Photobucket Ahlan :
widgeo.net

Ahad, 20 Jun 2010

PENYAKIT-PENYAKIT HATI


Assalamualaikum ...

Islam adalah agama yang amat menitikberatkan hubungan sesama manusia. Iniboleh dilihat dalam ayat-ayat al-Quran dan juga hadis-hadis yang menyeru
manusia agar berlaku sopan dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

Di samping itu terdapat juga ayat-ayat al-Quran yang melarang umat manusia
daripada mencela mengeji serta menyakiti sesama mereka, begitu juga dengan
sabda sabda Rasulullah SAW. Ini bertujuan untuk memelihara kesejahteraan
hidup umat manusia seluruhnya.

Di antara sifat yang perlu dimiliki oleh setiap orang yang beriman ialah
mempunyai sifat suka mengkaji dan meneliti segala keaiban sendiri dan juga
sifat-sifat keji yang mungkin bertapak di jiwa mereka dan sekaligus berusaha pula secara bersungguh mencari ubat dan penawar segala penyakit yang dihidapinya setelah dikenalpasti. Ini kerana tidak ada orang lain yang lebih arif daripada yang empunya diri tentang apa yang dihidapinya.

Tetapi untuk mengubati penyakit penyakit hati seperti hasad dengki, riak,
takabbur, bakhil, suka menceritakan keburukan orang lain bukanlah suatu
perkara yang mudah. Banyak halangan perlu ditempuhi, banyak onak dan duri
harus dilalui.

Sememangnya, sifat-sifat tersebut amat berbahaya kepada masyarakat jika ia
berjaya bertapak disudut hati sesetengah anggota masyarakat. Biasanya,
sifat-sifat seperti ini akan sentiasa dihiasi dan diperindahkan oleh syaitan yang berupa jin dan yang suka melihat manusia hidup dalam kucar-kacir, tidak menentu serta bermusuhan sepanjang masa.

Bagi jin dan syaitan, merosakkan kehidupan manusia, menyesat serta mengheret mereka ke arah kemurkaan Allah adalah tugas rasmi dan sumpah mereka di hadapan Allah, (sejak mereka dihalau dari syurga kerana keengganan mereka sujud kepada Adam a.s. apabila diperintahkan oleh Allah). Semenjak itu, mereka bertekad untuk tidak membiarkan anak-anak Adam hidup dalam keadaan aman, bahkan mereka akan melakukan apa sahaja bagi menyesatkan umat manusia serta memporakperandakan kehidupan mereka.

Segala usaha yang dilakukan oleh makhluk Allah yang halus ini ternyata dapat menggugat kestabilan dan keharmonian hidup manusia sejagat. Ini diperkuatkan lagi dengan wujudnya para pembantu serta kuncu-kuncu mereka yang terdiri daripada kalangan manusia yang bertopengkan syaitan. Golongan ini turut bekerja keras bagi memenuhi matlamat 'boss' mereka.

Namun begitu, kemungkinan terdapat matlamat atau tujuan yang berbeda di
antara kedua-dua golongan syaitan ini. Bagi syaitan dan iblis, matlamat
mereka adalah untuk menyesatkan umat manusia. Bagi syaitan yang terdiri
daripada kalangan manusia pula, mereka bukan sahaja ingin melihat manusia
jauh daripada ajaran Islam, bahkan mereka mempunyai matlamat-matlamat
sampingan yang lain seperti mengumpulkan harta benda, kekuasaan, pengaruh
dan berusaha mencapainya dengan pelbagai cara.

Untuk mencapai matlamat tersebut, manusia yang hatinya mempunyai penyakitini, sanggup melakukan apa sahaja walaupun dengan menindas orang lain.Mereka sanggup membuat fitnah, mengeji serta melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah orang lain semata-mata untuk mencapai matlamat mereka.

Demikianlah betapa buruknya sifat manusia apabila mereka telah dikuasai
dengan penyakit-penyakit hati ini. Mereka tidak lagi dapat membezakan antara kawan dan lawan, antara yang baik dengan yang buruk dan yang hak dengan yang batil.

Selagi manusia yang dijangkiti dengan penyakit-penyakit hati ini tidak dapat mengenal pasti penyakit dan wabak yang mereka hidapi, selagi itulah penyakit tersebut akan terus mengheret mereka ke kancah perkara-perkara yang buruk dan tidak berperi kemanusiaan.

Mengumpat, mengeji serta melaga-lagakan sesama manusia telah menjadi suatuperkara yang lumrah dalam kehidupan manusia hari ini. Apabila ada orang yang cuba memberi nasihat terhadap perkara yang dilakukan, dengan selamba mereka menjawab. 'Ala! Memang betul dia buat macam tu," tanpa menyedari bahawa apa yang diperkatakan itu sebenarnya sudah dikira sebagai ghibah atau mengumpat.

Perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah tatkala seorang sahabat
bertanya,, Wahai Rasulullah, apakah itu ghibah?" Lalu jawab Baginda,
"Menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu!' Kemudian Baginda
ditanya lagi, "Bagaimana sekiranya apa yang disebutkan ltu benar?" jawab
Baginda, "Kalau sekiranya apa yang disebutkan itu benar, maka engkau
sebenarnya telah mengumpatnya tetapi jika sekiranya perkara itu dusta, maka
engkau sebenarnya telah berbohong."

Di dalam hadis yang lain Baginda bersabda, "Tidak akan masuk syurga mereka
yang suka mengumpat." Demikianlah besarnya celaan terhadap mereka yang suka melakukan perkara yang keji ini. Begitu juga dengan penyakit-penyakit lain yang timbul dari hati yang sakit seperti hasad dengki, riak, sombong dan
sebagainya, yang tidak akan membawa sebarang manfaat kepada mereka.
Sebaliknya, ini semua akan menghancurkan hidup mereka di dunia dan
akhirat.Di dunia, mereka akan dikeji dan dihina oleh manusia, manakala di
akhirat pula, azab dan sengsara pasti menanti mereka. Inilah janji Allah,
dan Allah sama sekali tidak akan memungkiri janjinya.

Justeru itu, sebagai seorang muslim, kita seharusnya berhati-hati agar
penyakit yang amat merbahaya ini tidak menjangkiti kita. Seandainya penyakit ini telah dihidapi, dan kita telah mengesannya maka kembalilah kepada Allah dan mintalah keampunan-Nya sebelum terlambat.

Semoga Allah mengampunkan kita semua, memelihara dan memberi kekuatan kepada kita untuk mengawal diri daripada bencana penyakit-penyakit ini.

MAKSIAT HATI

1.Suka Makan Banyak.

Makan berlebih-lebihan daripada biasa.

Maksud hadith: "Yang lebih afdhal iaitu orang yang banyak lapar dan banyak tafakur dan dibenci oleh Allah iaitu orang yang banyak makan dan banyak tidur dan banyak minum."

2.Suka Cakap Banyak.

Firman Allah yang bermaksud: "Tiada kebajikan (kebaikan) kepada mereka yang banyak cakap, melainkan seorang yang menyuruh berbuat sedekah atau berbuat kebaikan atau mendamaikan orang yang bergaduh."

Maksud hadith: "Barangsiapa percaya kepada Allah dan hari kemudian maka hendaklah ia berkata dengan baik atau diam."

3.Marah.

Maksud hadith: "Tiada marah seseorang itu melainkan ia hampir atas neraka jahanam."

4.Hasad Dengki.

Ia adalah sebesar-besar kejahatan manusia, dilarang oleh syarak, lagi haram.

Maksud hadith: "Hasad dengki itu memakan amal kebajikan seperti api memekan kayu yang kering."

5.Bakhil (Kedekut).

Bakhil/kedekut iaitu cintakan harta adalah sebesar-besar kebinasaan di hari akhirat.

Maksud hadith: "Bermula orang yang bermurah hati yang jahil lebih dikasihi oleh Allah daripada orang yang adib yang kikir (bakhil). Yakni orang yang jahil pemurah lebih baik daripada orang yang banyak ibadat tetapi kikir (edekut) sekalipun berilmu."

6.Cinta Kepada Kemegahan.

Firman Allah bermaksud: "Bermula akhirat itu dijadikan bagi orang yang tidak berkehendak kepada ketinggian dan kemegahan di dalam dunia dan ia tidak berkehendak membinasakan orang di dalam dunia dan syurga itu bagi orang yang takut kepada Allah."

7.Cinta Dunia

Ditegah oleh syarak , cinta dunia adalah punca kepada segala kejahatan, yang membinasakan manusia.

Sabda Rasulullah S.A W: "Cinta dunia kepala segala kesalahan dan kejahatan"

8.Takbur(Membesarkan Diri)

Takbur adalah sebesar-besar penyakit dan maksiat yang ada dalam hati
Firman Allah yang bermaksud: "Masuk segala kamu hai orang yang kafir akan pintu neraka hal keadaan kekal mereka itu di dalamnya. Maka neraka itulah sejahat-jahat tempat bagi orang yang membesarkan diri mereka."

9.Ujub (Hairan Diri).

Ujub dicela oleh syarak lagi membinasakan amalan.
Sabda Rasulullah: "Tiga perkara orang yang membinasakan ibadat. Pertama kikir yakni kedekut dan kedua mengikut hawa nafsu yakni mengikut segala yang disukainya oleh nafsu yang dicela oleh syarak dan ketiga ujub."

10.Ria'

Yakni menunjuk-nunjuk supaya orang puji atau sanjung.

Ijmaa' ulama' sepakat hukumnya haram.

Firman Allah: "Maka binasa bagi orang yang sembahyang yang lalai mereka itu daripada sembahyang. Mereka menunjuk-nunjuk sembahyang mereka kepada orang lain supaya dipuji oleh orang dan supaya dibesarkan oleh orang."

Bila Hati Mati...Kenapa hati mati?

Terjadinya hati mati adalah disebabkan perkara-perkara berikut :

1. Hati akan mati bilamana ia dibiar terus-menerus parah dengan kesakitan yang ditanggungnya.Sebagaimana manusia juga. Ia akan mati menurut adatnya kalau sakitnya yang di tahap kronik itu tidak dapat dirawat dan diubati secepat mungkin.

Firman Allah. “Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwanya dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotori jiwanya.”(As-Syams:9-10)

2. Hati juga boleh mati akhirnya kerana ia tidak mahu berfungsi sebaiknya mengikut perintah Allah. Ia langsung tidak mahu mengambil iktibar dan pengajaran dari didikan dan ujian Allah, malah ia sentiasa memalingkan diri dari petunjuk dan jalan Allah.Pemilik hati sebegini diberi amaran oleh Allah sepertimana dalam firmanNya:

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam itu kebanyakan dari jin dan manusia; mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memerhatikan (ayat-ayat Allah).”(Al-A’raaf:179)

3. Hati juga boleh mati kerana ia tidak diberikan makanan dan santapan sewajarnya. Itulah santapan rohani. Kalau tubuh jasmani boleh mati kerana
tuannya sudah lama menanggung sakit tanpa mahu makan, dan minum (apalagi makan ubat dan penawar),maka begitulah juga hati kita. Bila ia tidak diberi
santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta malah akan mati akhirnya. ‘Qutul Qulub’ atau santapan hati atau jiwa(rihani) itu adalah dalam bentuk zikrullah, nasihat, muhasabah,mujahadah melawan nafsu, muqraqabah (mengawasi diri), ilmu, hikmah, mahmudah, iman dan taqwa kepada
Allah.

Cuba kita renungkan kata-kata Amiirul Mukminin,Sayyidina Umar al-Khattab ini :

“Sesiapa yang banyak ketawa, akan kuranglah kehebatannya. Sesiapa yang merendah-rendahkan orang,dia akan direndahkan orang lain. Sesiapa yang
memperbanyakkan sesuatu perkara (amalan) akan diketahui juga. Sesiapa yang banyak cakapnya,banyaklah salahnya. Sesiapa yang banyak salahnya,sedikitlah malunya. Sesiapa yang sedikit malunya,sedikitlah juga waraknya dan barangsiapa sedikit waraknya, matilah hati (jiwa)nya.”

Oleh itu, sebelum hati kita bertukar menjadi kotor,hitam, keras, terkunci, sakit, buta dan mati,hendaklah kita menjadi dan memeliharanya dengan
sebaik-baiknya.Tindakan sebaiknya ialah kita selalu mengilap dan membersihkannya.Jangan kita abai dan leka untuk memberi santapan sebagaimana yang diterangkan dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Firman Allah : “Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” (Ar-Ra’ad:28)

Firman Allah : “(Hari Akhirat itu ialah) hari di mana harta dan anak-anak tidak lagi berguna, kecuali orang-orang yang menghadap (kembali bertemu) Allah dengan hati yang bersih (sejahtera).(As-Syu’ara:88-89)

Wallahu A'lam...




1 ulasan:

Fakeh berkata...

KAJIAN SEMASA MENGENAI PERKEMBANGAN WAHABBI DI MALAYSIA, sila google tajuk-tajuk seperti di bawah ini:-

(a) http://www.mediafire.com/?ne2dmyeinzo
(b) Jaringan Wahabbi Sdn Bhd
(c) Jom Kenali Dr Maza & Co
(d) Ahlul Bait Yang Dicerca
(e) Tok Ayah Zid Kedai Lalat
(f) Kuasa Tiang Kepada Cita-cita
(g) 40 Mutiara Hikmat Serambi Mekah

Catat Ulasan