

20. Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 orang wali.

21. Seorang wanita yang jahat adalah lebih buruk daripada 1,000 lelaki yang jahat.

22. 2 rakaat solat dari wanita yang hamil adalah lebih baik daripada 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.

23. Wanita yang memberi minum susu kepada anaknya daripada badannya (susu badan) akan dapat satu pahala daripada tiap-tiap titik susu yang diberikannya.

24. Wanita yang melayan dengan baik suami yang pulang ke rumah di dalam keadaan letih akan mendapat pahala jihad.

25. Wanita yang melihat suaminya dengan kasih sayang dan suami yang melihat isterinya dengan kasih sayang akan dipandang Allah dengan penuh rahmat.

26. Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumah tangganya akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya, akan menjadi ketua 70,000 malaikat dan bidadari dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga, dan menunggu suaminya dengan menunggang kuda yang dibuat daripada yakut.

27. Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anak yang sakit akan diampunkan oleh Allah akan seluruh dosanya dan bila dia hiburkan hati anaknya Allah memberi 12 tahun pahala ibadat.

28. Wanita yang memerah susu binatang dengan "bismillah" akan didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan.

29. Wanita yang menguli tepung gandum dengan "bismillah", Allah akan berkatkan rezekinya.

30. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti meyapu lantai di baitullah.

31. Wanita yang hamil akan dapat pahala berpuasa pada siang hari.

32. Wanita yang hamil akan dapat pahala beribadat pada malam hari.

33. Wanita yang bersalin akan mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa dan setiap kesakitan pada satu uratnya Allah mengurniakan satu pahala haji.

34. Sekiranya wanita mati dalam masa 40 hari selepas bersalin, dia akan dikira sebagai mati syahid.

35. Jika wanita melayani suami tanpa khianat akan mendapat pahala 12 tahun solat.

36. Jika wanita menyusui anaknya sampai cukup tempoh (2 1/2 tahun), maka malaikat-malaikat di langit akan khabarkan berita bahawa syurga wajib baginya.

37. Jika wanita memberi susu badannya kepada anaknya yang menangis, Allah akan memberi pahala satu tahun solat dan puasa.

38. Jika wanita memijit suami tanpa disuruh akan mendapat pahala 7 tola emas dan jika wanita memijit suami bila disuruh akan mendapat pahala 7 tola perak.

39. Wanita yang meninggal dunia dengan keredhaan suaminya akan memasuki syurga.

40. Jika suami mengajarkan isterinya satu masalah akan mendapat pahala 80 tahun ibadat.

41. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat, tetapi Allah akan datang sendiri kepada wanita yang memberati auratnya yaitu memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah.

Ahad, 18 Oktober 2009

Muzik- Muzik & Kontroversi

PANDANGAN ISLAM TERHADAP MUZIK

Nyanyian yang lunak adalah santapan jiwa manusia, menyegarkan otak dan disukai oleh pendengaran. Ia adalah kelazatan bagi telinga sepertimana makanan yang menjadi kelazatan bagi mulut dan perut; Pemandangan yang indah menjadi kelazatan bagi mata; bauan yang harum menjadi kelazatan bagi hidung dan sebainya.Adakah perkara-perkara yang baik dan lazat ini haram bagi Islam?!

Daripada beberapa dalil Qur'an,setiap benda yang baik lazimnya halal; Oleh itu setiap yang baik dipandang oleh jiwa dengan baik; akal manusia yang sejahtera adalah halal sebagai kerahmatan kepada umat Islam ini dan juga kerana kesyumulan, kelengkapan, dan keberkekalan risalah Islam. Firman Allah (maksud):

"Mereka bertanya kepadamu:Apakah yang dihalalkan bagi mereka?Bagi menjawabnya katakanlah:Dihalalkan bagi kamu yang lazat-lazat serta baik. "(Maaidah: 4)

Hak mutlak menghalal/mengharam sesuatu adalah milik Allah saja: (maksud):

"Katakanlah:' Sudahkah kamu nampak baik buruknya sesuatu yang diturunkan Allah untuk manfa'at kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanyaharam dan sebahagian lagi halal?Katakanlah lagi (kpd mereka):Adakah Allah mengizinkan kepada kamu hanya mengada-ngadakan secara dusta terhadap Allah?" (Yunus:59)

Firman Allah (maksud):

"Sesungguhnya merugilah orang-orang yang membunuh anak-anak mereka kerana kebodohan lagi tidak berilmu (sedang Allah memberi rezki kepada sekelian makhluk); dan rugilah (mereka) yang mengharamkan apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mereka dengan berdusta terhadap Allah. Sesungguhnya sesatlah mereka dan tiadalah mereka mendapat petunjuk." (al An'am: 140)

Firman Allah (maksud):

"Dan kehidupan dunia ini hanyalah LAHWUN dan permainan belaka.." (Ankabut: 64)

RasuluLlah saw pernah menasihati Handzalah, Wahai Handzalah, bergurau ada masanya dan serius ada masanya. Saidina Ali ada menasihatkan:Rehatkan hatimu dr masa ke semasa kerana hati jika dipaksa akan menjadi buta. Juga dari Ali KW:Hati juga merasa jemu sepertimana juga badan merasa jemu; maka carilah perkara-perkara yang menarik untuk menghiburkannya. Telah berkata Abu Darda':Aku menghiburkan diriku dengan sedikit al Lahwu untuk menguatkan diriku dalam melakukan perkara-perkara kebaikan.

KATA IMAM AL GHAZALI:

Apabila diajukan kepada Imam alGhazali apakah nyanyian termasuk al Lahwu? Beliau berkata:Ya begitulah sebenarnya. Sesungguhnya seluruh dunia adalah al lahwu dan permainan..dan semua guarauan bersama isteri adalah al lahwu melainkan jima' yang bertujuan melahirkan zuriat. Begitu juga setiap gurauan yang tidak mengandungi kejahatan dan kemaksiatan, maka ia adalah halal. Sebab itulah ada waktu-waktunya makruh mengerjakan solat nawafil (sunat) untuk memberi kerihatan kepada orang yang sering melakukannya. Kerihatan sebenarnya menolong utk terus beramal. Sedikit dalam al lahwu dapat menolong seseorang dalam situasi tegang oleh kerana kita tidak akan mampu untuk sentiasa dalam keadaan serius dan kepahitan sepanjang masa kecuali jiwa para Anbiya'.

Maka al lahwu (berhibur seketika) adalah ubat juga bagi jiwa. Maka allahwu sudah semestinya Harus. Tapi al lahwu seperti mana ubat-ubatan yang lain ia tidak boleh diambil secara berlebihan.

Jika al lahwu disertai dengan niat ibadah, ia menjadi ketaatan kepada Allah. Sesiapa yang mendengar nyanyian dan muzikal janganlah menganggapnya sebagai sifat terpuji! Tapi hanya sekadar mendapatkan kelazatan dan kerihatan semata-mata.

Manusia mempunyai tingkatan: perkara-perkara yang harus kepada golongan martabat ABRAR (golongan yang baik) adalah kejahatan kepada golongan muqarrabin ( mereka yang sangat hampir dengan Allah) dan seterusnya.

Oleh itu kita mesti mengambil hukum 'am/pada kadar yang biasa. Bagi yang mengetahui selok belok cara untuk mengubat hati, cara untuk melembutkan hati dan mendorongnya kepada kebenaran, secara pasti dia juga akan tahu bahawa merihatkan hati dengan perkara-perkara begini (lahwun dan la'ibun) adalah ubat yang berguna yang mesti digunakan (al Ghazali).

Nyanyian adalah Harus (dibolehkan) tapi dalam Acuan Islam . Muzik adalah termasuk dalam perkara tabi'iy (asasi) di sisi fitrah manusia. Ia juga termasuk bab Urf (adat resam sesuatu bangsa); ada bangsa yang amat suka kepada muzik dan nyanyian; Islam tidak menghalang sesuatu yang selari dengan fitrah dan diterima oleh urf (adat) atau cara hidup budaya setempat. (Prof Qardhawi, halal ; haram , juga Fatwa Mu'asirat) Bermain gambus dan nyanyian oleh hamba sahaya sudah diamalkan sejak zaman Ali bin Talib dan tiada yang menegahnya..

Malangnya industri musik seperti juga bidang-bidang lain, ia diterajui oleh Barat yang mempunyai muslihat yang jahat terhadap Islam terutama remajanya. Apabila industri muzik; nyanyian itu diterajui oleh Barat, maka umat Islam perlulah berhati-hati, unsur-unsur yang diketengahkan oleh mereka adalah bertujuan melalaikan manusia, menjatuhkan mereka kepada maksiat dan menjurus kepada manusia meninggalkan kehidupan beragama. Industri muzik Barat juga memperkenalkan pelbagai jenis muzik yang melampau seperti heavy metal, rap, rock, super dance dan lain-lain yang bertentangan dengan fitrah. Ini bertentangan dengan hiburan dalam Islam yang bertujuan memberi sedikit kerehatan kepada jiwa manusia.

Oleh itu rumusannya industri musik dan nyanyian yang harus ialah yang sesuai dengan fitrah manusia, menghibur dan memberi ketenangan kepada jiwa dan mematuhi adab-adab Islam ; ini menuntut kesedaran Islam yang tinggi dari pemuzik dan pencipta lagu Muslim supaya membentuk arahalir industri musik yang tersendiri dan terpisah drpd pengaruh jahat Barat. Sebarang percubaan Barat untuk menghanyutkan umat Islam kepada kemaksiatan, kemudharatan dan kefasikan, mestilah dihalang, menetapi kaedah Masoleh Mursalah (kepentingan awam), Sadd Adz Dhara'iy (menutup pintu-pintu kejahatan) dan Istiqra' (pungutan suara rakyat) juga Urf (adat budaya tempatan).


PANDANGAN ULAMA" TERHADAP MUZIK

Pandangan yang diutarakan sebelum ini merupakan hujahan daripada beberapa tokoh ulama’.Dan pada keluaran ini dipaparka beberapa fatwa berkaitan hukum muzik didalam islam.Ulamak yang paling berautoriti dalam hukum-hukum yang baru utk abad ini ialah al marhum Syaikh Mahmud Syaltut, bekas rektor al Azhar dalam koleksi Fatwanya, alFatawa (terbitan Darul syuruq, Cairo. 1960) ms 355-359 menjelaskan dengan tegas empat perkara tentang muzik:

Pertama: Mendengar dan bermain alat muzik adalah sama (hukumnya) dengan merasa makanan yang lazat, menghidu bau yang harum, melihat pemandangan yang cantik atau mencapai pengetahuan yang tidak diketahui adalah semuanya keseronokan naluri yang dianugrahkan Tuhan kepada manusia. Semuanya memberi kesan menenangkan fikiran apabila kepenatan jasmani dan memberi kesan dalam memulihkan semula tenaga. (Syaikh Syaltut menggunakan hujah Imam alGhazali dalam Ihya Ulumiddin, Jld 2, pg 208.)

Kedua: AlQur'an yang mendasari segala peraturan dan perundangan di atas dasar kesempurnaan dalam Tujuan sentiasa menjaga supaya tidak berlaku keterlaluan dipihak yang tidak menggunakan muzik dan pihak yang menggunakan muzik secara berlebihan. Islam mahukan kesederhanaan.

Ketiga: Fuqaha' terdahulu membenarkan musik apabila mempunyai konteks yang sesuai seperti muzik iringan ke medan perang, hajji, perkahwinan, perayaan id. Mengikut fuqaha' Hanafi muzik yang dilarang ialah dengan bersyarat jika ia bercampur dengan sebutan alkohol, gadis penyanyi, fusuq, perzinaan dan keberhalaan. Aku (Syaltut) berpendapat larangan terhadap muzik adalah berdasarkan kpd konteks dan iringannya dengan yang lain dan bukanlah suatu reaksi terhadap muzik itu sendiri.

Keempat: Syaltut memberi amaran bahawa sesiapa yang berani melarang sesuatu perkara yang tidak jelas dilarang oleh Allah. Dalilnya ialah firman Allah dalam surah al A'raf: 32-33. siapakah yang berani mengharamkan perhiasan drpd Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan rezki yang baik-baik?..... hingga akhir.

Kesimpulannnya: secara 'amnya muzik dibenarkan, jika ada larangan terhadapnya adalah kemalangan atau pengecualian disebabkan perlaku penyalahgunaan terhadap muzik itu sendiri.

Hukum mengenai muzik, pemuzik dan alat muzik mengikut Hujjatul Islam alGhazali (Ihya' Ulumidin, vol 2, pg 283-301) menjelaskan ada tiga komponen penting yang mempengaruhi hukum muzik yang mungkin berubah dari masa kesemasa: zaman, makan dan ikhwan. 'Zaman' merujuk kepada masa, apakah muzik itu melalaikan daripada jihad dan ibadah. 'Makan' merujuk kepada suasana, situasi, occasion atau upacara di mana muzik itu dipersembahkan. 'Ikhwan': merujuk kepada aktiviti muzik itu; jika dengan muzik itu boleh menyebabkan mereka terdedah kepada manusia yang jahat atau membawa kepada kejatuhan moral.

Menurut al Ghazali inilah tiga komponen yang menjadi neraca bagi muslim di setiap zaman menghukum muzik: zaman, makan dan ikhwan.

Berbalik kepada soalan asal: apakah alat muzik yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan dalam Islam?

Al Ghazali menjelaskan (Ihya' Ulumiddin, vol2, pg 271-272): tidak ada keterangan yang jelas dari sunnah yang melarang alat-alat muzik bahkan setengah alat muzik yang mempunyai bunyi yang baik tidak dilarang, ia tidak lebih daripada seperti kemerduan suara burung. Ianya dilarang jika ada hubungan atau dikaitkan dengan kumpulan peminum arak, homoseks dan lain-lain yang diarang.

Menurut Prof Lamya' alfaruqui hukum hudud Islam jika seseorang didapati mencuri alat muzik ini berbedza-bedza mengikut madzhab. Misalnya menurut Syaikh Ibn Abu Zaid al Qairawan, Bakhurah alSa'ad menjelaskan pencuri alat muzik tidak boleh dipotong tangannya. Imam Syafi'iy dalam al Umm menjelaskan seseorang yang didapati bersalah memecahkan peralatan muzik tidak boleh dihukum. Manakala menurut sebahagian ulamak sesiapa yang memecahkan seruling atau sebarang alat muzik, ia layak dkenakan hukuman kerana menjual peralatan muzik itu sah di sisi undang-undang Islam.

Kesimpulan dan tarjih:

Menurut Fatwa Syaltut, muzik adalah harus selagi bukan untuk tujuan melalaikan dan maksiat
Menurut al Ghazali, tidak ada perincian syara' tentang peralatan muzik yang halal dan haram. Ia bergantung kpd zaman, makan, dan ikhwan; mana-mana alat muzik yang baik dan lunak di dengar adalah harus, dan mana-mana alat muzik yang jelik dan dihubungkan dengan kumpulan manusia yang jahat akhlaknya adalah ditegah.
Hukum muzik, pemuzik dan peralatan muzik akan sentiasa berubah mengikut keadaan umat dan ulamak semasa.






Selasa, 9 Jun 2009

Persahabatan Ar-rijal dan An-nisa'?

:: PERSAHABATAN ::

"Ana mengeluh dengan tingkah laku suaminya. Ana menuduh Saiful mula mengabaikan tangguungjawabnya sebagai suami. Menurut Ana, keadaan ini disedarinya apabila Saiful mula main kayu tiga dengan rakan sepejabatnya, Seri. “Sejak kehadiran perempuan itu dalam kehidupan abang Saiful, saya sering bertengkar dengan suami. Perempuan itulah punca keretakan rumahtangga saya.”

Namun apa pula jawapan Saiful? “Ana sudah melampau. Cemburu buta. Saya dan Seri cuma bersahabat sahaja tak lebih dari itu. Nothing special between us. Sebagai rakan setugas, saya memang tak nafikan saya rasa begitu selesa bila berbincang. Seri mempunyai pandangan yang luas, mudah bekerjasama, pendengar dan penasihat yang baik malah kami juga banyak berkongsi minat yang sama. Itu saja tidak lebih dari itu…” Kata Saiful, tenang.

Azhari dan Sara juga mengaku hanya bersahabat. Kebetulan mereka berdua sama-sama exco tertinggi salah sebuah kampus universiti terkemuka. Azhari dan Sara sering berjumpa dalam pelbagai aktiviti dan sering bermesyuarat bersama bagi melancarkan aktiviti kampus. Menurut Sara, Azhari seorang aktivis pelajar yang matang dan baik. Dia bukan hanya menganggapnya sebagai seorang sahabat tetapi juga seorang “abang”. Setiap masalah dibincangkan bersama dan sentiasa nasihat-menasihati antara satu sama lain. Kalau tak berpeluang bertemu mereka akan berhubung melalui telefon bimbit masing-masing. Ketika rakan-rakan sekuliah bertanya tentang keintiman hubungan mereka berdua, Azhari dan Sara dengan selamba mengatakan mereka cuma bersahabat. “Betul, kami tak ada apa-apa hubungan lain……”

Saiful dan Seri, Azhari dan Sara mengaku mereka hanya bersahabat. Namun kawan-kawan juga sesiapa yang berada di sekitar mereka merasakan ada sesuatu yang lebih dari sekadar bersahabat.

PERSAHABATAN:APA ITU PERSAHABATAN?
Persahabatan merupakan salah satu keperluan dalam kehidupan setiap insan. Mereka yang tidak mempunyai sahabat akan merasa kesepian dan tiada tempat meluah rasa. Namun bagaimana pula dengan persahabatan yang dijalinkan seperti Saiful dengan Seri atau Azhari dengan Sara yang menimbulkan gossip masyarakat sekitar? Sebelum perbincangan seterusnya, mari kita lihat sebentar makna atau erti sebenar sahabat itu sendiri. Menurut ahli psikologi, sahabat adalah orang yang dipercayai untuk diluahkan isi hati, kegembiraan atau kedukaan. Oleh itu sesiapa yang diyakini mempunyai ciri-ciri itu akan terpilih sebagai sahabat.

Setiap insan di dunia ini memerlukan sahabat atau orang lain dalam kehidupannya. Manusia perlu berkongsi sama dengan orang lain. Berkongsi sama itu sebenarnya pertahanan diri seseorang kerana manusia perlu untuk meluah dan mencurahkan isi hati dan perasaan-perasaan yang terpendam dalam diri kita. Dalam erti kata lain bahawa manusia memerlukan orang lain yang ia pilih dan percaya untuk meluahkan hal-hal peribadi.

Contohnya apabila seorang gadis bersahabat dengan seorang gadis lain, mereka boleh tidur sebantal, berkongsi barang atau saling pinjam meminjam baju atau
seumpamanya atau lebih dari itu. Seseungguhnya manusia itu memang memerlukan sahabat dalam kehidupannya. Sekurang-kurangnya terdapat dua keuntungan yang diperolehi melalui persahabatan. Pertama, untuk
merealisasikan mimpi atau visi hidup. Seseorang memerlukan orang lain untuk membincangkan mimpi-mimpi dan permasalahannya. Seseorang itu ingin orang lain mendengar dan tahu keinginannya. Seterusnya berusaha saling bantu-membantu antara satu sama lain.

Kedua, sahabat diperlukan untuk mencari jalan penyelesaian atau jalan keluar bagi sesuatu masalah atau perkara.

Persahabatan itu bermula dengan perkenalan. Setelah itu, jika terdapat kesamaan ide, gagasan, gaya hidup, minat, keperluan, cara berfikir dan harapan maka timbullah rasa saling simpati. Apabila telah wujud rasa simpati maka akan wujud keterbukaan dan ketika ini mereka telah bersedia untuk saling mencurah suara hati.

PERSAHABATAN JEJAKA DAN WANITA
Sahabat mempunyai kedudukan yang begitu khusus dalam hati seseorang. Apa masalahnya apabila seseorang itu bersahabat dengan lawan jenisnya? Bolehkah kita bersahabat dengan jejaka atau sebaliknya?

Apabila berlaku persahabatan antara lelaki dan wanita sesungguhnya tidak akan ada jaminan ini benar tulus dan murni. Sekurang-kurangnnya pasti ada harapan rasa ingin memiliki. Tidak kira pada si jejaka atau wanita atau kedua-duanya sekali. Mesti ada kemungkinan walaupun pada kadar yang sedikit. Hubungan seumpama ini mempunyai batas atau dinding yang teramat nipis. Terlalu sukar dan rumit uNtuk membezakan adakah hubungan ini benar-benar sekadar persahabatan atau sudah mula menjurus kepada saling mencintai yang mengharap kepada wujudnya hubungan hati dan fizikal.

Suatu yang amat sukar dihindari untuk suka yang lebih dari sekadar bersahabat. Maka mulalah si jejaka atau wanita itu mengengan-angankan “kalaulah dia menjadi pendamping dalam hidupku”. Ketika ini sesungguhnya “tazyin syaitan” telah berjaya memainkan peranannya. Bisikan indah dari musuh utama (syaitan) telah merempuh masuk ke dalam hati yang telah sedia ada dalam keadaan lemah dan longgar pertahanannya.

BERHENTIKAN PROSES SETERUSNYA!!
Oleh itu. Para muslimin dan muslimat yang dikasihi, jika perkenalan kita sudah berunah menjadi simpati segeralah susuli dengan pernikahan jika mahu proses
persahabatan berlanjutan. Inilah persahabatan yang ideal. Manakala persahabatan di luar akad pernikahan bukanlah persahabatan ala sahabat (Rasulullah s.a.w.)

Sebagaimana yang terjadi antara Ali dan Fatimah. Setelah pernikahan antara Ali dan Fatimah, maka Fatimah pun berterus terang kepada Ali. “Wahai Ali,sebelum saya bernikah dengan engkau di kota Makkah ini, ada seorang pemuda yang menjadi idola dihatiku.saya sangat inginkan kelak dia menjadi suamiku. Tapi
semuanya itu saya simpan di dalam hatiku” kata Fatimah.
“Kalau begitu engkau menyesal menikahi saya?” tanya Ali.
“Tidak, kerana pemuda itu adalah engkau” jawab Fatimah.

Oleh itu, di dalam Islam kita dibenarkan menilai dan menyukai pemuda yang soleh namun ia tidak diluahkan dan memadai disimpan di dalam hati. Sesungguhnya cinta itu boleh “menghinggapi sesiapa” sahaja termasuk orang
beriman atau para pendakwah. Apabila batas-batas pergaulan dan percampuran lelaki dan perempuan dilanggar, proses persahabatan sebegini akan terus
bergulir dan tidak mungkin dihindari. Oleh itu, tidak mustahil jika para pendakwah lelaki dan perempuan juga turut terjebak untuk saling rindu-merindui…
..

Sudah berlanjur digosipkan
Pengendalian diri ketika percampuran antara lelaki dan perempuan adalah suatu yang abstrak. Kita tidak mampu untuk mengukurnya. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Adakalanya, kita berjauhan dari segi fizikal tetapi hati “berdegup” hebat. Ada juga yang fizikalnya berdekatan tetapi hatinya biasa sahaja.Namun ini bukan bermakna kita dibolehkan bergaul bebas.

Bagaimana pula jika sudah terlanjur digosipkan,daripada fitnah, baik nikah sahaja. Inilah satu kesilapan besar. Ia bukanlah keputusan bijak. Tindakan
yang diambil dengan menikahi rakan tersebut akan membenarkan sangkaan dan tohmaan orang selama ini. Tindakan sewajarnya yang mesti diambil adalah segera menghentikan hubungan tersebut. Jauhilah fitnah dengan mengendalikan hati, namun ketika hati tak terkendalikan jauhilah jarak fizikal. Hindarilah
perkara-perkara yang mengundang fitnah seperti memberikan hadiah, sering berdua-duaan, sering telefon/sms dan seumpamanya.

JANGAN TERPERANGKAP
Hati manusia memang mudah berubah. Pagi kata benci petang pula kata rindu. Sesungguhnya hati merupakan bejana yang paling penting. Ia merupakan kunci
segala-galanya. Hati mestilah dikendalikan sebaik-baiknya. Manakala pandangan pula titik langkah awal yang amat perlu diawasi kerana dari ‘mata jatuh ke hati’.

Sebagaimana yang berlaku kepada Ibnu Abbas, ketika menunaikan haji tergoda melihat seorang wanita, maka spontan Nabi SAW menegur dan memalingkan pandangannya dari wanita tersebut. Lalu bersabda: “Jangan kau ikuti pandangan itu dengan pandangan yang lain.”

Ketika inilah peranan iman yang kuat serta aktiviti ‘tazkiyatun nafs’ (penyucian jiwa) perlu dimainkan. Di saat iman sedang merudum, sebaik-baiknya, minimakanlah aktiviti yang melibatkan lawan jenis. Walaupun dalam aktiviti keislaman, yang perlu dijaga adalah diri dan keimanan bukan sekadar jarak sehingga tidak berkomunikasi. Ingatlah jangan sekali-kali ketika mengibarkan bendera kegiatan Islam dalam masa yang sama menjatuhkan Islam.

Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui kelemahan insan. Lalu Dia telah mengingatkan orang-orang beriman serta umat Islam seluruhnya agar menjaga pandangan dengan firman-Nya: “Katakanlah kepada orang-orang beriman lelaki, supaya mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatannya. Itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang mereka usahakan. Katakanlah kepada orang-orang beriman perempuan supaya mereka menundukkan pandangan dan menjaga kehormatannya dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasannya kecuali apa yang biasa lahir daripadanya….” (An-Nur:31-32)

Mencegah lebih baik dari mengubati. Jagalah batas-batas pergaulan agar tidak terlanjur memendam rasa. Berusahalah membataskan komunikasi dengan urusan-urusan yang penting, jangan sekali mencari alasan dan agenda untuk bertemu. Jangan sekali membuat agenda baru agar dapat berinteraksi kembali. Biarpun agenda yang dibuat itu dinamakan perkongsian ilmu. Kerana nait tak menghalalkan cara.Walaupun bunyinya ilmu kehidupan, tapi penyaluran yang tidak menggunakan landasan yang betul bimbang akan mengelincirkan semangat perjuangan. Sesungguhnya jika ini tidak dikawal ia merupakan permulaan tidak berdisiplinnya kita dalam mengamalkan Islam.

Mahabbah Menuju Cinta Allah

[Jauhi CInta Terlarang]

Assalamualaikum wbt...

Siapalah yang tidak mahu cintanya sampai ke syurga. Pakar-pakar psikologi mendapati wanita yang mampu memberikan tumpuan penuh dan cemerlang dalam kerjaya ialah mereka yang stabil dalam hubungan cintanya terutama dalam rumah tangga. Betulkah begitu?

Lihatlah di dalam diri sendiri dan nilailah dengan jujur. Pakar psikologi adalah manusia biasa yang mungkin tersilap tetapi jika kajian mereka benar,perkara ini perlu diusahakan. Mampukah cinta menjangkau bahagia dari dunia hingga ke akhirat? Jawapannya ya, namun mana mungkin kita dapat memiliki sesuatu yang berharga secara percuma - jika percuma, sahlah ia 'barang tiruan' - bukan cinta murni yang sejati.


Jiwa Perlukan Cinta
rasa cinta adalah anugerah Allah kepada setiap manusia. Jiwa memerlukan cinta sebagaimana jasad perlukan makanan. Cinta ibarat api yang menjadi sumber tenaga kepada kehidupan. Ia menyinari manusia sebagaimana matahari menyinari alam. Dengan kekuatan cinta manusia sanggup dan mampu menempuh pelbagai rintangan - gunung sanggup didaki, lurah dituruni, lautan sanggup direnangi - semata-mata untuk memiliki cinta. Allah menghadiahkan perasan cinta dalam keadaan yang cukup murni. Namun jika kemurniannya tercemar, jadilah ia api yang membakar hangus - bukan lagi sebagai sumber kehidupan tetapi pemusnah yang menghancurkan, tidak lagi menyinari alam tetapi menjadikan alam hitam kelam seperti arang.


Cinta Murni Mampu "MERENTAS ALAM"
Kehidupan di dunia hanyalah sebahagian dari siri perjalanan yang panjang seorang manusia. Bermula dari alam roh, kita berpindah ke alam rahim sebagai janin yang berkembang sehingga dilahirkan ke dunia sebagai bayi. Kini kita berada di alam dunia - menghabiskan usia sehingga proses kematian membawa kita berpindah ke alam barzakh.
Di barzakh, kita menunggu sehingga kiamat untuk semua manusia dikumpulkan di alam mahsyar. Di mahsyar, proses pengiraan amal berlaku membawa kepada perhentian terakhir kita - syurga atau neraka. Alam yang paling kritikal adalah alam dunia di mana kita diberi 'kebebasan' untuk 'memilih' jalan hidup.

Di sinilah penentuan sama ada cinta yang dikurniakan Allah ini membahagiakan sehingga merentasi barzakh, mahsyar dan akhirnya ke syurga abadi di mana kemuncak kebahagiaan cinta akan dinikmati atau menuju neraka yang seksanya tiada batasan!


Patuhi Peraturan Pencipta Cinta
Dia yang mencipta cinta telah mencipta juga 'peraturan cinta' demi untuk menjaga kemurnian cinta itu sendiri. Cinta yang mematuhi peraturan ini sahaja yang akan mampu merentas alam sehingga ke syurga. Malangnya peraturan ini kerap dilanggar oleh manusia yang sedang bercinta.
"Cinta apa namanya ini jika tidak ada dating, tidak 'bergayut' di telefon, tiada surat cinta yang membuai rasa, tiada sentuhan tangan dan tiada kerlingan dan senyuman?" Ada suara dari dalam diri kita mungkin merungut begini.

Yakinlah tidak ada keindahan dan kebahagiaan dalam melanggar peraturan Tuhan. Putus cinta, frust menonggeng - fenomena cinta yang begitu popular di kalangan manusia adalah disebabkan cinta yang tercemar kemurniannya.
Banyak cinta bukan sahaja hancur sebelum mencecah alam perkahwinan malah membawa dendam yang membara. Inilah cinta terlarang - cinta yang tidak mampu merentas alam malah mati sebelum kematian manusia itu sendiri.


CINTA Terlarang Destinasinya Adalah NERAKA
rasa cinta tidak salah tetapi kesalahan boleh berlaku sewaktu menjalinkan hubungan cinta. Di sinilah berlaku 'cinta terlarang' - cinta yang menafikan peraturan Tuhan. Ketika itu fitrah telah menjadi fitnah. Bila kehendak fitrah tidak disalurkan atau diisi mengikut peraturan maka akan berlakulah kekalutan dan kemusnahan. Cinta yang penciptaan asalnya bertujuan membahagiakan dan membantu meringankan bebanan hidup, menjadi beban paling berat dan penjara paling menyeksa.

Tuhan kerap terpinggir dalam hubungan cinta yang terlarang. Lebih-lebih lagi bila hukumnya dilanggar tanpa rasa bersalah tetapi dengan rasa manis dan megah, malah loyar buruk mengatakan "Allah kan Maha Pengampun?". Tubuh kekasih dipegang walaupun jelas Allah mengharamkan sentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan muhram.

Tergamak berdua-duaan di tempat sunyi walaupun sudah diperingatkan Nabi bahawa dalam keadaan begitu syaitan adalah orang yang ketiga. Bila bermula satu sentuhan, hampir mustahil untuk berundur ke belakang apabila nafsu dan syaitan sudah menguasai. Semuanya seolah-olah halal atas alasan cinta. Racun-racun berbisa yang memusnahkan fitrah cinta dianggap baja.

Akhirnya berbuahlah pohon cinta terlarang - pahit, masam, beracun dan memabukkan. Buah yang muncul dengan pelbagai label yang menjijikkan. Ketika itu hilanglah kemanisan cinta. Jika cinta begini yang diburu, tidak pelik jika cinta muncul dalam hidup dalam rupa 'monster' yang menakutkan...kerana ia memberi pengalaman yang cukup menyakitkan. Lalu cuba salahkan orang lain yang 'menabur janji kosong', 'manis kata di bibir, tapi hati lain bicara' - malah ada yang hingga tahap menyalahkan takdir kerana memisahkan 'cinta suci' antara dua insan. Cinta terlarang ini bukan sahaja destinasinya neraka di akhirat malah neraka sepanjang perjalanan di dunia. Kemanisannya hanya dapat dirasai di titik permulaan!


Hukum Cinta Dan Kasih Sayang Murni
rasa cinta yang murni sangat inginkan kebahagiaan untuk yang dicintai. Dia tidak akan membiarkan orang yang dicintai terluka sedikit pun. Dia kan melakukan apa sahaja demi untuk kebahagiaan yang dicintai tanpa mengharapkan balasan. Hukum cinta ialah beri dahulu pasti kita akan memetik hasilnya. Cinta paling murni dari Allah untuk hamba-Nya. Dia yang bersifat lah-Rahman dan lah-Rahim memberi dan terus memberi kepada hamba-Nya. Hubungan cinta yang menuntut 'penyerahan diri' sebelum ikatan sah melalui akad nikah pastinya bukan cinta yang murni kerana ia bukan sahaja meminggirkan Allah yang mencipta cinta malah mengetepikan soal mempertahankan maruah dan harga diri pasangan yang kononnya dicintai sepenuh hati!

Jika benar seorang lelaki mencintai wanita dengan cinta murni, mana mungkin dia sanggup merobekkan kehormatan wanita. Seorang lelaki yang mencintai seorang wanita pastinya mahu melindunginya dari sebarang kerosakan. Dia tidak akan sanggup membakar kekasihnya walau dengan puntung rokok sekalipun, tetapi Kenapa sanggup menempah api neraka dengan membiarkan sentuhan terlarang berlaku.


SYURGA - Destinasi Cinta Yang Mampu Merentas Alam
Untuk memastikan cinta yang kita jalin mampu merentas alam, hendaklah cinta kita itu didasarkan kepada cinta Allah...cinta yang kita berikan semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah dan boleh menghampirkan diri kepada-Nya. Cintailah sesiapapun tetapi pastikan cinta itu dapat memudahkan kita mencintai Allah. Oleh itu, cinta antara lelaki dan wanita mestilah diniatkan untuk memiliki cinta Allah. Tapi bagaimana?? Iringilah dengan niat untuk berkahwin kerana berkahwin itu lebih memudahkan seorang lelaki atau wanita menyempurnakan agamanya. Jangan sesekali bercinta sekadar untuk bersuka-suka. Lebih buruk lagi janganlah ada niat-niat yang jahat dalam bercinta sama ada didorong oleh hasutan nafsu atau bujukan syaitan.


Mencintai Allah - Benteng Cinta Terlarang
Mematuhi syariat adalah benteng terkuat daripada terjebak ke dalam jurang cinta terlarang. Kekuatan dan kemampuan untuk mematuhi syariat pula hanya dapat dimiliki hati meletakkan Tuhan sebagai cinta teragung. Hati yang mencintai hanya kerana Allah. Perasaan cinta adalah amanah dari Allah, maka pastikan ia hanya diberikan kepada yang akan sama-sama menjaga amanah ini. Maka pohonlah kekuatan dari Allah, Tuhan yang menciptakan cinta agar cinta yang kita jalinkan tidak membawa kita menjauhi-Nya dan sekali gus tidak membawa kita ke neraka...